Nuff Atas

12 Ogos 2012

Diskaun Tol Sempena Aidilfitri 2012


Kadar potongan, rebat tertinggi pernah ditawarkan

Sempena Aidilfitri, 24 lebuh raya di seluruh negara bersetuju memberi diskaun dan rebat tol antara 10 hingga 37.5 peratus selama empat hari secara berperingkat mulai 15 hingga 23 Ogos 2012.Ianya merupakan kadar tertinggi pernah ditawarkan. Diskaun tol juga diberikan bersempena sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-55.

Pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik (ETC) di lebuh raya kendalian PLUS Berhad, bakal memperoleh rebat 30 peratus sepanjang hari pada 15,16, 22 dan 23 Ogos.

Bagi lebuh raya lain seperti Lebuh Raya Pantai Timur, pengguna diberi diskaun empat hari mulai 18 hingga 21 Ogos ini, termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang memberikan potongan 37.5 peratus dengan mengenakan kadar rata 60 sen bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC.

Kecuali Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB) yang memberikan diskaun untuk tempoh sembilan jam bermula 11 malam 18 Ogos hingga 8 pagi keesokannya, lebuh raya lain memberikan diskaun sepanjang hari tarikh berkenaan.




PLUS Beri Rebat Tol 30 Peratus

PLUS Expressways Bhd (PLUS) akan memberi rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna yang membayar tol menggunakan sistem elektronik sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan tahun 2012 ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, rebat tol itu akan diberikan kepada orang ramai pada 15, 16, 22, 23 dan 31 Ogos 2012 ini.

"Rebat tol terbabit diberikan kepada orang ramai yang menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau SmartTAG ketika membayar tol di lebuh raya kendalian PLUS.

"Ia adalah satu langkah PLUS bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya dan Hari Merdeka selain merupakan satu strategi PLUS untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas," katanya.

Noorizah berkata, pemberian rebat tol itu juga merupakan langkah PLUS untuk mengagihkan trafik dan menggalakkan orang ramai bergerak pada hari di luar waktu puncak.

Katanya, rebat berkenaan boleh dituntut di pusat khidmat pelanggan PLUS apabila pengguna menambah nilai kad elektronik mereka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2012 ini.

"Sempena musim cuti ini, PLUS menjangkakan jumlah trafik akan meningkat sebanyak 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan setiap hari.

"PLUS menggesa orang ramai supaya membayar tol secara elektronik bagi mempercepatkan transaksi tol dan membolehkan mereka melalui plaza tol dengan lebih selesa dan cepat," katanya.

Noorizah berkata, rebat tol itu bagaimanapun tidak akan diberi kepada pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

Peningkatan Jumlah Pengguna Jalan Raya

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata insentif tol itu bagi menyokong usaha kerajaan meringankan beban pengguna, terutama pada musim perayaan.

Beliau juga berkata jumlah pengguna lebuh raya dan jalan persekutuan dijangka meningkat hampir dua kali ganda ketika Aidilfitri berbanding hari biasa.

Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan, jumlah kenderaan pada hari biasa ialah 1.2 juta sehari. Bagaimanapun pada musim perayaan Aidilfitri (minggu depan dan minggu seterusnya), ia meningkat 500,000 kepada 1.7 juta kenderaan sehari.

Shaziman berkata, diskaun dan rebat tol itu secara tidak langsung memberi kesempatan kepada syarikat konsesi, terutama yang membabitkan jarak jauh menyusun jadual perjalanan pengguna supaya pergerakan lalu lintas lebih lancar.

Pengurusan konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, ANIH Berhad menjangkakan lebih 3.1 juta kenderaan menggunakan laluan sepanjang 234.5 kilometer itu pada musim perayaan Aidilfitri 2012 ini.

Pengarah ANIH Nik Fauzi Datuk Hussain berkata jumlah kenderaan yang bakal menggunakan lebuhraya itu dianggar meningkat berbanding tahun 2011 lepas sepanjang tempoh 'Ops Selamat' bermula 16 Ogos hingga 26 Ogos 2012 ini.

"Bagi laluan LPT dijangkakan 1.3 juta kenderaan akan melalui laluan itu dari Plaza Tol Gombak sehingga Plaza Tol Jabor, manakala dari Plaza Tol Gombak ke Bentong bagi laluan ke Kelantan sepanjang 65.5 kilometer dianggarkan mencecah 1.8 juta kenderaan.

"Pertambahan itu berlaku kerana terdapat tiga musim cuti perayaan berjalan serentak iaitu musim cuti sekolah, cuti Aidilfitri dan sambutan hari merdeka.

Penurunan Had Laju Jalan Persekuan

Dalam pada itu, had laju di semua jalan persekutuan akan diturunkan daripada 90 kilometer(km)/jam kepada 80 km/jam mulai 12 Ogos hingga 26 Ogos 2012 sebagai langkah membantu kelancaran trafik dan mengurangkan kejadian tidak diingini dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan 'balik kampung' untuk menyambut Aidilfitri.

Pengurangan had laju juga tidak terkecuali terhadap jalan negeri. Had laju bagi jalan negeri sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini ialah 70km/j daripada 80km/j.

Langkah ini diambil bagi memberi kesedaran pada orang ramai mengenai keselamatan jalan raya yang mana kelajuan tinggi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan saban tahun. Justeru kerajaan berharap bahawa tindakan dan intervensi ini akan membawa impak positif dalam usaha mengurangkan kemalangan, kadar kecederaan parah serta kematian akibat kemalangan jalan raya.

Selain itu, kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dan jalan persekutuan dibekukan dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas itu, bermula Isnin 13 Ogos 2012 ini.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos 2012, LDP dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menawarkan tol percuma bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC, manakala 22 lebuh raya memberi diskaun dan rebat 10 hingga 30 peratus.

Sumber: BHarianKosmoBERNAMA Artikel1BERNAMA Artikel 2BERNAMA (15/08/2012)

1 comments:

paripariputih berkata...

tak pernah ambil pusing pasa ni suma... yg aku tau bayar jer :P