09 September 2012

Imbas ECG Menerusi Telefon Pintar 'EPI-Life'



STATISTIK Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2009 menyaksikan satu daripada empat kematian di hospital awam berpunca daripada penyakit jantung.

Keadaan itu menunjukkan betapa sakit jantung merupakan antara penyakit merbahaya dan berisiko tinggi di kalangan penduduk negara ini.

Ia turut disebabkan oleh kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan jantung seperti mengenalpasti simptom dan gejala ritma jantung yang tidak teratur.

Secara umumnya, penyakit jantung hanya boleh dikesan melalui bacaan Eloktro Kardiogram (ECG) selepas munculnya beberapa simptom utama.


Walau bagaimana pun, kebanyakan pesakit yang berada jauh daripada kemudahan perubatan mesin ECG menyebabkan mereka sukar memantau bacaan secara berterusan.

Melihat keadaan itu, sebuah syarikat teknologi e-kesihatan, Heartronics telah memperkenalkan telefon pintar EPI Life yang diintegrasi dengan alat ECG.

Pemeriksaan elektrokardiogram atau lebih dikenali sebagai imbasan ECG akan mengakhiri segala kesulitan, terima kasih kepada pelancaran telefon mudah-alih pintar EPI-Life baru-baru ini.

Ia adalah peralatan pengawasan ECG yang pertama di dunia yang menggabungkan keupayaan ECG ke dalam telefon mudah alih, dan menawarkan perkhidmatan sepanjang masa, di mana dan bila-bila masa sahaja diperlukan oleh pengguna.

Dengan ketepatan bacaan 98 peratus, produk berkenaan bertindak dan berfungsi sama seperti mesin yang biasa digunakan di hospital.

Direka dan dihasilkan oleh EPI Mobile Health Solutions (S) Pvt. Ltd (EMHS), telefon berkenaan menghubungkan pesakit dan pakar perubatan, melalui pengesanan awal masalah jantung.

Dibawa ke Malaysia oleh Heartronics Sdn. Bhd (Heartronics), dengan rakan kongsi Maxis Berhad (Maxis) dan Pantai Hospital di Kuala Lumpur (PHKL), produk berkenaan memberi nilai tambah bagi perkhidmatan berkenaan.



"HEALTH CONCIERGE"

Menurut Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd., Jean-Michel Mougin, peranti tersebut bakal menghubungkan pengguna dengan pakar kardiologi profesional untuk menerima arahan tindakan pengesanan awal bagi penyakit tersebut.

"Jika tindakan pantas diambil, lebih banyak nyawa akan dapat diselamatkan terutama di kalangan individu yang telah mempunyai sejarah sakit jantung.

"Menerusi alat yang boleh dimuatkan ke dalam poket ini, pengguna boleh memantau ECG mereka dengan cepat dan mudah pada bila-bila masa.

"Alat mudah alih ini mempunyai kemampuan mengukur denyutan dan mengesan tanda-tanda tidak normal pada jantung selain berupaya memantau kesihatan seperti tekanan darah, kandungan gula dan paras kolestrol,'' katanya pada pelancaran produk telefon pintar ECG pertama dunia itu di Kuala Lumpur.

Professor Dr. Michael C.L. Lim, pencipta EPI, berkata idea untuk menghasilkan telefon ini datang pada 1990. Bagaimanpun, usaha untuk merealisasikannya terhalang oleh had-had teknologi yang terdapat ketika itu.

Sistem ini disokong oleh sekumpulan profesional perubatan yang terlatih yang bersedia untuk menterjemahkan sebarang bacaan ECG ke pusat data mereka, yang dikenali sebagai Health Concierge-24 jam.

"Pasukan 'Health Concierge' sentiasa bersiap sedia untuk memberi khidmat kepada pengguna pada bila-bila masa dan sebaik kami menerima data mereka', kata Dr Lim.

Cara Penggunaan

Pengguna boleh mengambil bacaan ECG, pada bila-bila masa. Untuk menggunakan EPI Life, pengguna hanya perlu memegang telefon tersebut dengan menggunakan tiga jari yang disentuh pada bahagian sensor.

ECG itu kemudiannya akan dihantar ke Pusat Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari untuk tujuan penilaian bacaan.

Pusat tersebut yang diselenggara oleh doktor pakar dan juruteknologi kardiologi akan menganalisis bacaan. Dalam tempoh beberapa minit, mereka akan menerima jawapan menerusi satu pesanan ringkas (SMS), yang menyatakan sama ada bacaan itu normal atau sebaliknya.

Untuk setiap bacaan ECG, ia akan direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.

Pengguna akan dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat pakar perubatan sekiranya sebarang bacaan tidak normal dikesan.

Yang lebih menarik ialah 'Health Concierge' ini juga boleh menghubungkan pesakit ke mana-mana hospital dalam lingkungan rangkaiannya yang terdekat bagi kes-kes kecemasan di seluruh dunia. PHKL ialah penyedia dan rakan kongsi kesihatan yang utama bagi perkhidmatan itu di Malaysia.



KUMPULAN PENGGUNA

Dr. Lim berkata, produk berkenaan direkacipta dan dimajukan untuk kemudahan dan keselamatan bukan sahaja kepada pesakit dengan masalah jantung malahan bagi mereka yang dalam kumpulan berisiko.

Kadangkala, pesakit tidak menyedari bahawa mereka mengalami tanda-tanda masalah berhubung jantung seperti pening, susah bernafas, mual, berdebar-debar atau sakit dada.

Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya akan bertemu doktor sebaik tanda-tanda itu menjadi reda, yang membuatkan sukar bagi doktor untuk mengesan tanda-tanda tidak normal dikesan memandangkan pesakit telahpun berada dalam keadaan normal.

Secara asasnya, pembangunan produk ini tidak hanya disasarkan untuk pesakit jantung tetapi juga bagi golongan berisiko tinggi untuk pengurusan kesihatan lebih baik serta mengelakkan kejadian mati mengejut disebabkan kegagalan fungsi sistem jantung.

Menerusi pengesanan awal, pengguna boleh mendapatkan nasihat awal perubatan sebelum keadaan mereka bertambah serius, senario kes yang teruk boleh membawa kepada kematian mengejut berikutan kegagalan fungsi jantung.

Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd, Jean-Michel Mougin, berkata terdapat lima juta rakyat Malaysia yang termasuk dalam kategori pesakit 'berisiko tinggi' yang mudah mengalami masalah jantung.

"Produk ini boleh membantu banyak nyawa mereka yang mempunyai masalah sakit jantung dan yang mempunyai tanda-tanda awal", katanya.

Menurut beliau, mereka yang berada dalam 'risiko tinggi' ini termasuk eksekutif korporat yang sibuk, mereka yang berumur lebih 35 tahun dan yang kerap berjalan ke luar daerah.

"Produk ini juga sangat praktikal dan boleh digunakan di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, di mana akses kemudahan kesihatan adalah terhad", kata Mougin.

CARA HIDUP

Pada 2008, sebanyak 2,851 kes sakit jantung dilaporkan yang merangkumi 704 wanita dan 2,147 lelaki.

Menurut statistik yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, satu daripada setiap empat kematian berlaku di hospital awam berpunca daripada penyakit yang berkaitan masalah jantung.

Kaji selidik Kesihatan dan Kematian Kebangsaan 2011 menunjukkan bahawa 20.8 peratus daripada rakyat Malaysia yang berumur lebih 30 tahun menghidap diabetes, satu daripada penyebab utama komplikasi yang berkaitan dengan jantung.

Manakala jurnal antarabangsa 'The Lancet' menyebut dalam satu laporan bahawa 61.4 peratus rakyat Malaysia yang berumur lebih 15 tahun mengharungi gaya hidup tidak aktif apabila ia dikaitkan dengan kerja, kerja di rumah, pengangkutan dan masa rehat.

Makanan sihat yang diambil oleh rakyat Malaysia juga dipersoalkan dan menyaksikan perdebatan awam mengenainya tiada penghujungnya.

Ramai bersetuju bahawa mereka mengambil banyak makanan tidak sihat tetapi tidak sanggup menukar kepada tabiat yang positif.

Oleh itu, pengawasan yang berterusan berhubung kesihatan seseorang boleh membantu rakyat Malaysia dalam mengekalkan status kesihatan yang sihat dan bertindak sebagai langkah untuk mengurangkan sebarang ancaman kesihatan.


EPI Life merupakan telefon pintar pertama dunia dilengkapi sensor bacaan Eloktro Kardiogram (ECG)untuk memantau denyutan dan tanda-tanda tidak normal pada jantung.

TERUSKAN

Eksekutif rakan kongsi syarikat telefon Maxis akan menyediakan pelan perkhidmatan pelanggan untuk peralatan ini.

Ketua bahagian Produk, Peralatan, Innovasi dan Rerayap, T. Kugan berkata, syarikat berkenaan berusaha agar perkhidmatan kesihatan dapat disalurkan menerusi peralatan mudah alih sebagai satu tumpuan bidang yang penting.

Syarikat ini adalah yang pertama menawarkan satu data mengikut pesanan untuk pelanggannya dengan bayaran serendah RM13 bagi setiap transaksi ECG.

Dengan harga RM2,299 setiap satu, telefon berkenaan boleh didapati di Pusat Maxis di KLCC, Taman Tun Dr. Ismail, Sunway Pyramid dan The Gardens.

Anggota Maxis One Club boleh mendapat tawaran istimewa, di mana mereka boleh menikmati diskaun RM600 sekiranya mereka menandatangani untuk mendapatkan perkhidmatan itu sebelum akhir September 2012 dan RM300 jika mereka menandatangani selepas tarikh itu.

Pakej eksklusif untuk pelanggan pasca bayar itu akan mengenakan caj RM13 bagi setiap bacaan ECG yang dihantar.

Untuk Pelan Maxis pula, pelanggan akan dikenakan caj RM55 untuk lima ECG, RM90 untuk 10 ECG dan RM210 untuk 30 ECG.

Pelanggan yang berminat boleh membeli EPI Life dengan harga RM2,299 daripada empat cawangan Pusat Maxis di KLCC, Taman Tun Dr, Ismail (TTDI), Sunway Pyramid dan The Gardens.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk berkenaan, boleh layari www.heartronics.com.my atau www.maxis.com.my.

Oleh Ali Imran Mohd Noordin dan NAZRUL AZIM SHARUDDIN
Sumber: BERNAMA [05/09/2012], Utusan dan Kosmo

1 comments:

Jahirah berkata...

canggihnya....sebagai ikhtiar tp kalau dah ajal pergi juga....