16 September 2012

Penubuhan Negara Malaysia



MENYUSURI lipatan sejarah negara mengingatkan seluruh rakyat Malaysia kepada tarikh penuh keramat, 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963.

Dua tarikh ini membawa erti yang sangat besar selain menjadi detik kepada terbentuknya sebuah negara merdeka bernama Malaysia.

Hakikatnya, tarikh 31 Ogos diangkat sebagai tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu menyaksikan bermulanya era pentadbiran dan sosioekonomi negara di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Beberapa tahun kemudian selepas detik 1957, langkah mula diatur. Rancangan disusun oleh pemimpin pada masa itu dalam kewujudkan sebuah persekutuan yang direncanakan.

Bermula dengan perundingan diikuti penubuhan jawatankuasa dan seterusnya proses turun padang bertemu rakyat, maka persetujuan akhirnya dicapai dan lahirlah sebuah negara bernama Malaysia.

Detik bersejarah itu dirakamkan pada 16 September 1963 yang menyaksikan penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura bagaimanapun keluar dari Malaysia pada tahun 1965.


Kini, selepas 49 tahun terbentuk atas nama Malaysia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama mahupun budaya terus berdiri teguh berprinsipkan Rukun Negara selain menjunjung sistem perlembagaan.

Namun, melihat kepada sisi masyarakat yang semakin maju, tarikh 16 September yang diisytiharkan sebagai Hari Malaysia sering kali dipandang sepi. Ia hanya diingati sebagai sebuah cuti umum.

Persoalannya, sejauh manakah rakyat negara ini khasnya golongan muda menghayati Hari Malaysia?

Satu nikmat besar
Bagi mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin, penubuhan sebuah gagasan bernama Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (sehingga 1965) merupakan satu nikmat besar yang perlu disyukuri.

Selepas Tanah Melayu bebas daripada penjajahan pada tahun 1957, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan mengenai penubuhan sebuah gagasan baharu menerusi gabungan bersama Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak pada 27 Mei 1961 di Singapura.



"Apa yang dilakukan oleh Tunku ketika itu adalah untuk mewujudkan suatu kerjasama politik dan ekonomi yang lebih erat dalam kalangan wilayah-wilayah serumpun.

"Malah, penggabungan ini turut mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah kalangan pemimpin dan rakyat setiap wilayah.

"Ketika itu, sikap tolak ansur dalam kalangan pemimpin begitu terserlah semata-mata untuk melihat rakyat bersatu di bawah satu payung negara," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tarikh 16 September menjadi saksi kepada kesepaduan serumpun masyarakat Malaysia.

Mengambil kira kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini, Datu Tigabelas menyifatkan perpaduan yang terjalin sejak terbentuknya Malaysia 49 tahun lalu adalah nikmat yang sangat besar bagi Malaysia.

Jelasnya, tidak banyak negara di luar yang mampu berdiri dan duduk bersama di bawah satu pemerintahan seperti yang dirasai oleh rakyat negara ini.

Sekalipun banyak rintangan pada awal penubuhan gagasan ini termasuk campur tangan negara jiran dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun berbekalkan semangat persahabatan serantau, jalan penyelesaian berjaya dicapai.

Bermula dengan pengumuman Tunku di Singapura pada tahun 1961, usaha penggabungan diteruskan dengan mengambil kira keadilan semua yang terlibat.

"Kita perlu faham maksud sebenar Hari Malaysia. Tarikh 31 Ogos ialah hari kemerdekaan kita dan itu fakta yang sangat jelas, manakala 16 September pula Hari Malaysia iaitu hari lahirnya sebuah negara bernama Malaysia.

"Dua tarikh ini perlu diingati dan diraikan. Paling penting, jasa-jasa pemimpin terdahulu terutamanya Tunku Abdul Rahman harus disanjung," tambahnya.

Antara pemimpin-pemimpin lain yang telah berusaha merealisasikan pembentukan Malaysia termasuklah Tun Abdul Razak Hussien, Tun Datu Mustapha Datu Harun, G.S Sundang, Temenggung Juggah Anak Barieng dan Datuk Abang Haji Openg.

Bercerita lanjut, Datu Tigabelas yang banyak membuat kajian ilmiah berkaitan sejarah Malaysia turut memberi pandangan bahawa perpaduan yang terbentuk dalam kalangan rakyat pelbagai kaum merupakan benteng dan senjata utama negara.


UPACARA pembacaan Pemasyhuran Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September 1963.

Lantas, beliau tidak mahu pengorbanan yang dilakukan pemimpin dan rakyat terdahulu sewenang-wenangnya dimusnahkan oleh generasi masa kini hanya kerana berlainan ideologi.

"Mengapa kemerdekaan kita mampu bertahan sehingga kini dan mengapa Malaysia terus dihormati oleh orang luar? Persoalan ini cukup mudah dijawab. Ia disebabkan kesepaduan dan tolak ansur kita.

"Jujur, kita perlu membuang segala persepsi untuk mencari perbezaan dan saya tidak faham mengapa perlu kita mencari perbezaan. Bukanlah indah andai kita sentiasa berbicara soal persamaan.

"Kita mungkin berbeza dari segi agama dan bangsa, tetapi kita tetap sama. Kita adalah rakyat Malaysia," jelasnya.

Cintakan negara

Pandangan itu turut disokong seorang belia, Amirullah Maraining, 26, yang menyifatkan kejayaan dan keharmonian sesebuah negara banyak didokong oleh semangat perpaduan.

"Sebagai anak muda yang mempunyai pelbagai persepsi, saya sentiasa sedar dan bersyukur dengan nikmat yang diperoleh di negara ini.

"Kita juga beruntung kerana mampu meraikan dua peristiwa bersejarah iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ia adalah bukti wujudnya kesamarataan dalam kalangan kita," ujarnya.

Bagi seorang belia dari Sarikei, Sarawak, Edward Ellie, 26, dia merasakan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada setiap 16 September perlu menjadi platform untuk menyemai semangat cintakan negara.

Kata mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, jika 31 Ogos diingati sebagai tarikh untuk menyemai semangat kemerdekaan di kalangan hati para belia, maka 16 September juga wajar diingati sebagai tarikh untuk memupuk semangat bangsa.

"Ramai golongan muda yang tidak faham dengan konsep 16 September dan tarikh itu hanya diraikan sebagai cuti umum.

"Namun, jika diimbas kepada sejarah lampau, Hari Malaysia merupakan hari rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama disatukan di bawah satu pentadbiran," katanya.

Rakannya, Eko Prayitno, 27 pula merasakan konsep dan pengertian Hari Malaysia ini perlu diterapkan dalam diri setiap daripada rakyat agar sentiasa menghargai perpaduan sedia ada.

Justeru katanya, sistem pendidikan memainkan peranan paling besar dalam menyalurkan semangat cintakan negara sejak dari bangku sekolah agar sindrom membencikan negara dan pemimpin tidak lagi wujud.

Rasa bangga

Stella Lasan, 26 berasal dari Sarikei, Sarawak dan kini menetap di Kota Kinabalu, Sabah yang terletak beribu-ribu kilometer dari tanah kelahirannya.


DARI kiri: Tunku Abdul Rahman, Setiausaha Kolonial British, Duncan Sandys dan Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew berbincang mengenai penubuhan Malaysia.

Menyedari pengorbanan yang terpaksa dipikulnya untuk berjauhan dengan keluarga, Stella yang merupakan kakitangan universiti di Kota Kinabalu bagaimanapun tetap bersyukur dengan nikmat yang diperolehnya.

"Apa yang saya rasai hari ini ialah hasil perjuangan pemimpin terdahulu. Sekalipun saya lahir di Sarawak, tapi saya masih mampu mencari rezeki di Sabah.

"Begitu juga rakan-rakan yang lain. Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kami hidup sebagai sebuah keluarga," jelasnya.

Sumber: Kosmo


2 comments:

Unknown berkata...

merdeka 2 kali lah malaysia ..

tol tak..jadi kita sebagai rakyat untung dapat public holiday 2 kali...



ye dak??


pepun payah sesebuah negara ni nak merdeka,jadi bila dah merdeka, kekalkan lah...

Unknown berkata...

rasa2 x ramai yg tau sejarah penubuhan negara kita kan