07 Oktober 2012

Hari Ungu Anak Autisme



KESUKARAN berinteraksi dan berkomunikasi serta perlakuan yang terhad dan berulang bagaikan berada di dunia mereka sendiri membuatkan kanak-kanak autisme tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

Simptom autisme selalunya dapat dikesan seawal usia tiga tahun apabila ibu bapa dapat merasai kelainan pada anak mereka yang sukar memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.

Tidak suka bersosial, bercakap dalam nada yang pelik, tidak boleh duduk diam dan tidak mahu bertentang mata merupakan antara simptom masalah ini.

Dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak Malaysia menghadapinya dan statistik menunjukkan kira-kira 47,000 penduduk negara ini mengalami masalah autisme.


Daripada jumlah tersebut, empat atau lima orang bagi setiap 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang menyebabkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling kecuali diri sendiri.

Sehubungan itu, kanak-kanak autisme ini perlu dibantu dalam menjalani kehidupan yang lebih baik seperti manusia normal yang lain.

Kempen Hari Ungu

Sebagai tanda sokongan terhadapi usaha itu, pusat beli-belah terkenal, Suria KLCC buat tahun ke tiga berturut-turut melancarkan Kempen Hari Ungu (Purple Day).

Kempen yang dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme dilancarkan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr. Safurah Jaafar.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien, berkata, kempen tersebut juga bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

"Tahun lalu kami berjaya mengumpul lebih RM150,000 dan tahun ini sasaran kami ialah RM200,000 bagi membantu lebih ramai lagi individu autisme dan keluarga mereka.

"Kami amat teruja dan menyeru semua rakyat Malaysia menyertai kempen ini bagi membantu kanak-kanak autisme ini," kata

Sepanjang kempen berlangsung dari 20 sehingga 30 September lalu pelbagai aktiviti telah diadakan seperti jualan baju T hasil karya kanak-kanak autisme, beg tote hiasan telefon bimbit, cawan dan patung edisi terhad.

Selain itu, terdapat beberapa kedai dan restoran terpilih di dalam pusat membeli-belah Suria KLCC turut menyokong kempen Hari Unggu 2012 di mana dalam setiap pembelian di tempat tersebut sebahagiannya disumbangkan kepada Nasom.

Lebih membanggakan, kempen ini telah menerima anugerah emas dari International Council of Shopping Centres (ICSC) di World Retail Real Estate Summit dalam ketagori pemasaran kemasyarakatan baru-baru ini.

Oleh NOR FARHANI CHE AD
Sumber: Utusan

Hari Ungu untuk autisme


SEKUMPULAN kanak-kanak autisme memeriahkan majlis pelancaran pada September lalu dengan membuat persembahan nyanyian di hadapan ratusan penonton.

SURIA KLCC baru-baru ini menganjurkan kempen Hari Ungu di pusat beli-belah itu untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak autisme selain memberi pemahaman mengenai penyakit tersebut kepada para pengunjung.

Pelbagai aktiviti telah disusun bagi disertai orang ramai sekali gus menderma kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (National Autism Society of Malaysia) atau Nasom.

Antara acara yang mendapat sambutan ramai ialah Electrifying Maze, Spin The Wheel, lukisan muka dan mengambil gambar yang menggunakan hiasan Hari Ungu sebagai latarnya.

Dengan membayar RM3 hingga RM10 untuk menyertai aktiviti dan acara tersebut, pengunjung secara tidak langsung menyalurkan nilai wang berkenaan kepada persatuan yang memerlukan itu.


ANDREW (kiri) melawat tapak pameran yang dibuka di Centre Court, Suria KLCC.

Pengisian hari istimewa itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Para pengunjung juga boleh membeli baju T bercorak hasil karya kanak-kanak dari Nasom pada harga RM30.

Pengunjung juga boleh membawa pulang cenderamata dan barangan khas kempen seperti beg yang dijual pada harga RM25, cawan (RM5), hiasan telefon bimbit (RM8) dan boneka comel yang boleh dimiliki pada harga RM29.90.

Seorang pengunjung, Mohd. Ridzuan Mohd. Abbas, 17, mengakui dia tidak tahu mengenai penyakit itu.

Dia tertarik dengan penganjuran pameran lantaran timbul rasa ingin tahu mengenai penyakit autisme.

“Selepas saya membaca risalah-risalah yang disediakan dalam pameran itu barulah saya mempunyai pengetahuan serba sedikit tentang autisme.

“Program-program mengenai kesihatan seperti ini perlu dianjurkan dengan kerap memandangkan masih ramai individu terutamanya golongan belia yang tidak mempunyai pemahaman jelas terhadap jenis-jenis penyakit tertentu,” katanya sambil memuji langkah Suria KlCC yang mengadakan pameran itu.

Autisme ialah masalah perkembangan otak yang menyekat kebolehan berkomunikasi seseorang kanak-kanak sehinggalah usia remaja.


ANDREW (tiga dari kanan) melancarkan kempen Hari Ungu di Suria KLCC baru-baru ini.

Penyakit tersebut menyebabkan seseorang kanak-kanak itu mempamerkan kelakuan yang berulang-ulang, sama ada menerusi percakapan, sikap dan kelakuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, kempen itu diadakan untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai autisme.

“Kempen ini juga merupakan tanda tanggungjawab sosial kami untuk membantu kanak-kanak yang menghidap autisme selain memberi ruang kepada para pelanggan kami menyumbang ke arah kebajikan.

“Kami berharap melalui dana yang telah dikumpulkan nanti, pihak Nasom dapat menjalankan aktiviti mereka dengan sempurna,” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di ruang legar KLCC, di Kuala Lumpur baru-baru ini.


BONEKA comel berwarna ungu ini mencuri perhatian pengunjung untuk memilikinya.

Oleh SUHANA VERU
Sumber: Kosmo

2 comments:

Unknown berkata...

harap mak bapak bersabar dgn karenah anak istimewa mereka kan


jom p autoshow Gombak .http://gilamodified.blogspot.com/2012/10/autoshow-uptown-sri-gombak-oct-14.html

Jahirah berkata...

kanak2 autisme tak terpinggir....