30 Oktober 2012

Senad Hadzic Jalan Kaki 5,700km Untuk Tunai Haji


SENAD HADZIC

Seorang lelaki Islam warga Bosnia, Senad Hadzic, 47, menjadi tumpuan dunia Islam menjelangnya musim haji tahun 2012 ini kerana kejayaannya berjalan kaki secara solo dari rumahnya di Bovinic yang terletak di timur laut Bosnia menuju ke Tanah Suci Mekah.

Senad Hadzic mula berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun 2011 lalu dan dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.

"Saya tiba di Mekah pada Sabtu (20/10/2012) lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,777 kilometer (km) selama 314 hari merentasi tujuh buah negara iaitu Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.


Ketika ditemu bual AFP, Senad menjelaskan, perjalanan ke Mekah untuk menunaikan haji ini adalah bentuk pengabdian dirinya sebagai hamba kepada Penciptanya.

“Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina serta untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya.

“Sepanjang perjalanan saya hanya mengharapkan perlindungan-Nya daripada sebarang musibah. Ramai orang yang saya jumpa dalam perjalanan bertanya, tidak takutkah anda berjalan sendiri sedangkan perlu melepasi negara yang bergolak?

“Saya hanya menjawab, selagi Allah bersama saya, tidak ada apa yang perlu saya gentarkan,” ujar Senad yang merupakan seorang profesor ekonomi di sebuah universiti di negaranya.

Memulakan perjalanan dari rumahnya Disember tahun 2011 lalu, dia nekad berjalan kaki menuju Mekah lantaran tidak mampu menampung kos haji yang disifatkan terlalu tinggi di negaranya.

“Hati saya terlalu ingin menunaikan fardu haji tahun ini namun saya tidak mampu menyediakan wang tambang untuk ke Mekah.

“Selepas membuat perancangan rapi tahun 2011 lepas, saya akhirnya memulakan langkah menuju Baitullah Disember 2011 lalu. Saya sangat bersyukur kerana sempat sampai di Mekah sebelum hari wukuf.

“Walaupun perjalanan ini jauh, Alhamdulillah, saya tidak letih. Sebaik sahaja melepasi sempadan Arab Saudi, hati saya bergetar. Panggilan haji terasa semakin dekat. Ia hari paling bahagia dalam hidup saya,” ujar Senad.

Pengalaman merentasi Syria

Lelaki tinggi lampai ini sentiasa memuat naik perkembangan perjalanan ibadahnya merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan melalui akaun Facebook miliknya.

Ini termasuklah gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.

"Saya merentasi Syria pada April 2012 lalu. Saya berjalan sekitar 500 km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.

“Saya melalui sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak di bandar raya Aleppo dan Damsyik, namun saya tidak pernah ditahan.

“Cuma sekali ketika melintasi pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg galas.

“Apabila saya menunjukkan naskhah al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah untuk menunaikan haji, mereka melepaskan saya pergi,” kata Senad.


SENAD (kanan) tiba di Mekah pada hari Sabtu minggu lalu iaitu beberapa hari sebelum hari wukuf.

Mendapat Petunjuk Allah

"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.

Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.

“Saya yakin dengan kata hati saya. Walaupun Syria sedang bergolak dan peluru sesat ada di mana-mana, saya yakin Allah sentiasa ada bersama saya,” katanya.

Bagi pengembara solo Muslim sepertinya, ramai dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang bimbangkan keselamatannya namun Senad mengakui dia sudah mempersiapkan diri sekiranya terpaksa berdepan dengan masalah di negara yang mengamalkan pegangan Kristian yang kuat seperti Serbia dan Bulgaria.

“Terlalu banyak pengalaman dan masalah yang saya tempuhi sepanjang lebih 10 bulan berjalan kaki antaranya perubahan drastik cuaca dan birokrasi pemerintah di negara yang dilaluinya.

“Semasa merentasi Bulgaria, saya berdepan cuaca sejuk melampau sekitar -35 darjah Celsius. Ketika berjalan di Jordan pula, cuaca di sana kering dan panas sehingga mencecah 44 darjah Celsius.

“Saya juga terkandas selama 20 hari di Istanbul sebelum mendapat kebenaran untuk berjalan kaki menyeberangi Jambatan Bosporus yang menghubungkan Eropah dengan Asia memandangkan jambatan tersebut boleh dilalui oleh kenderaan sahaja.

“Selain itu, saya juga perlu menunggu selama dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa mengerjakan haji,” katanya.

Ketika di Turki pula, Senad bertemu dengan seorang lelaki tua yang sangat pemurah.

“Dia bertanya, ke mana saya ingin pergi. Apabila saya memberitahu, saya datang dari Bosnia dan sedang berjalan kaki untuk menunaikan haji, lelaki tua itu menjadi sebak. Dia melayan saya dengan baik malah mahu memberikan saya wang untuk membeli tiket kapal terbang ke Mekah. Dengan rendah hati saya menolaknya.

“Di Serbia pula, saya banyak menerima hadiah topi dan stoking kaki baik daripada peniaga mahupun penduduknya yang keluar berjalan. Di sana juga, saya bertemu dengan seorang profesor berbangsa Serbia dan dia telah mengundang saya ke rumahnya.

“Ketika berbual-bual, profesor Serbia yang beragama Kristian itu memberitahu bahawa saya adalah orang Muslim pertama yang memasuki rumahnya. Ia adalah penghormatan besar bagi saya.

“Ternyata, perjalanan ini banyak mengajar saya. Pengalaman saya paling berharga ialah saya banyak belajar tentang berterima kasih dan faham mengapa kita sering diingatkan supaya bersyukur dengan apa yang kita ada,” cerita Senad.

Susunan SITI NOR AFZAN KASIMAN
Sumber: Kosmo Artikel 1 dan Kosmo Artikel 2

2 comments:

Unknown berkata...

betapa besar pahala dia ..InsyaAllah

Dayang Deno berkata...

apa2 pun tak mustahil kan.. alhamdulillah dia selamat sampai :)