05 Oktober 2012

Penjelasan Tentang Zihar



Zihar adalah lafaz suami yang menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan anggota wanita yang mahram muabbad kepada suami.

Lafaz zihar terbahagi kepada dua:

a. Lafaz sarih (jelas): 
Lafaz yang menunjukkan kepada maksud zihar sahaja dan tidak boleh diandaikan kepada maksud yang lain.lafaz sarih ini tidak memerlukan kepada niat selagi mana seorang suami itu waras dan memahami apa yang dikatakannya.

Contoh : suami berkata kepada isterinya : “Engkau haram ke atasku seperti haramnya belakang ibuku”.

b. Lafaz kinayah (kiasan): 
Lafaz yang boleh diandaikan sebagai zihar dan boleh juga diandaikan sebagai bukan zihar. Sekiranya diniatkan zihar maka lafaz tersebut menjadi zihar dan sebaliknya jika diniatkan sebagai bukan zihar.

Contoh : Suami berkata kepada isterinya, “Engkau seperti ibuku dan adik perempuanku”.


Kaffarah Zihar

Sebelum suami kembali 'bersama' semula dengan isterinya, suami hendaklah menyempurnakan kaffarah zihar mengikut tertib kemampuan seperti berikut :

a. Memerdekakan seorang hamba mukmin yang tidak cacat; jika tidak mampu.
b. Berpuasa dua bulan berturut-turut; jika tidak mampu
c. Memberi makan 60 orang miskin ( secupak setiap orang makanan asasi kawasan tersebut ).

Sumber: Masjid Wilayah

ADAKAH jatuh zihar sekiranya secara bergurau berkata pada isteri (contoh: ketika membeli kasut) "Tahulah kaki awak sama dengan kaki mak saya" (merujuk pada bentuk kaki)?

Tidak disabitkan jatuh hukum zihar ke atas pasangan suami isteri dalam senario ini kerana kekurangan syarat zihar yang ketiga dan keenam daripada syarat-syarat zihar.

Syarat-Syarat Zihar:

1. Suami mestilah seorang yang Muslim dan sudah baligh (mukalaf).
2. Hubungan suami-isteri di antara mereka hendaklah masih sah.
3. Gaya bahasa (sighah) lafaz yang digunakan oleh suami memang bermaksud untuk menziharkan isteri.
4. Perumpamaan yang dikenakan oleh suami kepada isteri secara keseluruhan dirinya atau sebahagian sahaja.
5. Persamaan yang disebut di antara isterinya dengan mana-mana perempuan lain yang haram baginya nikah sama ada sementara atau selama-lamanya.
6. Persamaan yang disebut membawa makna haramnya hubungan suami-isteri di antara mereka.

Menurut buku al-Mughni dalam Kitab Zihar kebanyakan ulama termasuk Imam al-Syafie yang menjadi pegangan utama di Malaysia, jika seseorang suami berkata sesuatu yang mirip zihar akan tetapi niatnya mulia atau menyifatkan isterinya seperti ibunya pada saiz, bentuk atau sifat-sifat lain seperti kecantikan maka tidak dikira zihar.

Ia bergantung kepada niat dan cara perkara yang disebutkan oleh suami itu dimaksudkan bagi Imam al-Syafie. Ini kerana pada kebiasaannya, suami menyebut begitu pada perkara-perkara yang mulia berbanding yang haram di mana-mana ia jarang-jarang berlaku.

Isu zihar ini berakar-umbi dalam masyarakat Arab sebenarnya dengan niat yang jelas untuk memudaratkan isteri dari sudut hubungan perkahwinan terutamanya ketika berlaku perselisihan atau dalam keadaan marah yang biasanya bernada sumpah (halaf).

Inilah faktor (qarinah) yang membawa kepada jatuhnya pensabitan hukum zihar kerana Islam membatalkan persamaan zihar dengan implikasi talak dalam masyarakat Arab jahiliah lampau.

Hal ini agak canggung dalam budaya Melayu atau Malaysia amnya. Apabila kita di Malaysia mengumpamakan sesuatu yang sepunya di antara si isteri dan sang ibu biasanya tidak bermaksud untuk menggugat hubungan perkahwinan di antara suami dan isteri secara langsung.

Ini adalah satu perbezaan budaya yang sangat ketara dan Islam terutama dalam bab fekah mengiktiraf perbezaan budaya seperti prinsip usul fikah: Al-'adah muhakkamah (budaya menentukan).

Kisah turunnya hukum zihar dan cara menebus kesalahan zihar adalah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Mujadalah, ayat 1-5:

Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [1]

Orang-orang yang menziharkan isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [2]

Dan orang-orang yang menziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur kembali. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. [3]

Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [4]

Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghinakan mereka. [5]

Sumber: Utusan

2 comments:

Jahirah berkata...

kena hati2 nak samakan wife n ibu sendiri...

Unknown berkata...

zihar tu kiranya jangan ambil mudahkan ?

ilmu2..