08 November 2012

Kebersihan Diri Halang Jangkitan HFMD



Contoh Kes

Pada petang Aidilfitri 2012 yang lepas, seorang ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun perasan kemunculan tompok-tompok berwarna merah kehitaman di sekeliling bibir mulut anaknya.

Ibu itu hanya melihat sahaja kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang reaksi kesakitan atau tidak keselesaan dan tompok-tompok itu hanya sedikit bilangannya.

Bagaimanapun menjelang malam, lebih banyak tompok itu timbul. Ia juga mula dilihat pada jari-jamari tangan dan kaki kanak-kanak perempuan itu. Risau dengan keadaan itu, ibu bapanya menghantar Nasha (bukan nama sebenar) ke klinik swasta.


"Doktor (di klinik) memberitahu kami tompok-tompok itu mungkin disebabkan jangkitan 'kandida' (sejenis kulat) dan memberikan ubat krim untuk disapu pada tempat jangkitan," terang ibu kanak-kanak berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Sheila.

Tetapi setelah pulang dari klinik, lebih banyak tompok merah kehitaman itu muncul dan Nasha mula demam, menyebabkan ibu bapanya terus membawanya ke hospital.

Doktor di hospital mengesahkan Nasha menghidap Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).



Punca HFMD

Pada 20 Mei 2012 lepas, laporan media mengesahkan 213 kes HFMD di Sarawak sepanjang tahun lepas manakala lima bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 806 kes dicatatkan.

HFMD disebabkan enterovirus, sejenis virus yang wujud dalam usus manusia. EV71 adalah antara enterovirus yang paling berbahaya.

Bila dijangkiti HFMD, pesakit akan mengalami demam dengan suhu 39 darjah ke atas. EV71 dilaporkan menyebabkan kematian 31 kanak-kanak di Sarawak pada tahun 1997.

HFMD merupakan penyakit berjangkit yang boleh menyerang bayi dan kanak-kanak. Tiada vaksin yang boleh menghalangnya.

"Walaupun tiada vaksin bagi menghalangnya, terdapat kaedah mudah bagi mengurangkan risiko jangkitan," jelas pakar kanak-kanak Dr L. Tan.

Katanya HFMD biasanya menyebabkan demam, ulser dalam mulut serta ruam yang boleh jadi blister (gelembung cairan). Ia biasanya menyerang kanak-kanak bawah umur 10 tahun tetapi juga boleh dialami oleh mereka dalam peringkat umur yang lain.

"Tiada rawatan yang spesifik untuknya. Risiko jangkitan boleh dikurangkan dengan mengamalkan kebersihan diri seperti dengan selalu membasuh tangan," terang beliau.

DEMAM, HILANG SELERA

Menurut Dr Tan, pesakit yang mengalami HFMD selain demam, akan hilang selera makan, rasa lemah-lemah badan dan juga sakit tekak.

Beberapa hari selepas mulanya demam, ulser yang pedih akan muncul dalam mulut selain ruam yang mula timbul di tapak tangan, tapak kaki dan punggung. Ruam ini boleh jadi gelembung cairan tetapi tidak gatal.

Katanya HFMD biasanya tidak serius.

"Penyakit ini tidak berat dan kebanyakan daripada mereka yang mengalaminya akan pulih dalam tujuh hingga 10 hari. Jarang sekali berlaku komplikasi.

Jelas beliau lagi, jika pesakit mengalami HFMD dengan teruk, pesakit itu terpaksa dimasukkan ke hospital selama beberapa hari bagi mendapatkan rawatan simptom yang muncul.

ADAKAH IA BERJANGKIT?

Dr Tan berkata HFMD boleh berjangkit tetapi pada peringkat sederhana sahaja.

"Pada mereka yang terkena penyakit ini, virus yang menyebabkan HFMD boleh didapati dalam cecair sekresi hidung dan mulut seperti air liur, kahak dan hingus selain daripada cecair yang keluar dari gelembung dan juga najis.

"HFMD berjangkit daripada pesakit kepada indivdu lain melalui sentuhan, batuk serta bersin selain menyentuh permukaan yang mempunyai virus ini.

"Pesakit HFMD paling mudah menjangkiti orang lain pada minggu pertama, tetapi ia masih boleh berjangkit walaupun simptomnya telah hilang. Virus ini boleh wujud dalam najis berminggu lamanya.

"Harus dingat juga mereka yang dijangkiti HFMD boleh menjangkiti orang lain dengan virus itu walaupun tiada simptom yang timbul dan kelihatan pada diri mereka," katanya.


Ruam di tapak tangan juga adalah gejala akibat serangan penyakit HFMD

Menyerang KANAK-KANAK

Dr Tan berkata, HFMD biasanya menyerang kanak-kanak bawah umur 10 tahun tetapi juga boleh menjangkiti anak-anak pada usia lebih daripada itu serta orang dewasa.

"Individu boleh membina imuniti (ketahanan badan) terhadap HFMD tetapi penyakit itu boleh disebabkan beberapa virus dari kumpulan enterovirus, individu boleh dijangkiti penyakit itu lagi bila diserang oleh 'strain' (jenis) enterovirus yang lain.

"Tiada rawatan spesifik terhadap HFMD. Sakit dan demam boleh dirawat dengan ubat tahan demam dan tahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen. Mereka yang mengalami HFMD perlu minum banyak air untuk menghalang dehidrasi.

"Dan tiada vaksin untuk menghalang HFMD. Bagi mengurangkan risiko, basuhlah tangan selalu dan sekerap mungkin terutama selepas tukar lampin, bersihkan objek seperti alat permainan dan pemegang pintu yang mungkin mempunyai virus penyebab HFMD.

"Elakkan berada rapat dengan mereka yang dijangkiti HFMD," nasihat Dr Tan sebagai langkah mencegah dijangkiti.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [20/10/2012]



Awasi jangkiti HFMD

JANGAN cemas kerana penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) hanya menyerang kanak-kanak dan secara amnya ia tidak berbahaya," ulas Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor.

Bagaimanapun beliau yang ditemui di kliniknya di Kuala Lumpur turut menyatakan, penyakit itu tidak begitu berbahaya sekiranya ia dikesan pada peringkat awal.

Malah kebanyakan kes yang menyebabkan kematian disebabkan kelewatan membawa mangsa mendapatkan rawatan. Apabila lambat dirawat ia boleh menyerang otak atau saraf tunjang kanak-kanak tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda seperti demam, batuk dan selesema yang diikuti dengan ulser di tangan, kaki dan dalam mulut, pesakit hendaklah segera dibawa berjumpa doktor.

Ini kerana, penyakit yang mudah merebak melalui air liur, sentuhan dan juga najis itu merupakan penyakit berjangkit yang mampu dan mudah merebak dalam tempoh amat singkat.

Jelas Dr. Azam, HFMD merupakan demam virus yang disebabkan dua jenis virus utama iaitu coxsackie dan enterovirus.

Tambah beliau, antara kedua-dua virus tersebut, HFMD lazimnya disebabkan oleh coxsackie dan ia biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke bawah.

Meskipun penyakit ini boleh dikategorikan sebagai tidak begitu berat, namun ia boleh mencapai tahap wabak.

Manakala kematian selalunya berlaku ke atas kanak-kanak yang mengalami kehilangan air dalam badan ekoran penyakit tersebut.

Pada masa yang sama, kes kematian akibat penyakit itu juga disebabkan oleh enterovirus EV71 yang berpunca daripada manusia.

Selain itu, Dr. Azam menyatakan bahawa HFMD bukan hanya berjangkit menerusi kanak-kanak tetapi ia juga boleh berlaku antara kanak-kanak dengan orang dewasa.

"Orang dewasa yang membawa virus ini mungkin tidak mengalami sebarang simptom HFMD atau demam. Namun mereka masih boleh membawa jangkitan tersebut kepada kanak-kanak.

"Oleh itu, orang dewasa perlu terlebih dahulu menjaga kebersihan diri dengan mengikut langkah-langkah perlu sebelum menyentuh, mencium atau memegang anak-anak mereka," katanya.

Walaupun jangkitan penyakit ini masih terkawal ketika ini tetapi kata Dr. Azam, aspek kebersihan perlu diberi perhatian bagi mengelak ia merebak lebih teruk.

Katanya, walaupun tidak semua orang akan mendapat penyakit ini tetapi setiap individu pastinya akan 'diserang' penyakit itu sekali seumur hidup.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
Sumber: Utusan [31/05/2012]

3 comments:

Unknown berkata...

Ni musim banjir ni mmg kena berhati-hati lah

Unknown berkata...

Hummm susah nak cakap penyakit sekarang ni macam2 anak ppp hari tu lagi la dah nak dekat PMR sekali tu kena demam campak :P tapi alhamdulillah sempat baik sebelum exam :)

Jahirah berkata...

bahaya penyakit ni....kdg2 tu simptom penyakit hampir sama je.