06 November 2012

Pemakanan Sihat Untuk Kanak-Kanak



Seorang daripada tiga kanak-kanak di negara membangun didapati terjejas kesihatannya akibat kekurangan vitamin, mineral dan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan, kecacatan fizikal dan perkembangan intelektual.

Malah, satu pertiga daripada kanak-kanak juga kekurangan zat makanan. Apa pun puncanya, peranan ibu bapa amat penting dengan menjana pertumbuhan sihat anak.

Tubuh badan yang sihat dan cergas serta otak yang cerdas (IQ) bermula dengan memberi makanan yang berkhasiat penuh dengan vitamin dan zat. Ada yang bertanggapan kanak-kanak elok memiliki tubuh gempal dan berisi kerana badan mereka akan susut dengan sendiri apabila sudah mula berjalan atau aktif bergerak.


Bagi Maghfarah Che Manshor, 26, memiliki anak yang sihat adalah impiannya sejak awal mengetahui beliau mengandungkan anak sulung. Apabila cahaya mata pertama, Maryam Faleesya Mohd Faizal, 2, dilahirkan, beliau cukup prihatin mengenai pemakanan bayinya selepas berusia enam bulan.

“Sejak lahir saya berikan dia susu badan dan tidak pernah memberi minuman yang selain daripada susu dan jus buah dibuat sendiri sejak berusia lapan bulan,” katanya.


Menu kaya khasiat berbeza setiap hari bantu si kecil cergas, pintar

Masak sendiri

Maghfarah atau lebih mesra disapa Farah menjelaskan beliau memilih menyediakan sendiri makanan Maryam kerana berpendapat ia sebagai langkah terbaik untuk memastikan anak membesar dengan kuat, sihat dan cergas.

“Kalau kita lihat corak pemakan zaman dulu, mereka beri bayi pisang lenyek. Ternyata makan itu amat baik untuk tubuh bayi. Bagaimana saya nasihatkan ibu supaya bertanya kepada doktor terlebih dulu jika ingin menyediakan makanan untuk si kecil selain merujuk majalah kanak-kanak dan sumber lain,” katanya.

Lulusan kejuruteraan mekanikal yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa itu ternyata memanfaatkan sebaik mungkin masa bersama anak kerana beliau mahu memastikan Maryam menikmati menu berbeza setiap hari.

Rujuk internet

Ada pelbagai laman web yang boleh saya rujuk mengenai khasiat seperti vitamin dan mineral yang ada dalam sayur-sayuran dan buah-buahan selain apa makanan lain sesuai untuk bayi.

“Saya suka mengambil tahu mengenai apakah vitamin dan zat yang sesuai yang boleh saya berikan pada anak yang sedang membesar. Mula-mula terasa susah juga, namun lama-kelamaan saya mula gian membuat pelbagai menu untuk Maryam kerana dia juga gemar makan,” katanya.

Baginya, si kecil berhak memperoleh yang terbaik kerana makanan sihat adalah teras kepada kesihatan bayi. Berisi atau tidak fizikal si bayi tidak menjadi persoalan, sebaliknya apa yang ditekankan beliau dan suami ialah anak sihat dan cergas, membesar dengan sihat dan mempelajari banyak perkara sesuai usianya.

Setiap hari, menu Maryam bertukar seperti ikan, udang, nasi, spagheti, jus buah, yogurt, lempeng dan sayur-sayuran terpilih yang setiap bahan mempunyai fungsi tertentu untuk gizi si kecilnya. Maryam juga tidak diberikan makanan tambahan lain kerana beliau yakin menu pilihan air tangannya sendiri sudah memadai untuk keperluan pembesaran Maryam.

“Bukan Maryam tidak pernah sakit, ada juga dia terkena jangkitan viral dan dimasukkan ke wad beberapa hari. Hanya sekali itu sajalah dia di wad dan selebihnya, tahap kesihatannya memuaskan.

Dia jarang sakit atau demam kecuali ‘sakit’ disebabkan aktif bergerak dan bermain di rumah, terlanggar kerusi atau meja. Kita kerap dengar si kecil tidak suka makan sayur atau buah, namun mungkin sebab didedahkan sejak kecil, Maryam makan banyak jenis sayur dan buah. Lazimnya saya akan mesin buah dan yogurt untuk minuman Maryam,” katanya.

Ubah suai menu

Farah bernasib baik kerana Maryam makan dengan berselera setiap menu disediakan walaupun ia mungkin agak aneh pada cita rasa si kecil lain.

“Maryam suka makan. Dia mahu makan apa yang saya makan. Jadi saya akan mengubahsuai resipi supaya kena dengan keperluan Maryam, tiada perasa makanan tambahan, tidak pedas, tidak berlemak dan pastikan ia disediakan dengan betul.

“Adalah penting untuk memastikan makanan bayi atau kanak-kanak dimasak dengan betul, bersih dan mengandungi zat mahupun vitamin sesuai,” katanya.

Baginya, pernyataan yang menyebut 'kita adalah apa yang kita makan' memang tepat kerana pemakanan hari ini akan membentuk jati diri dan fizikal Maryam apabila si kecil meningkat dewasa. Beliau mahu Maryam mengalami hidup berkualiti, bebas penyakit dan dapat menikmati hidup sebaik-baiknya tanpa perlu memikirkan mengenai sebarang penyakit.

“Kanak-kanak juga boleh terdedah penyakit jantung, obesiti dan pelbagai menyebabkan saya mengambil langkah awal membiasakan Maryam dengan pemakanan sihat. Kanak-kanak seperti Maryam akan terbiasa dengan makanan yang kita mungkin tidak gemar,” katanya.

Tips sihat untuk kanak-kanak:

* Mempelbagai menu setiap hari.
* Masukkan sayur berwarna seperti lobak merah dan brokoli
* Kanak-kanak mudah tertarik makanan berwarna-warni.
* Bentukkan makanan atau buah-buahan mengikut bentuk tertentu.
* Elakkan gunakan bahan perisa tambahan dalam makanan anak.
* Pastikan ada hidangan buah dan sayur dalam menu.
* Letakkan buah sudah siap dipotong dan letakkan dalam peti ais, beri bila ada masa lapang.
* Bawa anak ke pasar raya dan minta mereka pilih sayur atau buah yang diingini.

Risiko kurang zat makanan

* Anak perlu cukup zat besi, zink, kalsium, iodin dan vitamin A.
* Vitamin A penting untuk kesihatan mata.
* Kekurangannya Vitamin Aboleh mengakibatkan penglihatan terjejas teruk, buta dan risiko diserang penyakit teruk.
* Iodin untuk tumbesaran kanak-kanak
* Kurang Iodin mengakibatkan kerosakan otak, hipotiroid, pertumbuhan kognitif dan perkembangan saraf motor terjejas.
* Tanda seperti bengkak di leher dan mata terbonjol.
* Kurang zink beri kesan kepada gangguan otak, pertumbuhan terencat, disleksia dan daya tahan penyakit.
* Kalsium untuk pembentukan tulang dan gigi yang kuat.
* Vitamin C untuk kulit sihat, meningkatkan imun sistem dan menyerap zat besi.

Oleh: Shaidah Shafie
Sumber: BHarian [2012/10/23]

4 comments:

EH - Ekslamasi Holistik berkata...

Pemakanan sihat utk tumbesaran yg seimbang..

Jahirah berkata...

air tangan ibu mampu hasilkan makanan yang berkhasiat.....

Unknown berkata...

sekarang susah nak elak la koding, dgn restaurant fast food yg bersepah2.. kat sini... apa yg boleh kita buat pantau jer... ni dah mak bapak pung sikit2 mcd sikit kepci.. acnor? kan ha ha ha >..< same le aku pung :P

Unknown berkata...

Makanan berkhasiat anak pun sihat