05 November 2012

Petaka Sandy Membadai Amerika Syarikat



TAUFAN atau ribut tropika adalah ribut akibat haba yang dilepaskan apabila udara panas naik dan wap udara di dalamnya termeluwap. Dinamakan ribut tropika kerana lahir di tropika dan putarannya melawan jam di hemisfera utara dan mengikut arah jam di hemisfera selatan.

Dalam Bahasa Melayu, istilah taufan, hurikan dan siklon tropika membawa maksud yang sama tetapi di dalam Bahasa Inggeris, istilahnya berbeza mengikut tempat.

Ribut tropika biasanya diukur mengikut skala Hurikan Saffir Simpson dalam kategori satu hingga lima. Ribut tropika yang mengganas boleh menyebabkan bukan saja kemusnahan harta benda malah mengorbankan nyawa. [Utusan]



SEBUAH rumah yang musnah masih belum dibaiki di Pantai Union, New Jersey.

Sandy membadai AS selepas Katrina

TAUFAN Sandy yang melanggar New York, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin 29 Okt 2012 lalu merupakan pengalaman bencana alam pertama yang dihadapi oleh Muhammad Syazwan Adzhar, 21, dan rakan-rakannya yang sedang belajar di sana.

"Hujan lebat dan ribut begitu kuat pada malam itu. Kelas dan aktiviti di kampus dibatalkan kerana bimbang taufan Sandy semakin buruk.

"Semakin lama, angin semakin kuat bertiup dan bekalan elektrik beberapa kali terputus. Alhamdulillah, mujur lampu hanya malap dan tidak terputus sepenuhnya.

"Orang ramai di kawasan persekitaran mula berpusu-pusu keluar ke pasar raya atau kedai-kedai terdekat untuk membeli bekalan makanan," kata Muhammad Syazwan memberi gambaran keadaannya pada malam kejadian melalui e-mel yang dihantar kepada Kosmo!.

Muhammad Syazwan merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang Geosains di Universiti Pennsylvania (PSU). Sepanjang kelas dibatalkan, Muhammad Syazwan dan rakan-rakan hanya terperuk di rumah dan memantau perkembangan taufan Sandy melalui internet serta saluran The Weather Channel.

Sebaik mendapat berita taufan Sandy, Muhammad Syazwan turut menghubungi rakan-rakannya di kawasan-kawasan lain.

"Teman-teman di Institut Teknologi Rochester dalam keadaan baik, cuma kawan-kawan di Institut Teknologi Stevens, New Jersey sedikit cemas apabila berdepan dengan banjir dan masalah bekalan elektrik," katanya.


KESAN kemusnahan yang ditinggalkan oleh Sandy di Long Branch, New Jersey.

Menurut Wisma Putra, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia kini selamat walaupun terkandas di kawasan teruk seperti Washington, Maryland dan Virginia.

Taufan Sandy telah merosakkan sekurang-kurangnya 7.3 juta kediaman dan premis perniagaan di pantai timur AS setakat Selasa 30 Okt 2012 lalu.

Malah, ia memaksa tiga reaktor nuklear ditutup selepas sistem penyejukan air dan jaluran bekalan elektrik mengalami kegagalan. Bagaimanapun, tiada masalah besar melibatkan nuklear berlaku.

Selain itu, pihak berkuasa New York mengambil langkah keselamatan dengan menghentikan semua operasi sistem kereta api bawah tanah, manakala hampir semua terowong dan jambatan dari Manhattan turut ditutup.

Seramai 2,100 anggota pasukan keselamatan AS pada hari Ahad 28 Okt dan Isnin 29 Okt 2012 lalu, dikerah ke daerah terancam bagi mengawal keadaan penduduk awam.

Selasa 30 Okt 2012 lalu, Presiden AS, Barack Obama mengisytiharkan bencana besar ekoran kemusnahan yang berlaku.

Taufan Sandy melanda pantai timur AS itu bergerak ke barat dengan membawa angin selaju 281 kilometer sejam.

Taufan itu merupakan siklon tropika lewat musim yang membawa bencana ke beberapa bahagian Caribbean, tengah Atlantik dan timur laut AS.


PENDUDUK New York terpaksa berjalan kaki selepas perkhidmatan kereta api bawah tanah ditutup dan bekalan elektrik di beberapa lokasi terputus.

Sandy terbentuk daripada gelombang tropika di barat Laut Caribbean. Ia menjadi gelombang tekanan rendah tropika dan kekuatannya dengan cepat meningkat.

Dengan mengekalkan kekuatan kategori 1, Sandy bergerak ke arah barat laut dan seperti yang dijangkakan ia mendekati pantai AS.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS mengumumkan taufan sampai pada pukul 8 malam, 29 Oktober di barat daya Atlantic City, New Jersey. Sandy diisytihar sebagai siklon pasca tropika pada pukul 7 malam.

Impak Sandy ke atas AS meliputi kawasan dari negeri Florida sehingga wilayah New England dengan membawa angin kuat jauh ke daratan sehingga ke pergunungan di barat Virginia.

"Taufan Sandy agak merisaukan kerana walaupun pada waktu tengah hari ia masih lagi di lautan Atlantik, tetapi angin kuat dan hujan lebat sudah dirasai di tempat kami," kata Muhammad Syazwan yang menetap di Kolej Negeri, PSU yang terletak kira-kira 418 kilometer dari pusat bandar New York.

Di Central Park, New York orang ramai yang melalui sebuah kawasan berdekatan kondominium One57 yang masih dalam pembinaan berada dalam keadaan terpinga-pinga tatkala memandang puncak bangunan tersebut.

Lengan kren pada One57 patah selepas dilanda taufan Sandy dan kini berada dalam keadaan terjuntai.


ORANG ramai mendapatkan bantuan bekalan makanan di Brooklyn, New York sebaik ribut reda.

Pemanasan global

Biarpun kesan malapetaka yang dibawa oleh taufan Sandy sangat hebat dan meliputi kawasan yang luas, pakar geologi, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, 60, berkata, tindakan pantas AS dalam menangani masalah tersebut seharusnya dicontohi oleh semua negara.

"Pergerakan, kelajuan dan kekuatan taufan boleh dijangka dengan menggunakan Sistem Kedudukan Global. Pengesanan awal membolehkan langkah keselamatan diambil," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, bekas Ketua Jabatan Geologi, Universiti Malaya itu tidak menolak bencana alam yang berlaku kebelakangan ini dirangsang oleh kesan pemanasan global, berdasarkan kajian dan pembacaan beliau.

Hujahnya, pencairan ais menyebabkan kenaikan paras air laut. Pergerakan taufan di kawasan laut terbuka boleh menambah intensiti sebelum sampai di pinggir pantai.

Perkara tersebut turut dibangkitkan oleh Gabenor New York, Andrew Cuomo. Katanya: "Sesiapa yang berfikir tiada perubahan pada corak cuaca, seperti menidakkan realiti."

Perkara tersebut dipersetujui ramai jika membabitkan bencana banjir namun, sesetengah pakar menolak untuk mengiyakan perkara tersebut kerana ia didakwa masih tidak begitu jelas.

Setakat ini, kenaikan suhu permukaan Bumi sejak tahun 1970-an gagal menunjukkan sebarang penambahan bilangan taufan tropika malah, kekal stabil sekitar 90 jenis taufan setiap tahun.

Sungguhpun begitu, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS berkata, ribut-ribut yang besar menjadi lebih kuat dan kekerapannya meningkat sejak tahun 1995 di Laut Atlantik.

Agensi terbabit turut memberi amaran bahawa sains tidak boleh menidakkan perubahan semula jadi iklim dan pemanasan buatan manusia.

"Terdapat beberapa bukti mencadangkan perubahan iklim menyebabkan halaju tiupan angin akan lebih kuat, tetapi bilangan keseluruhan taufan tropika tidak berubah atau mungkin menurun sedikit," kata Ketua Perubahan Iklim, Institut Pembangunan Seberang Laut Britain, Tom Mitchell.

Sumber: Kosmo

Sandy kejutkan Amerika


IMEJ satelit Taufan Sandy yang melanda pantai timur AS baru-baru ini.

BANDAR RAYA NEW YORK terkenal sebagai pusat perdagangan, kewangan, kebudayaan serta hiburan dunia. Pengaruhnya kepada ekonomi global cukup besar kerana jika Bursa Saham New York terjejas, kesannya akan dirasai di seluruh dunia.

Kota raya ini juga merupakan bandar raya yang paling padat penduduk di Amerika Syarikat (AS). Sekurang-kurangnya sebanyak 170 bahasa dipertuturkan di sini.

New York sekali lagi menjadi tumpuan pada 31 Oktober 2012 lalu apabila ia turut dibadai Taufan Sandy yang melanda pantai timur AS. Selain New York, beberapa negeri lain turut mengalami kemusnahan besar iaitu New Jersey, Carolina dan Maine.

Taufan yang membawa bersama ombak setinggi lebih 4 meter itu telah meragut kira-kira 50 jiwa. Selain itu, lebih lapan juta penduduk di Carolina dan Maine terputus bekalan elektrik kesan daripada kemusnahan yang dicetuskan oleh taufan Kategori 1 itu.

Malah, tiga reaktor nuklear AS masih lagi ditutup manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Ironi, Sandy ialah taufan Atlantik yang paling besar dari segi saiz tiupan angin dengan jarak 1,760 kilometer. Ia melanda Caribbean, kepulauan Bahamas, timur AS dan timur Kanada.

Ia telah menjejaskan 22 negeri di AS dengan lebih 13,000 penerbangan dibatalkan selain melumpuhkan fungsi menara pemancar telekomunikasi dan khidmat kabel di 10 negeri.

Kemusnahan Tikus

Bagaimanapun, taufan itu turut membawa salji di Ohio, Pennsylvania dan Virginia Barat.

Menurut Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, memulihkan sistem pengangkutan dan mengembalikan bekalan elektrik merupakan dua cabaran terbesar pihaknya bagi tempoh beberapa hari akan datang

Bekas presiden AS, George W. Bush pernah menanggung kerosakan politik yang teruk ekoran kelemahan pentadbirannya menangani Taufan Katrina, yang memusnahkan New Orleans semasa penggal kedua pemerintahannya.


AMERIKA SYARIKAT telah mengalami kerugian kira-kira AS$250 bilion (RM750 bilion) dalam siri taufan yang melanda negara itu sejak tahun 2005.

Beliau juga dikecam kerana seperti tidak prihatin kepada mangsa terlibat. Namun, di sebalik kemusnahan yang berlaku terdapat beberapa kebaikan kepada penduduk New York.

Berjuta-juta ekor tikus yang menginap di terowong kereta api bawah tanah mati lemas akibat banjir yang dicetuskan Taufan Sandy. Menurut jurucakap Jabatan Kesihatan New York, peristiwa itu mengurangkan bilangan tikus di bandar raya itu.

“Ini termasuk anak-anak tikus yang mati. Haiwan itu tidak mampu berenang dan bernafas dengan baik untuk sampai ke permukaan,” katanya.

Dianggarkan sebanyak 28 juta tikus menghuni terowong kereta api bawah tanah di New York. Namun, jabatan kesihatan negara itu khuatir risiko penyakit yang disebarkan oleh haiwan itu.

Selain itu, terdapat kemungkinan penduduk miskin di negara itu menghadapi masalah hipotermia terdedah kepada cuaca sejuk yang melampau. Dari pinggir bandar Ohio sehingga ke New England, penduduk perlu bertahan dengan suhu sejuk.

“Ia terlalu sejuk dan gelap,” kata Elaine Collucio dari Long Island, New York.

Menurut jurucakap syarikat elektrik, Michael Hervey, mereka berusaha sebaik mungkin untuk mengatasinya.

Hakikatnya, rakyat negara itu perlu bangkit selepas Taufan Sandy dan perlu mencontohi Jepun yang bangkit dengan pantas selepas dilanda tsunami tahun lalu.

Sumber: Kosmo

3 comments:

Jahirah berkata...

bencana alam kat mana2 je sekarang ni...;(

Dayang Deno berkata...

kuasa allah.. tiada siapa dapat menghalangnya...

caliph shuriken berkata...

yup, klau max diorg panggil f5...