Nuff Atas

07 November 2012

Pemanasan Global Cetus Cuaca Ekstrem?


Puting beliung semakin kerap berlaku selepas perubahan suhu yang ekstrem.

LAPAN bulan lalu, seorang profesor dari Universiti Princeton, Amerika Syarikat (AS), Michael Oppenheimer mengatakan kejadian bencana alam yang biasanya berlaku sekali dalam satu abad seperti banjir besar di New York, akan berlaku setiap tiga hingga 20 tahun.

Beliau mengaitkannya dengan pemanasan global kerana meningkatkan paras air laut dan mengubah corak taufan. Micheal yang juga saintis iklim menambah, New York kini amat terdedah kepada taufan ekstrem yang membawa kepada kejadian banjir.

Selama lebih daripada 10 tahun, Micheal serta saintis iklim yang lain memberi amaran mengenai risiko ribut kencang dan banjir yang teruk di New York. Sebanyak 2,000 laporan mengenai kesan pemanasan global di AS dengan amaran mengenai kesannya.


Bagaimanapun, ada yang berkata tidak adil menyalahkan perubahan iklim yang didakwa 'melahirkan' taufan dan menyebabkan kemusnahan.

Saintis bimbang tidak dapat mengaitkan taufan dengan pemanasan global dan kaitannya kurang jelas dan ringkas seperti mana aktivis alam sekitar bincangkan.

Saintis alam sekitar dari Universiti Victoria, Kanada, Andrew Weaver berkata, taufan berkenaan kelihatan berkaitan dengan perubahan iklim tetapi keseluruhan ribut sukar dikaitkan dengan pemanasan global.

Bagaimanapun beberapa saintis cuaca berkata, beberapa bahagian taufan mungkin dipengaruhi oleh perubahan iklim.

Pertama, terdapat kenaikan paras air laut. Paras air laut di New York 0.3 meter lebih tinggi berbanding 100 tahun lalu, kata saintis iklim dari Universiti Penn State, Micheal Mann.

Ditambah dengan suhu Lautan Atlantik iaitu 0.8 darjah Celcius (C) lebih tinggi secara purata berbanding seabad yang lalu, kata seorang lagi saintis dari Universiti Texas Tech, Katherine Hayhoe.

"Ini kerana air panas menjana ribut dan taufan," katanya.

Ahli meteorologi juga dapat mengesan lebih banyak ribut taufan di hujung musim mahupun selepas musim.

Suhu Bumi Kajian yang dijalankan pada tahun 2008 mendapati musim ribut taufan Atlantik kelihatan bermula lebih awal dan berakhir lebih lewat tetapi mendapati tiada kaitan dengan pemanasan global.

Penyelidik meteorologi di Makmal Bendalir Dinamik Geofizikal di Princeton, New Jersey, Thomas R. Knutson menegaskan manusia telah mengubah alam sekitar.

"Kita telah mengubah suhu Bumi, mengubah kelembapan atmosfera dan menukar banyak perkara. Manusia 'melakukan' eksperimen tetapi mereka tidak tahu apakah hasilnya," katanya.

Biasanya terdapat 11 ribut Atlantik. Tetapi dua tahun lalu bilangannya bertambah kepada 18 dan kini sebelum habis tahun 2012 terdapat 19 ribut taufan.

Fenomena cuaca yang dinamakan Ayunan Atlantik Utara (North Atlantic Oscillation - NOA) adalah paras tekanan atmosfera yang boleh menjadi positif atau negatif.

Penyelidik dari Universiti Cornell, Charles Greene serta beberapa saintis iklim menunjukkan apabila ais di Laut Artik mencair pada musim panas kerana pemanasan global, NOA menjadi negatif.

Pemanasan global serta beberapa faktor lain menyumbang kepada ribut yang kuat. Misalnya lautan yang panas memberikan lebih tenaga bagi menghasilkan ribut.

Atmosfera Bumi yang panas memerangkap lebih banyak kelembapan menghasilkan ribut. Perubahan ini menyumbang kepada semua jenis cuaca yang ekstrem.

Malahan Ketua Institut Goddard bagi Kajian Angkasa, NASA di New York, James Hansen dipetik dalam Washington Post berkata, analisis menunjukkan perubahan cuaca yang ekstrem tidak ada perkaitan lain selain perubahan cuaca.

Selepas beberapa tahun berbalah, saintis iklim dan pakar ribut taufan bersepakat mengatakan apabila cuaca semakin panas, bilangan taufan semakin bertambah.

Ribut yang terbentuk akibat cuaca panas akan menjadi lebih kuat dan membawa lebih banyak hujan.

Pakar mengenai bagaimana pemanasan Artik memberikan kesan terhadap bentuk cuaca ekstrem dari Universiti Rutgers, Jennifer Francis berkata, pemanasan yang berlaku di kawasan Artik baru-baru ini mungkin memainkan peranan penting dalam meningkatkan atau menambahkan kawasan tekanan tinggi.

Tetapi beliau sendiri tidak jelas bagaimana pemanasan mempengaruhi pembentukan taufan.

"Sementara komponen taufan kelihatan seperti berkaitan dengan pemanasan global kerana hampir kesemuanya semula jadi," kata profesor iklim di Universiti A&M Texas, Gerald North.

Bagi penyelidikannya, Micheal menyemak semula rekod banjir di New York pada tahun 1821 dan mendapati beberapa taufan besar menyebabkan banjir lebih buruk.

Kemusnahan yang berlaku sehingga minggu ini disebabkan oleh peningkatan paras air laut berbanding seabad lalu yang lebih tinggi daripada purata di dunia disebabkan geografi pantai dan arus lautan yang luar biasa.

Kesimpulannya saintis menjelaskan ribut tropika yang berlaku kemungkinan besar disebabkan oleh pemanasan global yang tidak terkawal.

Sumber: Utusan

6 comments:

Aishah Jahirah berkata...

dah xterkawal aktiviti manusia...

khairul berkata...

dunia dh semakin ke penghujungnya

Puteri Kasih berkata...

cuaca sememangnya semakin sukar diramal..sana sini berlakunya bencana

abah khalisha berkata...

mmg cukup panas skrg ni..

paripariputih berkata...

Bumi ni dah uzur sangat-sangat.. uzur dan penat dengan perbuatan mungkar umat2 yg mendiami bumi ni :(

caliph shuriken berkata...

sekadar bole buat persiapan awal hadapi perkara cmni tapi ia tetap di luar kawalan kita...