Nuff Atas

17 November 2012

Rezeki Daripada Kawah Belerang


PELOMBONG belerang menutup muka mereka menggunakan skaf atau baju bagi mengelak daripada terhidu gas beracun. 

BELERANG yang terbentuk hasil daripada aktiviti Gunung Ijen di timur Kabupaten Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia ternyata memberi faedah kepada penduduk tempatan yang bekerja sebagai pelombong belerang iaitu sejenis sulfur bertoksik.

Perlombongan yang dilakukan di kawah gunung berapi itu masih menggunakan cara lama. Pelombong akan memasukkan ketulan sulfur berwarna kuning ke dalam dua buah bakul rotan dan memikulnya di atas bahu menggunakan kayu pengandar.

Mereka akan mendaki jalan berbatu dari dasar kawah yang terletak di puncak gunung dan berjalan menuruni lereng gunung kira-kira 10 kali sehari.

Perlombongan secara tradisional itu hanya boleh ditemui di Gunung Ijen dan Gunung Welirang di Indonesia. Ia sudah lama diamalkan iaitu sejak penjajahan Belanda di negara itu sekitar tahun 1911.


Penjajah Belanda yang mengetahui gunung berapi itu mempunyai sumber belerang, menggaji masyarakat tempatan secara paksa untuk melakukan perlombongan secara sederhana.

Pada masa itu, belerang tidak dimanfaatkan secara optimum seperti sekarang. Sejak itu, bermulalah kegiatan perlombongan sulfur di Gunung Ijen dan berterusan sehingga kini.

Seorang pelombong, Sahlun Barnawi, 37, berkata dia bekerja sebagai pelombong belerang kerana tidak mempunyai kelulusan tinggi.

“Menjadi pelombong belerang tidak memerlukan pendidikan tinggi. Apa yang diperlukan hanyalah kerja keras dan kekuatan fizikal,” ujar Sahlun.

Menurutnya lagi, seorang pelombong perlu memikul beban yang berat demi mendapatkan bayaran kira-kira RM14 sehari.

“Sekali angkut, pelombong mampu membawa bongkah belerang seberat antara 50 hingga 90 kilogram (kg) sambil menuruni batu-batu tebing yang curam dan jalan yang sempit serta berliku-liku.

Gas beracun

“Jika tidak berhati-hati, pasti berlaku kemalangan yang boleh meragut nyawa. Itu belum lagi risiko dari aspek kesihatan. Pelombong belerang terdedah kepada kerosakan paru-paru akibat terhidu gas yang keluar dari kawah tempat batu-batu belerang itu berada,” jelasnya.

Sahlun memberitahu, pelombong mendaki 2,000 meter ke puncak gunung setiap pagi dan merentasi laluan berbahaya untuk menjejaki kawah itu sebelum pulang 12 jam kemudian untuk tidur.


SEORANG pelombong membawa pulang belerang yang berwarna kuning cair dengan latar belakang Gunung Ijen di Jawa Timur, Indonesia.

“Kami biasanya melombong belerang setiap dua hari sekali. Namun, jika pelombong inginkan pendapatan tambahan, mereka boleh mendaki semula selepas mengumpulkan belerang itu di sebuah pusat pengumpulan yang terletak di daerah Paltuding,” tuturnya yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun melombong belerang.

Kabupaten Bondowoso ialah salah sebuah kawasan di Wilayah Jawa Timur yang bersempadan dengan daerah Situbondo di utara.

Sebenarnya, masyarakat Bondowoso mempunyai pekerjaan yang pelbagai tetapi melombong belerang merupakan pekerjaan turun-temurun sejak dahulu lagi walaupun bilangan mereka yang terlibat semakin berkurangan.

Pelombong juga mempunyai tradisi unik yang tidak pernah ditinggalkan iaitu memberi makanan kepada penjaga gunung berkenaan.

“Tradisi ini menjadi kemestian pada setiap awal Muharam atau lebih dikenali sebagai bulan suro oleh masyarakat di sini,” tambah Sahlun.

Bulan suro

Lelaki itu berkata, tradisi bulan suro itu memiliki makna yang tersendiri. Ia biasanya dilakukan dengan menyediakan sajian sebanyak tujuh jenis.

“Pemberian tujuh jenis sajian ini merupakan kepercayaan masyarakat pelombong bahawa alam ini diciptakan dengan serba tujuh iaitu tujuh lapis langit dan bumi, tujuh tingkat syurga dan neraka manakala bilangan hari dalam seminggu juga tujuh hari.

“Ada pelombong yang percaya dengan memberikan persembahan makanan serba tujuh itu, tujuh penjaga langit dan tujuh penjaga bumi akan memberi mereka keberkatan dengan menjaga sumber belerang Gunung Ijen supaya ia berpanjangan.

“Fikiran, pandangan dan kehidupan masyarakat pelombong yang masih berpegang teguh kepada adat-adat itu berpunca daripada pengaruh agama Hindu-Buddha. Itu menyebabkan mereka yakin bahawa jika upacara tersebut tidak dilakukan, ia boleh memberi ancaman kepada mereka,” ujar Sahlun.

Beliau memberitahu, simbol tujuh itu merupakan gambaran rasa hormat kepada nenek moyang serta lambang adanya hubungan antara pelombong dengan penjaga alam.


JUMLAH pendapatan daripada kerja melombong belerang lebih lumayan berbanding bekerja di ladang kopi.

“Walaupun arus globalisasi dan pandangan masyarakat semakin moden, pelombong tetap dengan rutin mereka melakukan tradisi itu. Mereka yakin jika tradisi itu tidak dilaksanakan, mereka akan mengalami kemalangan ketika bekerja,” tuturnya.

Sementara itu, jurugambar Britain, Mark Taylor, 48, mengikuti pekerja-pekerja lombong itu baru-baru ini bagi melihat aktiviti dan kehidupan mereka.

Mark berkata, persekitaran kawah itu dipenuhi udara dan asap beracun yang boleh membawa maut kalau dihidu terlalu lama. Namun, kerja-kerja melombong perlu diteruskan bagi memenuhi permintaan syarikat minyak dan sabun, katanya.

Mark, anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Siena, dan rakannya, Miriam Da Costa Machado mengunjungi Indonesia untuk merakam aktiviti berkenaan.

Menurut Mark, ketika mendaki lereng gunung berapi untuk tiba di kawasan kawah berkenaan, bau sulfur yang sangat kuat dapat dirasakan.

Topeng

“Jika memandang ke atas, pasti anda boleh melihat gas itu dan pada peringkat tertentu, ia sungguh tebal sehingga menyekat sinaran matahari.

“Ketika berada di puncak dan untuk menuruni gunung itu, anda boleh melihat sekumpulan lelaki yang bekerja sebagai pelombong tidak mengenakan sebarang kelengkapan keselamatan.

“Ada yang memakai topeng muka lusuh dan yang lainnya hanya menutup muka menggunakan skaf atau baju. Apabila terhidu asap itu, tekak kami seolah-olah rasa terbakar dan hampir pengsan,” jelasnya.


JURUGAMBAR Britain, Mark Taylor berkunjung ke Indonesia untuk melihat sendiri aktiviti perlombongan di Gunung Ijen.

Mark yang berasal dari Guildford, Surrey, England memberitahu, dia dan rakannya tidak tahan berada di lombong itu walaupun selama sejam berbanding sekumpulan lelaki yang bekerja di situ setiap hari.

“Mereka bekerja sepanjang hari dan menjual sulfur itu pada harga yang sangat murah. Kami pun tidak sanggup bangun dari katil hanya untuk mendapatkan bayaran sebanyak itu,” tuturnya.

Menurut Mark, kecederaan serius khususnya pada dada dan mata adalah perkara biasa namun pendapatan yang diperoleh pelombong belerang adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding pekerja ladang kopi tempatan.

“Kerja-kerja melombong itu dilakukan tidak jauh dari sebuah tasik asid sulfurik terbesar di dunia dengan tahap keasidan air (pH) tasik itu 0.5 iaitu hampir sama dengan asid bateri kereta,” tambahnya.

Susunan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo

1 comments:

khairul berkata...

boleh mendatangkan kemudaratan ni