23 Disember 2012

Baik Dan Buruk Sinar Matahari Pada Kesihatan


Kaca mata hitam dapat membantu mengelakkan sindrom mata mengering ketika cuaca panas.

Sebagai negara beriklim tropika, penduduk Malaysia dipancar cahaya matahari setiap hari, sepanjang tahun. Kita harus bersyukur kerana dapat menikmati kehangatan suria tanpa perlu berjemur seperti sesetengah penduduk bahagian dunia yang lain.

Sinar matahari yang paling banyak memancar ke bumi antara jam 10 pagi hingga 6 petang mempunyai banyak kebaikan dari sudut kesihatan. Antaranya sumber mudah memperoleh Vitamin D untuk tubuh.

Vitamin D boleh meningkatkan penyerapan kalsium, seterusnya membantu pembentukan tulang. Mengikut kajian, berjemur selama 10 minit di bawah matahari selama satu atau dua kali seminggu juga dapat mengurangkan risiko selesema hingga 40 peratus.


Selain itu, cahaya matahari mampu membunuh sebahagian bakteria, virus dan kuman yang terdapat pada diri mahupun sekeliling kita. Bagi tujuan ini, rutin menguak langsir agar cahaya matahari dapat menerobos masuk ke dalam rumah dapat memberikan manfaat.


Pakailah pelindung UV jika mahu berada lama di pawah panahan matahari. - GAMBAR HIASAN.

Bahaya pada kulit

Begitu pun, sesuatu yang terlalu banyak biasanya boleh mendatangkan mudarat. Begitu juga cahaya matahari. Jika terlalu terdedah, kesan utama yang boleh dilihat serta-merta adalah kulit kelihatan terbakar yang memerlukan tempoh tertentu untuk sembuh seperti sediakala.

Hal ini kerana sinar ultralembayung (UV) yang menembus hingga ke lapisan kulit dalam meningkatkan aliran darah sehingga menyebabkan kesan merah dan benggolan.

Sekiranya faktor ini bergabung dengan jumlah trigliserida (lemak) yang tinggi dalam darah, ia boleh menjana risiko lebih parah iaitu mendapat barah kulit.

Kulit sihat adalah kulit yang mempunyai cukup kelembapan. Apabila kurang lembap, garis halus akan mula muncul dan lama kelamaan menjadikan kulit kelihatan kedut dan berusia.

Pancaran matahari boleh menyumbang antara 75 hingga 80 peratus faktor kerosakan lapisan kulit paling luar yang mempercepatkan proses paling ditakuti kebanyakan kaum hawa ini.

Pada hari panas terik, mata memerlukan perlindungan khas seperti kaca mata berperlindungan UV agar tidak terdedah secara langsung. Terutama ketika musim panas, suhu udara yang tinggi mudah mendedahkan pada sindrom mata kering.

Sebagai langkah penyelesaian untuk mengelak mudarat pancaran matahari, perlindungan seperti topi besar dan payung boleh membantu. Selain itu, pemakaian produk mengandungi pelindung UV boleh digunakan.

Kadar pelindung UV yang disarankan mengandungi sekurang-kurangnya SPF 15 atau SPF 30 dengan kandungan tidak berbahaya dan disahkan doktor kulit. Sebaik-baiknya, produk ini disapu pada kulit setengah jam sebelum melakukan aktiviti dan diulangi setiap dua jam jika berada terus menerus di bawah terik matahari.

AIDA AZURA AZEMI
Sumber: Sinar Harian

1 comments:

Unknown berkata...

suka mentari waktu pagi