Nuff Atas

10 Disember 2012

Microdose Mammography Sistem Mamogram Terkini


Sistem mamogram terkini guna 40 peratus dos radiasi lebih rendah

Kajian menunjukkan bahawa seorang daripada setiap 20 wanita di Malaysia menghadapi risiko diserang kanser payudara, jenis kanser yang paling banyak dihidapi wanita di dunia.

Oleh kerana 49.30 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia terdiri daripada wanita, maka kesedaran orang ramai tentang cara mencegah penyakit ini dan kemudahan untuk merawatnya sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dan pengamal perubatan, termasuk daripada sektor swasta.

Ketumbuhan malignan payudara merupakan penyebab kedua terbesar kematian dalam kalangan wanita, selepas kanser paru-paru.


Di Amerika, perbelanjaan yang perlu disediakan kerajaan untuk merawat wanita yang menghidap kanser payudara dianggarkan berjumlah US$16.5 bilion.

Walaupun kebanyakan wanita hari ini sedar tentang bahaya kanser payudara, tetapi mereka tidak pasti gejala atau tanda-tanda penyakit yang boleh meragut nyawa ini.

“Di Malaysia, 32.1 peratus pesakit kanser wanita adalah penghidap kanser payudara dengan purata 3,700 kes dicatat setiap tahun," kata Pengurus Besar Philips Healthcare Asia Pasifik (Malaysia/Singapura) Suvendra Das.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Pakar Putra di sini, beliau berkata adalah sesuatu yang baik dan amat bermakna sekiranya lebih ramai wanita melakukan saringan kanser payudara secara sukarela.

MAMOGRAFI UNTUK WANITA
 
Dalam istilah lebih mudah, mamogram adalah gambar X-ray mengenai payudara.

Mamogram penyaringan digunakan untuk mengesan kewujudan kanser payudara pada seseorang wanita yang tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala penyakit itu.

Mamogram diagnostik pula digunakan untuk mengesan kanser payudara setelah ketulan atau sebarang tanda atau gejala lain berkaitan penyakit itu, dikesan.

Melalukan penyaringan sama ada untuk mengesan sesuatu penyakit pada peringkat awal atau memastikan seseorang itu bebas daripada sebarang penyakit adalah lebih baik daripada menghadapi keadaaan apabila secara tiba-tiba, seseorang itu dimaklumkan bahawa dia menghidap penyakit berbahaya.

“Penjagaan rapi dan pengesanan awal boleh membantu memanjangkan tempoh hayat seseorang penghidap kanser kerana lebih cepat seseorang itu tahu tentang penyakit yang mungkin dihidapinya, maka lebih besarlah peluangnya untuk mendapatkan rawatan awal dan sekali gus melepaskan diri daripada dibelenggu penyakit berkenaan," kata Das bagi merujuk kepada sistem mamografi terkini yang diperkenalkan Philips.

Sistem dikenali sebagai 'Microdose Mammography' ini adalah yang pertama menggunakan purata 40 peratus bahan radiasi lebih rendah daripada sistem lain.

“Ia merupakan mamografi generasi akan datang untuk wanita yang kini disediakan untuk wanita Malaysia di Hospital Pakar Putra Melaka.

"Sistem ini menggunakan teknologi pengiraan foton X-ray yang menggunakan kurang radiasi, tetapi menghasilkan kualiti imej yang amat baik.

"Ia juga lebih cekap kerana alat pengesan pengiraan fotonnya yang dipatenkan berfungsi dengan lebih cekap, berbanding alat pengesan biasa. Inilah sebabnya kuasa X-ray dan dos X-ray dapat dikurangkan," jelas Das.

DIAGNOSIS AWAL
 
Dr Imran Yahya, pakar perunding radiologi di Hospital Pakar Putra Melaka juga mengakui bahawa mammografi mikrodos menghasilkan imej berkualiti tinggi untuk mengesan potensi keabnormalan dengan menggunakan dos radiasi yang rendah.

“Diagnosis dan rawatan awal sangat penting untuk meyelamatkan nyawa. Inilah antara cara untuk membantu seseorang melepaskan diri daripada kanser," katanya.

Apa sebenarnya kanser payudara?

Kanser payudara adalah tumor malignan yang berasal daripada sel payudara. Walaupun penyakit ini selalunya dihidapi wanita, namun lelaki juga tidak terlepas daripada serangannya.

Di Malaysia, 42 peratus daripada penghidap kanser hanya mendapatkan diagnosis apabila sudah mencapai tahap teruk - Tahap 3 dan Tahap 4.

Di Amerika dan Europah, kurang daripada 18 peratus pesakit kanser mendapatkan diagnosis pada tahap yang hampir sudah tidak boleh diubati ini.

Sekiranya dikesan sejak awal lagi iaitu pada Tahap Satu, kadar untuk selamat boleh mencapai hingga 81.7 peratus.
 
KETULAN
 
“Kanser didapati agresif ketika seseorang itu berusia dari 40 hingga 49 tahun. Pengesanan awal membolehkan pemuliharaan payudara dilakukan dan boleh mengelak daripada penghidapnya perlu menjalani pembedahan besar dan kemoterafi," kata Dr Imran.

Beliau berkata kewujudan ketulan di dalam payudara boleh dirasai apabila saiznya melebihi 2.0cm dengan melakukan pemeriksaan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, ketulan bersaiz 5.0mm pada payudara berukuran besar tidak boleh dikesan melalui cara ini, melainkan ia dilakukan mereka yang terlatih.

Beliau berkata mesin mamografi mikrodos baharu hanya mengambil masa empat minit untuk membuat penyaringan terhadap setiap payudara.

Mesin ini dicipta untuk memberi keselesaan daripada segi anatomi kepada mereka yang menggunakannya, manakala bahagian lengkungnya pula berhaba suam untuk mengurangkan mereka yang menggunakannya, berasa tidak selesa ketika proses pemampatan.

Ini sudah tentu memberi keselesaan kepada mereka yang menjalani pemeriksaan dan menggalakkan mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala menghidap kanser untuk menjalani pemeriksaan.

TAKUT MENGHADAPI PENYARINGAN?
 
Pihak berkuasa kesihatan Malaysia begitu giat menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk meningkatkan kesedaran mereka tentang bahaya kanser payudara.

Bagaimanapun, perasaan takut dan kurang pengetahuan dalam kalangan golongan wanita menjadi punca utama penyaringan hanya dilakukan pada peringkat yang sudah terlewat dan ini menyebabkan diagnosis serta rawatan tidak boleh dilakukan lebih awal.

Wanita perlu sedar bahawa bukan semua ketulan adalah kanser dan sebenarnya, hanya 10 peratus daripada ketulan ini kanser. Baki 90 peratus lagi, ia merupakan lesi benigna, sama ada sista atau fibroid dan sebagainya.

Kebanyakan wanita juga bimbang tentang paras radiasi yang akan mereka hadapi ketika melakukan penyaringan serta kesakitan yang kononnya akan mereka alami hingga menyebabkan mereka dilanda rasa takut.

“Wanita yang tergolong dalam kumpulan tidak berisiko tinggi dan berusia bawah 40 tahun bolehlah menjalani ujian ultrabunyi. Ini akan menjadikan fikiran mereka berasa lega. Namun demikian, mereka juga boleh melakukan pemerhatian, selain daripada untuk mengesan gejala ketulan, dengan melihat, merasa dan membuat laporan melalui hasil pemeriksaan sendiri, termasuk sekiranya mendapati terdapat sebarang cecair yang keluar dari sekitar kawasan puting," kata Dr. Imran.

PENGESANAN
 
Rekod menunjukkan bahawa 40 peratus wanita Melayu dan 20 peratus India hanya mengetahui mereka menghidap kanser pada peringkat yang sudah agak lewat.

Kadar Usia Standard atau ASR kanser payudara ialah 38.1 bagi setiap 100,000 penduduk (penerbitan MOH, 2007) dalam kalangan orang Cina, 33.7 dalam kalangan orang India dan 25.4 dalam kalangan orang Melayu, yang merupakan kadar paling terlambat dalam membuat pengesanan.

Berdasarkan hakikat ini, maka kaum wanita dinasihati menyahut saranan kerajaan dan pelbagai penganjur program kesihatan agar mereka meningkatkan kesedaran tentang pentingnya membuat pemeriksaan awal kanser payudara.

Pencegahan boleh dilakukan dengan mengubah gaya hidup dan melakukan pemeriksaan awal untuk membolehkan langkah rawatan segera diambil sebelum terlambat. Ingatlah keluarga tersayang dan jagalah kesihatan diri untuk menikmati kehidupan yang sejahtera. - Bernama

Sumber: Sinar Harian [29 November 2012]

0 comments: