29 Disember 2012
Rangsang Minda Anak Dengan Alat Permainan
Waktu bermain adalah masa terbaik untuk ibu bapa melihat perkembangan anak sama ada mereka memberi penjagaan cukup atau keperluan sesuai dengan apa yang diperlukan oleh bayi mahupun kanak-kanak untuk menjalani proses membesar sempurna.
Justeru, permainan diberikan kepada anak haruslah yang dapat memacu perkembangan otak mereka sehingga membentuk kecerdasan optimum.
Sebenarnya, tidak perlu membeli permainan yang mahal dan berjenama untuk merangsang kecerdasan anak. Bahkan, jika kreatif ibu bapa sendiri boleh mereka cipta permainan anak tanpa perlu berbelanja tinggi.
Memang seronok tengok anak gembira dengan permainan diberi tetapi apa yang lebih penting, ibu bapa perlu mengambil kira dan mempertimbangkan beberapa perkara asas sebelum permainan itu diberikan.
Pakar Kanak-kanak Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Adli Ali, berkata ada beberapa aspek yang perlu diberi tumpuan oleh ibu bapa sekiranya mahu membeli keperluan permainan untuk anak.
Dr Adli berkata, sebelum membeli sebarang permainan mereka perlu mengambil kira sama ada permainan dibeli itu sesuai atau tidak dengan keperluan pembesaran anak.
"Ada empat perkara asas yang ibu bapa perlu tekankan untuk memberi anak permainan. Anak mempunyai keupayaan dinamakan motor kasar dan motor halus yang mana kita boleh mengesan keupayaan mereka melalui dua kebolehan berkenaan.
"Perkara lain ialah pengucapan dan skil pergaulan atau corak sosial dimiliki anak. Justeru jika ingin membeli sebarang permainan, pastikan alatan berkenaan membantu membina perkembangan minda dan empat perkara berkenaan," katanya ketika ditemui di PPUKM, baru-baru ini.
Kebanyakan ibu bapa gemar membeli permainan untuk anak atas kapasiti memenuhi kelengkapan koleksi permainan anak.
Selain itu, kegembiraan memiliki anak membuatkan ada segelintir ibu bapa teruja menyediakan kelengkapan seumpama itu.
Ibu bapa berasa seronok, apabila dapat membelikan permainan untuk anak dan melihat si kecil gembira memiliki barangan dimiliki.
Justeru, ada ibu bapa sanggup membelanjakan sejumlah wang banyak untuk membeli permainan dan ada kala tidak memikirkan, sama ada si kecil mungkin menyukainya atau pun tidak.
Pakar Kanak-kanak Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Adli Ali, berkata setiap permainan yang direka mempunyai fungsi tertentu.
Katanya, ibu bapa perlu tahu adakah peringkat usia anak mereka sesuai dengan peralatan permainan yang dibelikan kerana jika anak adalah bayi dan diberi permainan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun, ia tidak akan membantu.
Oleh Shaidah Shafie
Sumber: BHarian [2012/12/25]
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan