15 Januari 2013

Kementerian Kesihatan Pantau 'Rokok Elektronik'

Melalui pengamatan saya, isu tentang rokok elektronik ini seakan suatu promosi kepada para perokok. Sebaik isu ini tersiar di media-media massa utama negara, tidak berapa lama kemudian terlalu kerap saya bertemu dengan perokok yang menghisap rokok elektronik ini.

Padahal tujuan isu ini dibangkitkan adalah agar timbul kesedaran di kalangan perokok tentang bahaya rokok jenis ini.

Rakan sepejabat saya juga dengan bangganya menunjukkan cara penggunaan rokok elektronik yang baru diperolehinya setelah dihadiahkan oleh seseorang kepadanya. 

"Dia hadiahkan aku benda ini .... nak suruh aku terseksa dahulu dengan penyakit sebelum mati..." katanya dalam nada bergurau sambil menghembuskan asap yang kononnya berperisa tertentu.



Kementerian Kesihatan memantau rapi penjualan rokok elektronik atau e-cigarette di pasaran bagi memastikan ia tidak menjejas kesihatan penggunanya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kementerian telah mengesan terdapat rokok elektronik yang mempunyai cecair nikotin dalam pelbagai kepekatan di pasaran.

"Pengguna harus tahu bahawa rokok elektronik yang terdapat cecair nikotin akan membawa padah kepada pengguna kerana ia hanya meningkatkan ketagihan merokok. Ia boleh menjadi suatu bencana," katanya.

Sebelum ini Pengarah kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata bahawa menjual, mengedar atau menyimpan rokok elektronik adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.


Akhir-Akhir ini, rokok elektronik yang menggunakan cecair bagi menghasilkan wap dalam rokok itu dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat di kalangan perokok.

Liow berkata pada ketika ini tiada kawalan berhubung penjualannya di negara ini kerana rokok elektronik tanpa cecair nikotin diguna untuk mengurangkan ketagihan perokok.

"Justeru, kita perlu meneliti kegunaan e-cigarette," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian mengawal penjualan cecair nikotin mengikut Akta Racun 1952 dan ia hanya boleh dibeli melalui ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

"Kementerian Kesihatan mengawal penjualan cecair nikotin agar ia tidak boleh dijual sebarangan kerana penggunaan yang berlebihan dalam rokok eletronik akan meningkatkan ketagihan terhadap rokok dan memudaratkan kesihatan," katanya.

Selain itu, Liow berkata kajian terperinci akan dibuat untuk melihat bagaimana rokok elektronik boleh membantu perokok mengurangkan ketagihan. - BERNAMA

Sumber: BHarian [2013/01/14]



Pengguna Rokok elektronik Terdedah Pelbagai Penyakit Kronik

Penjualan rokok elektronik bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penjualan bahan dan produk itu adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikoton untuk kegunaan rokok elektronik boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Liow berkata sekalipun salah, namun penjualan rokok elektronik itu sukar dikawal berikutan orang ramai didapati melakukan pembelian menerusi internet.

"Rokok elektronik atau e-cigarette ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada kepada pelbagai jenis penyakit kronik," katanya.

Sumber: BERNAMA [20/01/2013]

Lantik Farmasi Berlesen, Pengamal Perubatan Berdaftar Jual e-cigarette

Beberapa persatuan pengguna mencadangkan agar Kementerian Kesihatan melantik farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar untuk menjual rokok elektronik, atau e-cigarette, di pasaran.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata rokok itu tidak membantu perokok tegar mengurang atau menghentikan sepenuhnya tabiat buruk mereka kerana ia turut mengandungi cecair nikotin dalam pelbagai kepekatan yang memberi kesan ketagihan kepada perokok.

"Rokok elektronik kini boleh dibeli di mana-mana sahaja, dan sekarang wujud pula stokis dan agen menjual rokok elektronik di seluruh negara yang meraih keuntungan dengan cara yang salah, iaitu membahayakan kesihatan perokok," katanya.

Sumber: BERNAMA [19/01/2013]


Gambar Hiasan

E-rokok tidak buang Ketagihan

Pada awal kemunculan e-rokok, ramai beranggapan kaedah ini membantu mengikis tabiat merokok. Kini e-rokok yang menggunakan cecair bagi menghasilkan wap dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan perokok.

Pelbagai spekulasi timbul apabila rokok versi elektronik ini semakin mendapat sambutan. Jika dahulu perokok seolah-olah berbangga ketika menghisap sebatang rokok, kini ramai yang merasakan mereka berada di kelas tersendiri apabila menghisap e-rokok.

e-rokok juga mengandungi cecair nikotin yang membawa padah kepada pengguna kerana bahan itu meningkatkan ketagihan merokok. Sebuah laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) di Vienna menunjukkan e-rokok juga mampu merosakkan paru-paru mereka yang menggunakannya.

Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru. Secara purata, kesan itu akan berlarutan selama 10 minit.

Sehingga kini, e-rokok yang mengandungi nikotin tidak diluluskan itu masih belum disahkan lebih selamat berbanding rokok sebenar walaupun ia didakwa kurang berbahaya.

Kesan nikotin

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan Pusat Perubatan Price Court, Dr. Daniel Lee Keat Chye, kebanyakan pengguna menganggap e-rokok selamat dan merupakan alternatif bagi mereka yang ingin mengurangkan ketagihan merokok.

“Sebenarnya belum ada kajian e-rokok yang ada di pasaran ini selamat atau tidak. Wujudnya salah faham apabila mereka menganggap asap e-rokok terhasil daripada cecair biasa dan tidak mengandungi nikotin.

“Hakikatnya, kesihatan anda tetap terjejas dan berisiko sekiranya anda masih menghisap e-rokok yang mengandungi nikotin. Lebih membimbangkan, sukatan nikotin yang terdapat di dalam e-rokok tidak diketahui," ujarnya.

Tambah Dr. Daniel, nikotin meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf. “Nikotin boleh bertindak terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan. Rangsangan ini diperkukuhkan pula oleh pelbagai faktor pendorong yang boleh bersifat positif dan negatif," ujarnya.

Contohnya, perokok akan merokok dengan lebih kerap apabila berada di tempat-tempat hiburan di mana keseronokan berada di situ bertindak sebagai faktor pendorong positif. Perokok juga akan merokok dengan lebih kerap apabila berasa bosan atau mengalami perasaan tertekan - faktor pendorong yang negatif.

Selain penggantungan psikologi dan fizikal akibat nikotin, perokok juga terperangkap dengan kongkongan tabiat yang cukup payah untuk dilepaskan.

Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.

Tidak menyebabkan kanser

“Secara keseluruhannya, anda akan mengalami kesan kesihatan sama seperti rokok biasa. “Bezanya, e-rokok tidak mengandungi bahan-bahan kimia lain seperti tar, karbon monoksida dan irritants sehingga menyebabkan kanser paru-paru.

“Pun begitu, pengguna e-rokok harus ingat mereka berisiko terdedah dengan penyakit lain yang disebabkan oleh nikotin," ujarnya.

Selain risiko kesihatan, Dr. Daniel memberitahu, trend e-rokok akan membawa satu budaya negatif kerana orang ramai beranggapan mereka masih boleh merokok dengan kaedah selamat.

Golongan remaja pula akan menganggap e-rokok satu gaya baru dan mereka akan meniru tanpa mengetahui risiko yang sebenar.

Rawatan berhenti merokok

Dr. Daniel memberitahu, cara terbaik untuk mengurangkan ketagihan merokok adalah berhenti merokok melalui putaran tingkah laku merokok.

Ketagihan masih berlaku walaupun orang ramai menggantikan rokok biasa dengan e-rokok kerana nikotin boleh menyebabkan mereka ketagihan.

Dengan menggunakan teknik yang betul, kita boleh membantu perokok berhenti. Untuk memberikan motivasi kepada mereka, penekanan haruslah diberikan kepada perbincangan tentang faedah-faedah yang bakal dinikmati apabila berhenti merokok.

Fakta tentang risiko penyakit dibincangkan juga secara terperinci terutamanya kepada perokok yang sudah pun mengalami kesan - kesan penyakit berkaitan merokok

“Perokok boleh memilih untuk berhenti merokok dengan menggunakan kekuatan azam semata-mata atau dengan bantuan rawatan gantian nikotin (RGN)," ujarnya.

RGN dapat membantu perokok mengharungi proses berhenti merokok. Produk yang terdapat di pasaran antaranya gam nikotin, penampal nikotin dan alat penyedut (inhaler) nikotin .

Produk RGN berfungsi dengan menghasilkan jumlah nikotin secara terkawal untuk membantu mengatasi ketagihan dan gejala tarikan nikotin.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan

Belum Ada Bukti Rokok Elektronik Selamat


GAMBAR fail menunjukkan rokok dan paip elektrik di Beijing, China. - AFP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan tiada kajian saintifik tetang keselamatan penggunaan rokok elektrik telah dilakukan.

"Potensi tentang kesihatan para pengguna masih belum dapat ditentukan, " kata WHO.

Badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan terdapat beberapa ujian yang mencadangkan terdapat kewujudan toksik kimia pada rokok tersebut. Ia menasihatkan para pengguna supaya tidak menggunakan rokok itu.

Rokok elektrik buat kali pertama muncul di China pada tahun 2003 sebagai pilihan lain bagi menggantikan rokok tembakau. Terdapat kebimbangan sebelum ini bahawa rokok elektrik itu yang menggunakan bateri mungkin menyebabkan bahaya ke atas kesihatan. - AFP

Sumber: Kosmo [16/02/2013]

0 comments: