03 Januari 2013

Bantuan RM100 Kepada Murid Sekolah Dibayar 15 Januari 2013


KESERONOKAN murid mendapat wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 seorang pada tahun lalu akan berulang mulai 15 Januari 2013 ini.

Bantuan Kerajaan untuk meringankan beban ibu bapa dengan menyalurkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100, bakal dinikmati pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mulai 15 Januari 2013. Ia diberikan terus kepada ibu bapa secara berperingkat sehingga 15 Februari 2013.

Sebanyak RM498 juta diperuntukan dalam Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah RM540 juta, termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi kementerian belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit.


Berdasarkan pekeliling Kementerian Pelajaran, wang tersebut akan disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada pihak sekolah sebelum diserahkan sepenuhnya dalam bentuk tunai kepada ibu bapa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan, pihak sekolah tiada hak membuat sebarang pemotongan termasuk untuk yuran Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

“Duit RM100 ini mesti diserahkan kepada ibu bapa, sama ada mereka mahu menggunakannya untuk bayar yuran PIBG itu hak mereka tetapi saya menegaskan pihak sekolah tidak mempunyai hak untuk membuat apa-apa potongan,” katanya.

“Kita akan pastikan bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” kata Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran.

Mohd. Puad membuat peringatan itu selepas mengambil kira bantahan sesetengah ibu bapa mengenai tindakan pihak sekolah membuat potongan yuran sewaktu skim bantuan khas persekolahan itu dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun lepas.

“Kita tidak mahu ada lagi aduan pihak sekolah buka meja untuk agih wang bantuan dan di tepinya pula ada meja lain untuk bayar yuran, Wang RM100 ini hak ibu bapa,” ujarnya.

Selain sekolah kerajaan yang mempunyai lima juta pelajar, bantuan tersebut turut diagih kepada pelajar sekolah lain seperti sekolah jenis kebangsaan, persendirian dan agama.

Bantuan itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013 bagi meringankan beban ibu bapa tanpa mengira latar belakang serta pendapatan untuk menguruskan persekolahan anak-anak.

Bagi ibu bapa yang tidak mahu mengambil bayaran tersebut, mereka boleh memulangkannya kepada sekolah yang kemudian mengembalikannya kepada Kementerian Pelajaran.


Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100. - Gambar hiasan

Rancangan makanan tambahan

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata RM3.8 bilion dibelanjakan kerajaan tahun 2012 lalu bagi bantuan pendidikan kepada pelajar di seluruh negara.

Katanya, ia termasuk Rancangan Makanan Tambahan, makanan di asrama harian dan asrama penuh, Biasiswa Kecil Persekutuan sekolah menengah, bantuan tuisyen, bantuan buku teks serta Susu 1Malaysia.

“Contohnya makanan di asrama penuh dan harian, kos makanan pelajar adalah RM15 sehari, tetapi ibu bapa hanya perlu membayar RM1 sahaja, manakala RM14 lagi ditanggung kerajaan membabitkan minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam serta minum lewat malam.

“Semua pelajar di asrama harian atau asrama penuh layak menerima subsidi ini, manakala pelajar asrama desa menerima 100 peratus bantuan tanpa perlu membayar apa-apa.

“Malah, untuk Biasiswa Kecil Persekutuan bagi pelajar sekolah menengah, penerima dibayar RM300 setiap seorang,” katanya.

Sumber: Kosmo [03/01/2013], BHarian [2013/01/14]

Cadangan Waktu Tertentu Ibu Bapa Ambil Bantuan Persekolahan

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) mencadangkan pihak sekolah menetapkan waktu tertentu bagi ibu bapa mengambil Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100.

Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata ada dua waktu paling sesuai untuk ibu bapa berbuat demikian iaitu ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak mereka dari sekolah iaitu antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 2.00 petang hingga 3.00 petang.

Beliau memberitahu, pihak sekolah juga boleh memberi kebenaran kepada pelajar untuk mewakili ibu bapa masing-masing.

"Pelajar boleh kemuka borang kebenaran ibu bapa untuk mengambil wang tersebut," katanya.

Mohd Nasarudin Mohd Adib pula mencadangkan agihan dibuat pada hari Sabtu dan Ahad supaya tidak mengganggu waktu kerja ibu bapa.

Sumber:  BERNAMA [16/01/2013]

0 comments: