Nuff Atas

31 Januari 2013

Istana Negara Lama Kini Menjadi Muzium Diraja


ISTANA Negara lama menjadi Muzium Diraja yang mula dibuka pada umum pada awal Februari 2013.

BANGUNAN Istana Negara lama yang terletak di lereng bukit berhadapan Jalan Syed Putra dan Sungai Klang sebenarnya sudah lebih 80 tahun bertapak. Bangunan berwarna putih dan ditandai dengan dua kubah emas ini asalnya milik seorang jutawan dari China bernama Chan Wing.

Mula dibina pada 1928 dengan kos RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar, ia mendapat sentuhan daripada firma Swan & Mclaren.

Banyak rentetan sejarah Istana Negara lama. Semasa zaman pendudukan Jepun, banglo ini dijadikan pusat pemerintahan tentera dan sebagai mes pegawainya barmula dari tahun 1942 hingga 1945.


Sebaik tentera Jepun berundur dari Malaya, bangunan itu dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah yang kembali bertakhta.

Bangunan bersejarah ini bertukar tangan apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan nilai RM1.4 juta pada tahun 1957.


BILIK Bacaan bekas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Kini, setelah wujudnya Istana Negara baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Istana Negara lama ini akan secara rasmi menjadi Muzium Diraja mulai 1 Februari 2013.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail, status itu sekali gus memberi peluang rakyat negara ini melihat secara dekat bukan sahaja Bilik Santapan tetapi Bilik Beradu Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.


BILIK Karaoke yang luas dan selesa untuk kerabat diraja berhibur.

“Selain itu, tarikan ini bakal menjadi ikon terbaharu sektor pelancongan negara,” katanya.

Ujarnya, terdapat penghadang khas di setiap bilik, dewan dan ruangan dapur Istana Negara lama bagi memastikan kesemua item bersejarah yang tidak ternilai itu terjaga rapi.

“Tidak ternilai harganya kerana orang ramai boleh melihat sendiri Klinik Diraja, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Bilik Menteri.

“Bukan itu sahaja, mereka juga boleh melihat Pejabat Agong, Pejabat Permaisuri, Bilik Bacaan, Bilik Beradu Seri Paduka dan bekas Raja Permaisuri,” katanya.

Namun, harga tiket masuk masih belum ditentukan lagi, kata Ibrahim.


RUANG pejabat untuk Seri Paduka menjalankan urusan rasmi.

Lihat sendiri

Menurut Bentara Istana Negara, Rusli Asri, dia sendiri tidak berpeluang untuk melihat sendiri Bilik Permaisuri dan Bilik Beradu Seri Paduka dan Raja Permaisuri sebelum ini.

“Selain itu, terdapat dapur besar yang boleh memuatkan 100 orang, dewan menghadap, empat bilik tetamu yang luas, dua dewan masuk, sebuah dewan santapan, bilik istana juga ditambah dari 13 buah kepada 20 bilik.


BILIK BERADU kerabat diraja yang kelihatan luas dan selesa.

“Menjelang tahun 1980-an, Istana Negara mengalami pengubahsuaian berskala besar iaitu penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana,” katanya.

Ia adalah singgahsana pertama dibina dalam Istana Negara untuk majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Kru media berkesempatan melihat sendiri Bilik Singgahsana Kecil, Dewan Menghadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri yang cukup indah binaan dan reka bentuknya.

Rusli memberitahu, bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan sebagai Yang Dipertuan Negeri, Istiadat Menghadap dan Menerima Watikah Pelantikan Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Luar Negara.


BILIK SANTAPAN Seri Paduka bersama tetamu kehormat.

Bilik itu juga digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara.

“Selain itu, ia menjadi tempat Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri,” katanya.


BILIK AIR bekas pemerintah tertinggi negara.

Warisan

Katanya, Dewan Menghadap yang berada tingkat bawah dijadikan tempat bagi Seri Paduka dan Raja Permaisuri menerima menghadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan tetamu kenamaan.

“Fungsinya juga merangkumi ruang rehat untuk sultan-sultan, raja-raja dan gabenor negeri semasa persidangan Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara.

“Bilik Permaisuri merupakan tempat Seri Paduka dan Raja Permaisuri menerima tetamu-tetamu kehormat,” katanya.

Tutur Rusli, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya dijalankan di Balairong Seri.

Istana Negara lama setinggi dua tingkat juga mempunyai kemudahan lif.

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Sumber: Kosmo

2 comments:

Mia Liana berkata...

bagusnya... peninggalan sejarah untuk masa depan ni..

myfreeminded berkata...

Thn 1928 RM150,000
Thn 1954 RM1.4 juta
Thn 2012 RM???? mak aih... besarnya nilai tu....