14 Januari 2013
Muzium Coklat Kota Damansara Pertama Di Malaysia
Gambar Hiasan
BAGAI tidak terkira bilangan penggemar coklat di negara ini. Walaupun ada yang mengatakan coklat menyebabkan kegemukan, namun itu bukan penyebab untuk peminatnya menghindari makanan kegemaran ramai itu.
Dalam keenakan menikmati coklat, tentunya ada kalangan kita yang tidak tahu sejarah atau asal-usul bagaimana coklat itu dihasilkan. Cuma, hanya mendapat tahu maklumat sampingan sahaja iaitu coklat mampu memberi ketenangan dan menjadikan fikiran lebih rileks dan tenang.
Pasti rasa teruja bagi peminat-peminat coklat apabila dapat merasai sendiri pengalaman ketika menyusuri Muzium Coklat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara ini dengan pelbagai maklumat menarik mengenai coklat. Muzium Coklat ini terletak di Seksyen 3, Kota Damansara, Petaling Jaya.
Menurut Pengurusnya, Mohd. Azuan Arshad, tujuan muzium ini dibina adalah sebagai platform memberi pengetahuan dan kesedaran secara terus kepada orang ramai mengenai sejarah coklat, kebaikan memakannya dan cara pembuatan coklat.
Gambar Hiasan.
Sejarah Coklat
Semua orang sudah tahu bahawa coklat diperbuat daripada koko. Koko diperoleh daripada pohon koko. Pohon koko dipercayai mula-mula tumbuh di daerah Amazon utara hingga ke Amerika Tengah menjangkau ke selatan Mexico.
Pada ketika itu orang-orang tempatan (suku Maya) cenderung memanfaatkan pohon koko sebagai minuman. Mereka menambah rempah-ratus, vanila dan lada merah untuk menghilangkan rasa pahit daripada biji koko.
Coklat adalah pemanis mulut yang dikatakan mula wujud pada Zaman Tamadun Olmec oleh suku kaum purba Mesoamerika yang tinggal di hutan tropika selatan Teluk Mexico.
"Menggunakan pokok koko dan biji koko yang dipanggil 'kakawa' atau koko secara domestik, biji koko yang pahit dikatakan mempunyai kelebihan dalam memberi kesihatan dan tenaga serta dijadikan sebahagian diet harian sekitar awal 600 Sebelum Masihi (SM)," kata Mohd. Azuan Arshad.
Penggunaan koko diteruskan oleh puak Maya yang dipercayai mempunyai sifat pemulihan dan mampu mengembalikan mood.
Bagi puak Maya yang dikenali dengan kalendar yang berakhir pada 2012, penemuannya dibuktikan dengan penemuan tembikar kuno dalam makam yang menceritakan kepentingan koko.
Pada Zaman Aztec, sekitar 900 Masihi sehingga 1858, coklat dimakan dalam bentuk cecair di mana dihidangkan secara sejuk dan berbuih kepada golongan bangsawan.
Buih tersebut dikatakan mempunyai intipati coklat dan kesenian kaum Aztec yang tersendiri dan minuman tersebut dipercayai dicampur dengan bahan lain seperti jagung, perasa dan rempah bagi menambah keenakannya.
Pada masa kerajaan Aztec berkuasa (sekitar tahun 1500), masyarakat pada ketika itu menganggap biji koko sebagai makanan para dewa. Biji koko ini digunakan dalam upacara-upacara keagamaan atau sebagai hadiah. Coklat juga merupakan barangan mewah di era Colombia-Meso America. Suku Maya, Toltec dan Aztec telah menggunakan biji koko sebagai mata wang.
Bagi puak Toltecs, koko dilihat sebagai hadiah daripada Tuhan Quetzalcoati kepada manusia dan dikembangkan penggunaannya.
Selain itu, biji koko turut digunakan sebagai mata wang di zaman puak Aztec.
"Pada waktu itu, sebiji telur ayam belanda perlu ditukarkan dengan tiga biji koko manakala bagi seekor ayam belanda betina bersamaan dengan 100 biji koko," kata Mohd. Azuan.
Atas nilai koko tersebut telah menarik minat pelayar Christopher Columbus sewaktu pelayaran keempat dan terakhirnya di Lautan Caribbean.
Sekitar abad ke-17, minuman coklat menjadi kegemaran golongan elit di dalam istana Sepanyol. Pada tahun 1689, Hans Sloane telah memperkenalkan sejenis minuman susu coklat di Jamaica dan akhirnya dijual oleh Cadbury bersaudara. Hanya pada tahun 1847, barulah coklat padat dicipta oleh orang Eropah.
Muzium Coklat Kota Damansara
Beliau yang kagum dengan penggunaan biji koko telah membawanya ke sekitar negara Eropah termasuklah Sepanyol, Perancis serta Itali dan ini merupakan titik tolak bagi perkembangan coklat di seluruh dunia.
Sejarah ini dapat diketahui dengan lebih lanjut di Muzium Coklat yang dibuka oleh DR Group Holdings Sdn. Bhd., syarikat pengeluar coklat tempatan seperti Danson, Fidani dan Milton.
Penubuhan Muzium Coklat dikatakan mampu meningkatkan pengetahuan mengenai industri coklat di samping dapat membantu produk itu yang dikeluarkan syarikat tempatan menembusi pasaran lebih luas.
Pengarah Muzium Coklat, Mohd Azuan Arshad berkata, pembukaan muzium itu juga sedikit sebanyak membuka peluang kepada orang ramai mendapat maklumat berhubung asal-usul, manfaat kesihatan dan proses pembuatan coklat.
"Muzium ini merupakan platform bagi memberi pengetahuan mengenai asal-usul coklat, kebaikan dan maklumat menarik mengenainya.
“Muzium ini juga membolehkan orang ramai melihat demonstrasi cara penyediaan coklat menggunakan mesin salut coklat, mesin percetakan dan teknik pencairan coklat,” katanya.
ULAR sawa yang dihasilkan daripada coklat ini mengambil masa selama 150 jam untuk disiapkan. [Kosmo]
Beritahu Mohd Azuan, terdapat kira-kira 100 jenama dan 1,000 jenis coklat dijual di muzium itu dengan harga lebih murah berbanding di pasar raya iaitu antara RM2 hingga RM200.
"Kami menggunakan konsep 3E di mana pengunjung dapat pengetahuan interaktif (education interactive), pengalaman membuat coklat (experience chocolate making) dan keseronokan membeli (enjoyable shoppings) di sini," katanya.
Bertempat di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya, muzium ini dibuka secara percuma untuk orang ramai bermula dari 10 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari.
Muzium yang baru dibuka pada November 2012 lalu ini turut menempatkan replika mesin adunan coklat pertama di dunia yang telah dicipta pada 1879 oleh peneroka coklat antarabangsa, Swiss Chocolatier, Rodolphe Lindt.
Para pengunjung turut berpeluang membeli coklat kegemaran mereka di Muzium Coklat.
Aktiviti Muzium Coklat
Lebih menarik pengunjung dapat melihat sendiri hasil seni penghasilan coklat dari dapur muzium yang akan ditunjukkan oleh tiga orang chef berpengalaman.
Pengunjung bakal terpegun melihat aksi mengadun coklat cair oleh chef dari dapur yang dilakukan di atas marmar bagi menghasilkan coklat yang halus dan berkilat.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang menyaksikan bagaimana hasil produk yang disalut coklat dihasilkan dengan menggunakan mesin salut coklat yang jarang dilihat ini.
Seterusnya proses mencetak gambar di atas coklat turut ditunjukkan kepada pengunjung yang berada di muzium berkenaan.
"Muzium ini turut menerima tempahan untuk majlis kenduri mahupun majlis korporat dimana pengunjung boleh datang ke dapur dan chef kami sedia menerima tempahan.
"Untuk tempahan mencetak, pengunjung perlu membawa gambar yang hendak dicetak dalam bentuk data.
Menambah keseronokan pengunjung, ruangan membeli coklat dengan terdapat lebih daripada 100 jenis coklat berjenama disediakan di muzium ini.
"Dengan harga yang murah daripada harga pasaran di luar, muzium ini menyediakan kemudahan kepada pengunjung dalam pemilihan pelbagai jenis coklat yang berkualiti dari dalam dan luar negara.
"Pengunjung juga tidak perlu khuatir kerana kesemua produk coklat yang dijual di sini dijamin halal dan selamat kerana kami sentiasa dipantau oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO)," katanya.
Tambah Mohd. Azuan, diimport secara terus dari kilang seperti jenama coklat Ferrero, Hershey's, Lindt, Nestle dan sebagainya, muzium ini menjanjikan kualiti coklat yang asli dengan harga 30 sehingga 40 peratus lebih murah dari harga biasa.
Pesanan Mohd. Azuan, pemilihan produk coklat yang berkualiti dan asli dapat memberikan khasiat coklat yang sebenar.
DR Group yang merupakan pengedar terbesar di Malaysia turut menempatkan 400 tan coklat segar pengeluar syarikat tempatan melalui anak syarikatnya Quantum Supplies (M) Sdn. Bhd. dan Fidani Chocolatier.
Bagi yang berminat, kunjungi Muzium Coklat yang unik ini di No 2, Jalan Teknologi 3/4, Seksyen 3, Kota Damansara, Selangor atau layari www.drgroup.com.my untuk maklumat lanjut.
Oleh: NOR FARHANI CHE AD, ROSHLAWATY RAIEH
Sumber: Utusan, Sinar Harian
GALERI Muzium Coklat ini menjual lebih 130 jenis coklat daripada 30 jenama terkenal pada harga lebih murah
Konsep 3E
Tujuan muzium ini ditubuhkan adalah untuk mendidik masyarakat mengenai asal-usul coklat serta manfaatnya dari segi kesihatan.
Pengunjung juga akan mendapat maklumat menarik mengenai coklat dan koko dari seluruh dunia yang telah berusia lebih 3,000 tahun.
Ujar Mohd. Azuan, pengurus DR Group Holdings Sdn. Bhd,.pihaknya mempraktikkan konsep 3E iaitu pengunjung berpeluang mendapatkan pengetahuan (education), pengalaman (experience) dan keseronokan (enjoyable) sepanjang berada di muzium terbabit.
“Mereka akan dibawa melawat ke sekeliling muzium, melihat demonstrasi penghasilan coklat, membeli-belah di galeri coklat selain bersantai di kafe muzium ini yang menyajikan makanan dan minuman berasaskan coklat.
“Lebih 130 jenis coklat daripada 30 jenama terkenal dijual di muzium ini termasuk Cadbury, Ferrero Rocher dan Toblerone di samping jenama keluaran syarikat kami iaitu Fidani, Farrel dan Danson.
“Kesemua coklat daripada jenama terkenal ini diimport terus dari negara asal seperti Itali, New Zealand dan Korea.
“Malah, ia dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasar raya iaitu antara RM1.50 hingga RM300,” ujarnya sambil menambah, pihaknya menerima sebanyak 2,000 hingga 4,000 pengunjung pada hari biasa tidak termasuk cuti hujung minggu.
Sebaik menjejakkan kaki di muzium ini, pengunjung diberi penerangan mengenai sejarah awal koko dan coklat.
Terdapat beberapa bahagian yang boleh dilawati sepanjang sesi ini, antaranya sejarah coklat, kebaikan coklat untuk kesihatan dan industri coklat.
Pengunjung juga berpeluang melihat replika mesin adunan coklat pertama dunia yang dicipta pada tahun 1879 oleh peneroka coklat antarabangsa Swiss Chocolatier iaitu Rodolphe Lindt.
Malah, bentuk coklat bar diaplikasikan pada dinding yang menuju ke dapur muzium. Di situ juga sesi demonstrasi penghasilan coklat untuk pengunjung dilakukan.
Melangkah ke ruang dapur muzium ini, pengunjung dapat melihat bentuk haiwan yang dihasilkan menggunakan coklat seperti ular sawa, naga dan burung helang untuk tatapan pengunjung.
Kesemua bentuk haiwan yang digubah menggunakan coklat ini dihasilkan secara berkumpulan dan masa yang diambil untuk menghasilkan naga ini ialah 110 jam, ular sawa pula selama 150 jam dan burung helang memakan masa selama 130 jam.
Walaupun dipisahkan oleh dinding kaca, pengunjung masih dapat melihat aksi mengadun coklat cair oleh cef di dapur. Kerja-kerja itu dilakukan di atas marmar bagi menghasilkan coklat yang halus dan berkilat.
Selain itu, pengunjung ditunjukkan teknik menyalut coklat menggunakan biskut atau wafer dan kemudiannya dihias dengan bahan hiasan di atasnya.
Pembinaan muzium itu membabitkan kos sebanyak RM1 juta. Muzium yang berkeluasan 325 meter persegi itu dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.
Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments:
dekat dengan umah saya tuh..heheh
wah terbaik. tq sharing info. boleh singgah nanti. hehe.
Teringat cerita kilang coklat tu yang dilakonkan oleh pelakon hensem tu, tapi tak ingat lak nama dia.
Catat Ulasan