11 Januari 2013

Tepati Janji Demi Hidup Yang Diredhai Allah


Katakan InsyaAllah Apabila Berjanji

Kita tidak terlepas daripada berjanji seperti janji terhadap diri sendiri, Allah dan Rasul, sesama manusia. Seperti kata ulama nusantara, Dr Hamka, kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji, mengakui diri sebagai hamba Allah, ertinya akan menepati janji dengan Allah.

Memang menabur janji manis sangat senang. Namun, apabila sampai detiknya ramai yang sengaja tidak menepati janji walaupun ketika itu sudah ada kemampuan. Penyakit sebegini patut dielakkan kerana boleh mengundang perpecahan dan tidak melambangkan ciri orang bertakwa.

Firman Allah SWT bermaksud: dan orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah, ayat 40)


Jangan kita memandang ringan mengenai janji meskipun kecil kerana apabila sudah berjanji maka kita bertanggungjawab melunaskannya. Menepati janji dalam Islam adalah satu kewajipan dan berdosa besar bagi yang sengaja memungkiri selain mengundang kebencian Allah SWT.

Allah SWT berfirman bermaksud: Wahai orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (Surah al-Shaf, ayat 34)

Rasulullah SAW menganggap orang yang tidak menepati janji sebagai orang yang dalam jiwanya kontang daripada penghayatan agama.

Sabda Baginda SAW: Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji. (Riwayat Ahmad dan Al-Bazzar)



Islam mengajar kita ketika berjanji hendaklah melafazkan Insya-Allah yang membuktikan kebergantungan kita kepada Allah.

Firman Allah SWT: Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi, kecuali (dengan melafazkan) Insya-Allah. (Surah Al-Kahfi, ayat 23-24)

Namun agak malang juga apabila lafaz yang mulia ini (Insya-Allah) disalahgunakan oleh sesetengah orang yang mencari helah untuk tidak melaksanakan janji.

Kita perlu memahami secara pasti bahawa lafaz Insya-Allah ketika berjanji hendak disertai dengan azam kuat akan melaksanakannya.

Jika semua insan bersikap jujur dan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan setiap gerak perbuatannya, pasti isu memungkiri janji tidak akan timbul.

Sumber: BHarian

2 comments:

Unknown berkata...

geram klu org x tepati janji

Bunda_nora berkata...

In Shaa Allah..