18 Februari 2013

Individu Terkaya Malaysia 2013

Pernah orang bertanya kepada saya apa pentingnya memaparkan berita tentang individu terkaya ini. Pada saya terpulang kepada cara seseorang melihat berita tersebut. Ada orang yang tidak kisah langsung tentangnya. Ada pula pihak yang akan mencemburui kejayaan mereka lalu memberikan bermacam-macam andaian.

Yang terbaik adalah menjadikan kejayaan dan kekayaan mereka suatu motivasi. Kebanyakan individu terkaya ini (kecuali mereka yang telah mewarisi empayar perniagaan keluarga) bermula daripada seorang individu biasa yang berusaha kuat untuk memperkasakan perniagaan mereka sendiri.

"Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu. Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas." demikian kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Dengan memiliki kekayaan seseorang berpeluang membuat kebaikan membantu pihak-pihak yang memerlukan sebagai tanda bersyukur atas rezeki yang Allah limpahkan.

"Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain." kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. [Rujuk: Utusan]


Robert Kuok.

Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun 2012 lalu, diikuti oleh ahli perniagaan, Ananda Krishnan dan Pengerusi / CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.


Ananda, yang menduduki tempat kedua sejak 2004, mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia merosot 23.5 peratus dari tahun 2012 lalu, dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari 2013.

Teh Hong Piow, mengekalkan kedudukannya bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan 16 Februari 2013.


Tan Sri T. Ananda Krishnan.

Ia berkata, kekayaan tergabung 40 individu terkaya Malaysia itu meningkat sedikit tahun ini meski pun dalam keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu.

Secara kolektif, 40 orang terkaya Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari 2013. Ia adalah peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun 2012 lalu.

Bilangan individu Malaysia yang mempunyai aset bernilai lebih RM1 bilion juga bertambah kepada 31 orang daripada 30 orang tahun 2012 lalu.

Ketika Malaysian Business mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya Malaysia pada 2002, aset tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert Kuok Hock Nien muncul pada kedudukan teratas.

Majalah itu berkata, keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan, yang melonjak daripada kedudukan keenam tahun 2013 lalu, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group, yang turun ke tempat keenam. Kekayaan Quek, melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group, bernilai RM11.09 bilion tahun ini.


Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya tahun 2013 ini dengan kekayaan berjumlah RM10.60 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun 2012 lalu.

Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, melalui jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada di tempat kesembilan tahun ini dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01 peratus daripada kekayaannya tahun 2012 lalu.

Melengkapi senarai 10 terkaya ialah jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, melalui Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion, selepas mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus daripada tahun 2012 lalu.

Malaysian Business berkata, satu hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81 tikun telah menyertai senarai 40 Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu, 15 berjaya terus kekal dalam senarai.

pix_gal0

Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan hartawan-hartawan ini boleh dikaitkan dengan prestasi pasaran saham dan inflasi harga, memandangkan sebahagian besar kekayaan mereka adalah berdasarkan pegangan saham masing-masing.

Ia juga mencerminkan prestasi syarikat mereka dan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu.

Bagi tahun 2013 ini, ada 31 jutawan bertambah seorang lagi sejak tahun lalu, dan 23 daripada 40 orang dalam senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat daripada tahun 2012 lalu. Daripada seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.

Senarai itu juga mencatat tiga pendatang baru. Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion.

Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada tempat ke-37 dan ke-40.

Senarai penuh 40 taikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu. Ia juga memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE.

Seperti pada tahun 2012 lalu, kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat-syarikat tersenarai pada 18 Januari 2013.

Malaysian Business diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd. - BERNAMA

Sumber: BHarian [2013/02/16], Kosmo, BHarian [18/02/2013]

0 comments: