Nuff Atas

19 Februari 2013

Meteor, Meteorit, Meteoroid, Tahi Bintang ...


Meteor jadi meteorit bila sampai ke bumi, tetapi kekal sebagai tahi bintang

ORANG sekarang tidak lagi panggil batu-batu dari angkasa itu sebagai tahi bintang. Mereka memanggilnya meteor. Seperti mana orang sekarang tidak memanggil astronomi sebagai kaji bintang.

Meteor adalah perkataan Inggeris yang telah diterima ke dalam Bahasa Malaysia. Asalnya meteor bermaksud kesan-kesan laluan meteoroid di langit yang di lihat dari bumi. Gumpalan asap dan cahaya seperti yang dilihat di sekitar pergunungan Ural di Rusia Jumaat 15 Februari 2013 lalu ialah meteor.

Tetapi batunya dipanggil meteoroid. Selalunya meteoroid tidak sampai ke bumi tetapi pecah dan hangus di ruang udara kerana geseran kuat yang dilaluinya. Apabila meteoroid jatuh ke bumi, ia berubah nama menjadi meteorite dalam bahasa Inggeris, atau meteorit dalam Bahasa Malaysia.

Namun begitu, tahi bintang tidak berubah nama bila ia sampai ke bumi. Ia tetap dipanggil sebagai tahi bintang. Ketiga-tiga perkataan meteor, meteoroid dan meteorit adalah tahi bintang.


Tahi Bintang

Mengapakah ia disebut sebagai tahi bintang?

Mungkin juga ia dianggap sebagai kotoran yang keluar daripada bintang. Bintang-bintang dilihat indah dari bumi tetapi apabila serpihannya jatuh, didapati tidaklah cantik. Maka mungkin sebab itu ia dinamakan sebagai tahi bintang.

Tetapi ada satu perkataan yang lebih indah dan pernah digunakan untuk merujuk kepada tahi bintang. Perkataan itu ialah panah kelodan.

Dalam bahasa Inggeris, meteor juga disebut sebagai shooting stars atau bintang yang ditembak dan falling stars atau bintang jatuh.

Asteroid

Selain tahi bintang, ada juga digunakan perkataan bintang bergerak. Tetapi bintang bergerak ini bukan saja merujuk kepada tahi bintang tetapi juga bintang berekor dan asteroid.

Perkataan sekarang bagi bintang berekor ialah komet. Ia tidak jatuh ke bumi tetapi merentas sistem suria mengelilingi matahari mengikut orbitnya dan ada masanya dapat dilihat Asteroid pula merujuk kepada bongkah-bongkah batu besar yang juga mempunyai orbitnya mengelilingi matahari dalam lingkungan antaranya dengan planet Musytari.

Pada 16 Februari 2013, ada sebuah asteroid melintas dalam laluan yang hampir dengan bumi. Malah lebih hampir daripada satelit GPS. Jika asteroid ini terlalu hampir dan memasuki ruang tarikan bumi, maka ia boleh jatuh ke atasnya dan mendatangkan bencana besar.

Kalau di luar lingkungan orbit planet Musytari, maka ia dinamakan planetoid. Kalau lebih besar lagi, maka seperti bumi, batu itu dianggap sebagai planet.

Jadi jika dikira dari segi ukuran dari besar ke kecil, maka ia boleh diatur begini: planet, planetoid-asteroid dan meteoroid. Kalau lebih kecil daripada itu, seperti dalam bentuk debu-debu, maka ia disebut mikrometeoroid.

Bintang

Tetapi pada zaman dahulu, selain daripada matahari dan bulan, semua benda-benda yang nampak di langit disebut sebagai bintang.

Planet juga disebut bintang. Sebab itulah planet Utarid atau Venus dalam bahasa Inggeris dipanggil oleh orang Melayu sebagai bintang Kejora. Satu-satunya bintang yang namanya ada dalam bahasa Melayu.

Nama-nama planet semuanya berasal sama ada dari bahasa Arab seperti Zuhrah, Utarid, Marikh, Zuhal dan Musytari atau pun Inggeris iaitu Uranus dan Neptune. Orang Arab pada zamannya tidak menemui planet Uranus dan Neptun.

Sanskrit

Malah perkataan Bumi pun berasal dari bahasa Sanskrit. Begitu juga dengan perkataan Suria bagi merujuk pada matahari dan purnama bagi merujuk pada bulan adalah berasal dari bahasa Sanskrit.

Tetapi matahari, bulan dan bintang memang asalnya bahasa Melayu.

Apabila sains diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu, barulah dibezakan antara planet dan bintang. Maka Kejora itu bukanlah bintang tetapi planet. Matahari pula adalah sebuah bintang. Sementara bulan bukan saja ada pada bumi tetapi di planet-planet lain.

Bintang Sebagai Penunjuk Arah

Orang Melayu zaman dahulu mahir mengenal bintang kerana mereka adalah pelaut. Berada dalam perahu dan kapal di tengah-tengah malam, maka hanya bintang yang menjadi teman dan panduan.

Dengan bintanglah seseorang nakhoda dapat mengemudi kapal-kapal lautnya. Maka kerana bintang-bintanglah orang Melayu tersebar ke seluruh Nusantara, dari Kemboja hingga ke Papua. Dari Manila hingga ke Madagascar. Bukan saja orang Melayu, tetapi keseluruhan rumpun Austronesia dan Polinesia, yang menggunakan perahu serta kapal berlayar dari Taiwan hingga ke Hawaii, Fiji, Tahiti, Samoa, Polinesia dan pulau-pulau Pasifik yang lain termasuklah New Zealand.

Bintang paling disukai ialah Kejora yang muncul pada waktu pagi. Maka pada bendera Papua terdapat lambang bintang yang merujuk kepada Kejora.

Tetapi matahari, bulan dan bintang gemar dijadikan lambang pada bendera di banyak negara. Itulah besarnya pengaruh benda-benda di langit bagi manusia.

Bulan adalah penting bagi bangsa pelaut dan nelayan. Selain daripada ia menjadi punca air pasang dan surut, bulan yang mengambang akan memudahkan pelayaran pada waktu malam.

Selain menjadi pelaut dan nelayan, orang Melayu seperti bangsa-bangsa lain di dunia turut terlibat dengan pertanian. Maka peredaran matahari yang menyebabkan perubahan musim menanam dan menuai tentu penting bagi masyarakat pertanian.

Orang zaman dahulu, sebelum adanya agama akan melihat matahari sebagai suatu benda yang memberikan kehidupan. Bukan saja ia memberikan cahaya dan haba, tetapi juga membawa kepada tumbuhnya tanam-tanaman.

Maka tidak hairanlah pada zaman purba, ada masyarakat yang menganggap matahari sebagai dewa. Dalam tradisi Hindu purba, khususnya mazhab Saura ada dewa matahari bernama Surya. Isterinya bernama dewi Cahya.

Ilmu Falak

Kini kedua-dua perkataan suria dan cahaya adalah sebahagian daripada bahasa Melayu.

Apabila Islam datang ke Nusantara, bulan menjadi penting. Kerana kiraan awal bulan menjadi penentu kepada ibadah puasa dan haji. Kiraan pergerakan matahari masih juga penting untuk menentukan waktu sembahyang.

Pengetahuan mengira perjalanan matahari dan bulan ini disebut sebagai ilmu falak. Ilmu ini adalah sebahagian daripada amalan kehidupan beragama Islam.

Sementara antara ilmu yang dilarang Islam pula ialah tenung atau tilik-menilik. Dalam kategori ini ialah astrologi. Astro bermaksud bintang dan logi adalah ilmu. Tetapi astrologi menggunakan kedudukan bintang untuk menilik nasib seseorang. Bukan saja agama Islam, sains juga menolak astrologi.

Ilmu bintang yang sebenar dipanggil astronomi. Tetapi kini ia sudah menjadi begitu luas meliputi astrofizik dan kosmologi atau kajian alam semesta.

Oleh Zin Mahmud
Sumber: Utusan

Foto

Lintasan Komet dan Kejatuhan Meteroid

Perkataan komet itu berasal daripada bahasa Yunani bermaksud ‘yang berbulu’ namun secara saintifik pula, takrif sebenar komet yang mempunyai kepala dan berekor, adalah jasad beku antara planet yang melepaskan gas dan debu sewaktu mendekati matahari.

Komet yang paling popular ialah Komet Hailey yang mengorbit setiap 76 tahun.

Gas dan debu itu membentuk kepala iaitu objek bulat/bujur atau Koma yang terang dan mempunyai dua ekor panjang, iaitu ekor plasma dan ekor debu.

Bahagian Koma itu pula mempunyai nukleus yang mengandungi ais, manakala ekor plasma yang juga dikenali ekor ion selalunya lurus pada arah berlawanan dengan matahari atau searah dengan angin suria.

Ekor debu mengikut arah orbit komet dan ia mengandungi partikel halus serta debu yang ada kalanya melengkung.

Maka, jika dilihat melalui teleskop besar, ia mungkin kelihatan seperti bebola api yang panas dan terang benderang, tetapi hakikatnya, ia adalah bebola ais yang sejuk tetapi cair dan meruap apabila terkena cahaya matahari.

Komet yang mengandungi ais dan debu itu bersifat mudah pecah. Dari segi teori, ia dikatakan berasal dari satu kawasan di luar sistem planet dan suria dikenali awan Oort.

Awan Oort itu adalah tempat berkumpulnya semua komet yang akan keluar menuju ke matahari. Bagaimanapun, komet bukanlah tahi bintang atau meteor.

Manakala meteoroid adalah ketulan batu atau logam yang datang dari kawasan luar angkasa dan jatuh menembusi atmosfera bumi.

Asteroid pula merangkumi bahan serpihan daripada pembentukan sistem suria.

Menurut teori, asteroid pada asalnya adalah planet yang musnah akibat perlanggaran kuat dengan saiz yang berbeza, misalnya Ceres berdiameter kira-kira 1,000 kilometer (km) hingga sekecil saiz batu kerikil.

Setakat ini, sebanyak 16 asteroid dikenal pasti mempunyai diameter 240 km atau lebih besar ditemui di antara orbit bumi hingga orbit Zuhal.

Namun, kebanyakan asteroid ada di kawasan lingkaran utama di antara Marikh dan Musytari yang dinamakan lingkaran asteroid.

Batu antara komet dan asteroid pula dipanggil meteoroid manakala meteor seperti yang dijelaskan adalah hasil percikan api selepas meteoroid jatuh menembusi atmosfera bumi.

Mudahnya, meteor mempunyai jaringan orbitnya yang tersendiri dan lebih dikenali sebagai meteoroid (saiz rentas kurang daripada satu kilometer) dan juga asteroid (apabila membabitkan saiz lebih besar (lebih satu kilometer).

Jika meteoroid itu tidak terbakar keseluruhannya dan jatuh menghentam permukaan bumi, ia dinamakan meteorit.

Hasil kajian terhadap meteorit mendapati, 92.8 peratus mengandungi silika dan 5.7 peratus besi dan nikel, manakala bakinya campuran ketiga-tiga bahan itu.

Fenomena meteor jatuh ke bumi berlaku setiap malam dengan bilangan purata empat bilion meteor, kebanyakannya bersaiz kecil (besar sedikit daripada saiz atom) dan berat terkumpul melebihi beberapa tan metrik.

Satu jumlah yang agak besar dan memeranjatkan namun boleh diabaikan kerana kebanyakan menjadi debu dan jika ia berjaya merentasi halangan sesaran serta suhu yang amat tinggi, saiz batu terbabit tidak berbahaya dan amat kecil jika dibandingkan dengan berat keseluruhan bumi pada 6,600,000,000,000,000,000,000 tan metrik.

Sebanyak 90 peratus daripada meteor di bumi berasal daripada meteoroid yang berlegar di antara planet Marikh dan Musytari.

Oleh Afiq Hanif
Sumber: Hmetro

3 comments:

Srikandi permata berkata...

Subhanallah, hebat semua ciptaan Allah ini.

myfreeminded berkata...

bertapa pentingnya Ilmu dalam mengenali Allah S.W.T dan mampu mendekatkan diri kita denganNya. Kalau tak,takkan lah Nabi kita mengalakkan kita untuk menuntut Ilmu hingga ke Negeri China.

Puteri Kasih berkata...

kejadian tempoh hari di rusia agak mengejutkan juga