Nuff Atas

08 Februari 2013

Makrifah Rasulullah SAW



ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah dan selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Peri pentingnya umat Islam pada masa kini mengenali Rasulullah SAW. Pesanan dan wasiat seorang sahabat Nabi yang bernama Sa'd bin Abi Waqas ra. Antara lain katanya: "Kita hendaklah mengajar anak-anak kita peperangan Rasulullah SAW seperti mana kita mengajar mereka surah-surah al-Quran."

Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah SAW begitu hampir dalam kehidupan kita kecuali kabus kemewahan dan kelalaian telah menjadi hijab untuk kita makrifah dan mengenali Rasulullah SAW yang sewajibnya kita beriman dan mencintainya.

Mengikut riwayat al-Tabarani, daripada Saidina Ali ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Didiklah anakmu atas tiga sifat, cintakan Nabimu, cintakan keluarganya dan membaca al-Quran. Ini kerana pembawa al-Quran berhak mendapat bayangan lindungan Arasy Allah pada hari tiada sebarang lindungan kecuali lindungannya bersama para nabi dan orang-orang yang dipilihnya."


Antara tanda seseorang cintakan Nabi ialah dengan mengkaji sirahnya dan seterusnya mengikut segala perintah serta meninggalkan larangannya. Begitu juga bibirnya sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT (Surah al-Ahzab: 56) yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Kelebihan Berselawat Ke Atas Rasulullah SAW

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani al-Hasani Rahimahullah menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam kitabnya, al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun yang berkata: "Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai 42 kelebihan. Hal ini tertulis di dalam kitabnya Hadaiq al-Anwar:"

* Melaksanakan perintah Allah SWT.
* Bersama dengan selawat Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

* Bersama dengan selawat para malaikat.
* Mendapat ganjaran 10 kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

* Dikurniakan oleh Allah SWT 10 darjat atas tiap-tiap satu selawat.
* Ditulis oleh malaikat 10 kebaikan atas setiap selawat.

* Dihapuskan oleh Allah SWT 10 kejahatan atas setiap selawat.
* Segala doa akan diperkenankan oleh Allah SWT.

* Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.
* Mendapat keampunan daripada Allah serta akan ditutup segala keaiban.

* Allah SWT akan menutupi segala dukacita.
* Dikurniakan makam yang berhampiran dengan Rasulullah SAW.

* Mendapat darjat al-Sidq.
* Ditunaikan segala hajat.

* Selamat dan sejahtera pada hari Kiamat.
* Allah SWT dan para malaikat akan berselawat ke atas orang yang selawat.

* Mendapat khabar gembira daripada Allah SWT dengan balasan syurga.
* Selamat sejahtera daripada huru-hara hari Kiamat.

* Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.
* Mudah mengingati semula perkara-perkara yang lupa.

* Mendapatkan kedudukan yang baik pada hari Kiamat serta tidak akan kecewa pada hari tersebut.
* Tidak akan merasai fakir.

* Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.
* Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah SAW kepada yang berselawat.

* Selawat akan menjemput pengucapnya ke jalan syurga.
* Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

* Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah SWT (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
* Selawat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari Kiamat.

* Terpelihara daripada sifat kasar dan gelojoh.
* Disambut oleh Allah pada hari Kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

* Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah SWT.
* Mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

* Mendapat kesempurnaan iman.
* Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.

* Mendapat hidayah daripada Allah SWT.
* Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah SAW secara langsung.

* Teguh pendirian dengan kebenaran.
* Berselawat bermaksud kita menunaikan sebahagian daripada hak-hak Rasulullah ke atas diri kita. Di samping itu, ia dianggap mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita.

* Berselawat juga bermaksud melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah ke atas Rasulullah dan juga kepada diri sendiri.
* Berselawat juga bermaksud zikrullah, bersyukur serta mengiktiraf segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

* Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah SAW di dalam jiwanya.
* Dikurniakan oleh Allah makam seorang syeikh dan murabbi.

Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang patuh pada perintah-Nya dan mengamalkan sunnah Baginda SAW.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sumber: Utusan

1 comments:

myfreeminded berkata...

SLam Pagi Jumaat, ingatan untuk yang sokmo terbabas, 2 gether we share. :)