Nuff Atas

02 Februari 2013

Mengesan Potensi Anak Menerusi Cap Jari



SETIAP kanak-kanak dikurniakan bakat semula jadi sejak kecil lagi. Hakikatnya, tidak ramai golongan ibu bapa menyedari potensi anak-anak mereka walau secara lazimnya bakat mereka ini dapat diperhatikan ketika mereka masih kecil lagi.

Bakat semula jadi ini bukan dibina melalui proses penyesuaian luar atau dilatih tetapi potensi diri mereka berdasarkan kecenderungan atau cara minda bertindak balas terhadap lingkungan stimulasi.

Bakat semula jadi ini boleh dikenal pasti sejak awal melalui analisa cap jari anak yang bertujuan untuk memberi idea kepada ibu bapa berusaha menyokong si kecil menerusi bakat dimiliki.


Menerusi analisis berkenaan, jari yang paling dominan dianalisis menerusi ukuran biometrik untuk mengkaji profil fungsi otak.

Analisis 10 jari tangan yang dilakukan sekitar 30 minit itu akan memberikan keputusan mengenai potensi sebenar anak untuk dijadikan panduan kepada ibu bapa.

Analisis fungsi otak

Ketua Pembangunan Bahagian Psikologi Universiti Maranatha Christian, Indonesia, Efnie Indrianie berkata, analisis cap jari merupakan satu kaedah inovatif yang merekod kesemua 10 cap jari kanak-kanak untuk mengenal pasti perbezaan susunan formasi saraf otak seterusnya mengesan potensi bakat dan cara pembelajaran mereka.

Kaedah tersebut boleh membantu ibu bapa untuk mengetahui bakat yang ada pada anak mereka sekali gus boleh membimbing mereka mengikut rentak gaya anak tersebut.

Analisis itu menggambarkan corak otak yang telah terbina bagi seorang kanak-kanak sejak dalam kandungan.

Potensi kanak-kanak boleh dikesan dengan menganalisis setiap jari dengan menggunakan alat pengimbas dan ia akan memaparkan bentuk cap jari di dalam komputer yang menggunakan perisian khas untuk mengesan cap jari.

Efnie Indrianie berkata, langkah pemeriksaan itu akan dilakukan dengan mengambil cap ibu jari kiri ke kelingking kiri dan seterusnya pada sebelah kanan pula.

Kemudian, apabila cap jari diambil ia akan memaparkan bentuk iaitu lengkungan, simpulan dan lingkaran di monitor komputer.

Seterusnya, kesemua data cap jari yang diperoleh akan dimasukkan dalam sistem khas. Proses pengiraan akan dijalankan menerusi sistem itu.

“Proses yang mengambil masa sekitar 30 minit itu mampu mengenali perbezaan corak cap jari. Corak ini akan dapat dipadankan dengan susunan formasi saraf-saraf otak.

“Ia dapat mengenal pasti potensi seseorang kanak-kanak. Ini satu teknologi yang amat menarik kerana penemuan daripada kajian biometrik sebagai petunjuk sifat-sifat mental,” jelasnya lagi.

Begitupun, beliau menyarankan kepada golongan ibu bapa selepas mengetahui potensi anak-anak, mereka tidak membandingkan seorang anak dengan anak yang lain kerana setiap individu adalah berbeza.

Sebaliknya, ibu bapa harus memberi sokongan moral agar mereka dapat mengembangkan potensi anak-anak serta mengatasi kelemahannya.

Ujian cap jari merupakan satu analisis saintifik dengan mengukur biometrik menerusi cap jari untuk mengenal pasti potensi seseorang individu.


SEORANG kanak-kanak melakukan ujian cap jari yang dijalankan semasa kempen Kenali Potensi Si Manja oleh Ducth Lady. 

Potensi Anak

“Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik kerana mempunyai profil fungsi otak berbeza antara satu sama lain yang terbentuk sejak dilahirkan.

“Analisis cap jari adalah salah satu kaedah yang boleh membantu ibu bapa mengenal pasti potensi bakat yang paling hebat di dalam diri si anak.

“Ia boleh membantu ibu bapa menentukan rangsangan yang betul untuk memupuk potensi anak dengan lebih giat. Misalnya, seorang kanak-kanak yang berbakat dalam muzik tetapi lemah matematik boleh menggunakan bakatnya sebagai penyokong dalam pembelajaran,” kata Efnie.

Dia percaya kajiannya dapat membantu si kecil membina kemahiran muzik serta matematik pada masa sama.

Jelasnya, analisa berkenaan juga dapat membantu ibu bapa yang mempunyai zuriat daripada kalangan orang kelainan upaya (OKU) bagi mengesan potensi dimiliki untuk mereka berjaya.

75 Peratus Ketepatan

Menyentuh mengenai ketepatan keputusan potensi itu, beliau memberitahu, kajian telah menunjukkan bahawa teknologi berkenaan mempunyai tahap ketepatan yang tinggi.

Terdahulu, satu tinjauan penelitian yang dijalankan di Indonesia oleh Makmal Psychobiometric (Spectrum Synergy Biometric) mendapati hampir 75 peratus kanak-kanak biasanya menunjukkan sifat-sifat yang selari dengan keputusan analisis cap jari.

Sementara itu, 25 peratus lebih cenderung kepada pengaruh dan pendidikan dari alam sekitar dan budaya.

Penyelidikan berkenaan berjaya membuktikan corak cap jari terbentuk di dalam janin di antara minggu 13 hingga 19 semasa dalam kandungan.

Pensyarah daripada Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Mastura Badzis berkata, pada minggu ke-13 kehamilan, cap jari mula terbentuk pada janin.

Pada minggu ke-19, kedutan terbentuk di dalam otak dan dapat dilihat pada setiap 10 cap jari mewakili bahagian berbeza pada otak kanak-kanak.

Tambah beliau, susunan saraf-saraf pada bahagian-bahagian otak itu dianggap mempunyai simetri dengan corak dan bentuk cap jari pada setiap jari.

“Jadi, ia boleh mengenali pola kebolehan dalam otak manusia berdasarkan pertumbuhan saraf dalam bahagian otak tersebut,” katanya.


MINAT dan kebolehan anak-anak dalam bidang Matematik dan Sains juga dapat dikenal pasti melalui ujian cap jari. 

Kategori Anak-Anak

Analisa cap jari yang dikendalikan melalui kempen berkenaan membolehkan ibu bapa mengenal pasti lima cabang luas bakat semula jadi anak mengikut kumpulan yang ditentukan oleh corak cap jari.

Antara kategori potensi anak yang dapat ditentukan melalui cap jari adalah Si Kreatif, Si Berani, Si Mahir, Si Fasih dan Si Pemerhati.

Menurut Pengarah Kanan Jenama, Dutch Lady Malaysia, Wong Vai Chi, analisa cap jari adalah kaedah inovatif untuk mengenal pasti potensi bakat dan cara pembelajaran anak bagi membantu ibu bapa mengoptimumkan rangsangan dan bimbingan mengikut bakat dimiliki.

“Di Dutch Lady Malaysia, amat penting bagi kami untuk memainkan peranan sebagai rakan seperjuangan kepada ibu bapa bagi memenuhi keperluan rangsangan dan pemakanan anak untuk perkembangan otak yang lebih baik.

“Justeru, kami memperluaskan skop ini dengan memperkenalkan inovasi analisa cap jari yang terbaru untuk ibu bapa mencari cara memberikan yang terbaik kepada anak mereka,” jelasnya ketika memperkenalkan program berkenaan.

Fakta: 

Analisa jari untuk menentukan potensi kanak-kanak apabila mereka dewasa:

1. Si Kreatif.

Bakat Semula Jadi yang mewakili ibu jari mempunyai ciri unik kreatif iaitu keupayaan mengenal pasti, mencari dan mengembangkan idea baru. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu Si Kreatif Sistem dan Si Kreatif Pengantara.

a). Si Kreatif Sistem dapat dikesan melalui ibu jari kanan. Seorang kanak-kanak dengan bakat semula jadi dalam bidang ini mempunyai potensi menjadi pereka bentuk dan membangunkan sistem organisasi yang kecil ataupun besar. Kerjaya yang sesuai oleh Si Kreatif Sistem adalah ahli psikologi dalam bidang sumber manusia dan pengarah syarikat jika terbabit dalam sektor perniagaan.

b). Si Kreatif Pengantara diwakili oleh ibu jari kiri. Biasanya kanak-kanak ini mempunyai potensi menjadi seorang pengantara dalam pelbagai jenis perhubungan secara rasmi atau tidak rasmi. Jika anak memilih kerjaya di bidang politik, dia berupaya menjadi diplomat berjaya atau berkeupayaan bekerja sebagai kaunselor dan ahli terapi.

2. Si Berani 

Si Berani boleh dikenal pasti melalui analisa pada jari telunjuk yang berkeupayaan dalam penyelesaian masalah. Ia mempunyai dua kategori berbeza iaitu Si Berani Berinisiatif dan Si Berani Yang Inovatif.

a). Si Berani Beinisiatif diwakili oleh jari telunjuk kanan. Kanak-kanak yang mempunyai bakat semula jadi dalam bidang ini lazimnya mempamerkan keupayaan yang menyokong pilihan kerjaya dalam bidang sains. Kerjaya sesuai dengan mereka adalah bidang teknologi maklumat, saintis, ahli antropologi atau penganalisa perniagaan.

b). Si Berani Yang Inovatif pula boleh dikenal pasti menggunakan jari telunjuk kiri. Mereka mempunyai keupayaan bekerja dalam satu kumpulan kreatif yang bebas melahirkan idea menarik. Kerjaya yang sesuai dengan mereka adalah bidang pembinaan seperti arkitek atau pereka hiasan dalaman, pengarah di dalam industri perfileman dan komposer.

3. Si Mahir

Boleh diwakili melalui analisa jari tengah. Ciri unik Si Mahir adalah berkeupayaan mengendali sistem atau program dengan cekap. Ia mempunyai dua kategori iaitu Si Mahir Teknikal dan Si Mahir Artistik.

a). Si Mahir Teknikal diwakili melalui jari tengah kanan yang dapat menjelaskan kejayaan mereka di dalam kerjaya sebagai pengurus operasi, juruteknik atau juruterbang.

b). Si Mahir Artistik mempunyai keupayaan bekerja dalam apa juga jenis kerjaya berhubung seni pergerakan badan dan membabitkan ketangkasan. Ia dapat ditentukan melalui imbasan jari tengah sebelah kiri dan pilihan kerjaya yang sesuai adalah atlet profesional, jurulatih, pereka seni tari, pelukis, doktor gigi, pakar bedah dan pakar estetik.

4. Si Fasih

Boleh dikenal pasti melalui imbasan jari manis yang berkeupayaan menyampaikan maklumat secara lisan mahupun bertulis dengan baik. Bidang kerjaya yang sesuai dengan mereka boleh dipastikan melalui imbasan jari manis di sebelah kiri dan kanan.

a). Si Fasih Bersistematik boleh dikesan menerusi jari manis kanan. Mereka mempunyai keupayaan mencapai kejayaan sebagai penyampai secara lisan, bertulis dalam cara berstruktur. Misalnya, kanak-kanak yang mempunyai mempunyai bakat semula jadi ini berpotensi dalam bidang politik, wartawan atau pembaca berita.

b). Si Fasih Yang Kreatif pula diketahui dengan menganalisa jari manis kiri. Mereka berpotensi menjadi pereka grafik, pengarah muzik atau cemerlang sebagai ejen publisiti bagi kumpulan pemasaran.

5. Si Pemerhati 

Boleh dilihat menerusi analisa jari kelengkeng. Ciri unik kanak-kanak di dalam kategori ini adalah mempunyai keupayaan memerhati fenomena sosial atau peristiwa di sekitarnya.

a). Si Pemerhati Rujukan diwakili oleh jari kelengkeng kanan. Seorang kanak-kanak dengan bakat semula jadi ini mempunyai keupayaan memerhati perubahan dalam trend atau inovasi yang berlaku di sekitarnya. Kerjaya yang sesuai dengan mereka adalah penganalisa fesyen.

b). Si Pemerhati Fenomena ini diwakili oleh jari kelengkeng kiri. Kanak-kanak ini mempunyai keupayaan memerhati fenomena sosial atau peristiwa di sekitarnya.

Potensi mereka dapat digilap dalam bidang sosiologi, boleh menjadi penganalisa atau pemerhati sosial. Sekiranya menceburi bidang penjagaan kesihatan, kanak-kanak ini akan menunjukkan prestasi baik dalam bidang perkhidmatan kesihatan awam sebagai penganalisis.

Untuk maklumat lanjut, layari www.smartmoments.com.my atau lawati laman Facebook Kelab Ibu Dutch Lady di www.facebook.com/DutchLady.SmartMoments.

Sumber:
Artikel 1 Oleh Hajahfarhana Tarmudi ~ HMetro [Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18]
Artikel 2: Oleh SUHANA VERU ~ Kosmo [Disirkan pada 18/01/2013]

5 comments:

Aishah Jahirah berkata...

canggihnya....dgn cap jari boleh analisis...tp xsemestinya tepatkan...

Chekgu Anitt berkata...

hehe..mcm2 skang
kalu yg kudung tgn, camne lak?

Aida Omar berkata...

peh macam2 teknologi sekarang eh.. 75% ketepatan.. tinggi jugak tu. Untuk bebudak je ke untuk mak budak tak de? hehehe.. :P

myfreeminded berkata...

Bagus jugak yek untuk tahu perkembangan anak2.. mungkin tak 100% tapi kalau sampai 75% tu kira ok lah kan, sedikit sebanyak boleh jugak membantu tu. :)

Joslay MJ berkata...

Sesuatu ciptaan tuhan pastinya padat dengan ilmu yg tersurat dan tersirat. Sedikit demi sedikit akan terungkai jika manusia rajin menggunakan akal fikiran yg dikurniakan.