Nuff Atas

03 Februari 2013

Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP)



Latar Belakang Taman Negara Tanjung Piai

Taman Negara Johor Tanjung Piai yang terletak di berhampiran Tanjung Piai di mukim Serkat, daerah Pontian, Johor merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Ia menyimpan pelbagai khazanah berharga alam semulajadi yang kaya dengan hutan, hidupan paya bakau serta flora dan fauna.

Dengan keluasan 926 hektar, Taman Negara Tanjung Piai menempatkan mercu tanda daratan penghujung di benua Asia, iaitu peta dunia yang dibina atas sebuah pelantar menghadap Selat Melaka. [Wikipedia]

Ia diluluskan sebagai taman negara pada 1997 sebelum diisytiharkan antara Tapak Ramsar Malaysia pada 31 Januari 2003, sebelum diwartakan menjadi Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004 membabitkan kawasan seluas 926 hektar.

Kira-kira 526 hektar daripada kawasan taman negara ini meliputi hutan bakau, manakala bakinya dataran berlumpur. Pelbagai spesies bakau boleh didapati di taman negara itu termasuk bakau minyak, tulen, kurap, lenggadai dan bakau putih, selain dihuni hidupan seperti ketam, belacak, kera dan lotong cikong.




Fenomena air pasang besar tarikan baru Tanjung Piai

Fenomena air pasang besar yang berlaku kebelakangan ini membawa daya tarikan bagi Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP).

Apabila fenomena ini berlaku, ramai penduduk Kampung Tanjung Piai, Pontian serta pelancong mengunjungi taman negara tersebut untuk melihat serta 'bermain' air di kawasan pintu masuk taman negara itu.

Berlaku hanya dua kali setahun di taman tersebut, fenomena yang dipanggil sebagai air pasang besar sangat mengujakan. Difahamkan, air di kawasan berkenaan naik sehingga ketinggian 3.5 meter dari paras tanah. Fenomena air pasang besar berkenaan dikatakan biasanya berlaku dua kali setahun iaitu pada awal dan penghujung tahun.

Dalam fenomena tersebut air laut mula naik secara mendadak menutupi permukaan tanah selut kira-kira pukul 11.30 pagi. Kejadian ini berlaku tiga hari ketika air pasang besar itu, dan ianya berjaya menarik ratusan pengunjung di sini. Malah, ada dalam kalangan pengunjung itu ada membawa pelampung bersama mereka ke daratan penghujung di benua Asia ini.

Terbaru fenomena air pasang besar berlaku pada pertengahan Disember 2012.

Ketua Kampung Tanjung Piai, Rohaizat Abdul Hamid berkata, kejadian seperti itu jarang berlaku, terutamanya pada hujung tahun, dan penduduk tempatan khususnya sememangnya menantikan berlakunya kejadian pasang besar ini.

Katanya, kebanyakan penduduk dari sekitar taman negara itu seperti Kampung Serkat dan Kampung Tanjung Piai, sedia maklum menge­nainya yang mana air akan memenuhi kawasan halaman masuk ke taman negara setinggi paras buku lali.

“Walaupun air pasang besar dikaitkan dengan air kotor, selain turut membawa sampah sarap, namun keadaan itu tidak berlaku di sini. Sebaliknya air laut yang mengalir di sini, bersih dan sejuk memandangkan terdapat paya bakau di sekelilingnya,” katanya.

Menurut Pengurus TNJTP, Khalid Zahrom, penduduk kampung memang menanti untuk bermain air ibarat di taman tema air bersama ahli keluarga seperti mana tahun-tahun sebelumnya apabila kejadian air pasang besar membawa air laut memenuhi halaman masuk ke taman negara setinggi paras buku lali.

"Kami membuka laluan masuk berasingan kepada para pelawat dan memaklumkan mereka mengenai kejadian air pasang itu. Bagi tempoh musim cuti kehadiran pelancong serta penduduk setempat cukup menggalakkan.

"Bagi yang pertama kali sampai ke sini, mereka seronok melihat orang ramai bermain air pasang yang mungkin tidak dapat dilihat di tempat lain. Biasanya orang menjauhkan diri tetapi kami memberi peluang bermain air dengan pengawasan," katanya


ORANG ramai yang mengunjungi Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian 'bermain air' di hadapan pintu masuk semasa air pasang besar.

Suasana Ketika Air Pasang Besar

Ketika air pasang besar, kelihatan beberapa kelibat haiwan seperti ular, ketam, monyet dan sebagainya yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat mula riuh-rendah menyelamatkan diri.

Monyet contohnya mula memanjat ke bahagian pokok yang lebih tinggi bagi mengelak daripada dihanyut air laut, manakala beberapa spesies burung mula berterbangan.

Suasana di kawasan pintu masuk Taman Negara Johor Tanjung Piai pula bertambah meriah dengan kehadiran penduduk setempat. Mereka yang telah dimaklumkan mengenai kejadian fenomena itu berkumpul bagi melihat sendiri proses perubahan alam itu.

Kawasan berkenaan dengan sekelip mata berubah menjadi seperti taman tema air mini apabila kanak-kanak berpesta bermain air yang mula melimpah keluar dari taman negara itu. Kanak-kanak begitu riang bermain air setinggi paras buku lali sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka.


AIR laut akan melimpah ke kawasan daratan dan tadahan sehingga menukarkan kawasan sekitar bak taman air mini. 

'Pesta Dua Jam' yang ditunggu-tunggu

Fenomena air pasang besar di Taman Negara Tanjung Piai, mengundang suasana pesta buat orang ramai dan penduduk tempatan untuk merasai keseronokannya bersama keluarga.

Sungguhpun kemeriahan hanya berlangsung sekitar dua jam ketika kemuncak air pasang bermula jam 12 tengah hari, namun ia sudah cukup menarik perhatian orang ramai menikmatinya, bagaikan berada di taman tema. Fenomena air pasar besar mula surut secara perlahan-lahan pada waktu tengah hari.

Menurut penduduk setempat, Che Halim Che Ismail, 52, air laut yang melimpah keluar dari taman itu akan mengalir ke arah anak sungai kecil yang terletak tidak jauh dari situ.


BEBERAPA orang kanak-kanak bermain air pasang besar yang melimpah hingga ke tangga untuk ke Dataran Pelanggan di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian.

Langkah keselamatan diambil

Sementara itu, Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kejadian itu dan telah menyediakan langkah keselamatan bagi pengunjung.

Katanya, pe­ngunjung yang hendak memasuki kawasan paya ba­kau di taman negara berkenaan, perlu melalui laluan terletak di sebelah pintu masuk utama di bahagian hadapan.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan yang lain turut dititikberatkan dan akan memaklumkan dari masa ke masa mengenai ketinggian air pasang di kawasan berkenaan.

“Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kali Taman Negara Tanjung Piai ini teruja melihat dan seronok melihat orang ramai bermain air pasang yang mungkin tidak dapat dilihat di mana-mana tempat di negara ini,” katanya.

Malah katanya, kehadiran pelancong dan penduduk tempatan di taman negara itu cukup menggalakkan bagi tempoh tersebut.

“Biasanya apabila berlakunya air pasang, orang ramai akan menjauhkan diri kerana bimbang akan keselamatan, tetapi kami memberikan peluang mereka untuk bermain dengan pengawasan ibu bapa,” katanya.


SEORANG pengunjung, Mohd. Zaidi Juwahir sedang berjalan di atas jambatan yang tenggelam ketika beliau sedang memancing ketika fenomena air pasang besar di Tanjung Piai.

Pengunjung seronok main air

Seorang pengunjung dari Sabah, Farah Mohd Raslim, 28, yang pertama kali menjejakkan kali ke Taman Negara Tanjung Piai yang cukup dikenali sebagai Penghujung Benua Asia ini, teruja dan seronok kerana dapat melihat pesta air pasang di sini.

“Ini adalah pengalaman pertama melihat orang ramai bermain air dan rasanya ianya perlu dijadikan tarikan baru kepada pelawat yang mahu datang ke taman negara ini,” katanya.

Siti Zubaidah Sharin, 29, berkata, kunjungannya ke taman negara ini bersama keluarga pada kali ini disifatkan sebagai ‘bertuah’ kerana dapat menyaksikan kejadian air pasang besar yang jarang berlaku.

Katanya, dia dan suami akan menjadi taman negara ini sebagai lokasi pilihan bersiar-siar bersama anak-anak pada masa lapang.

Sementara bagi Sudin Mohammad, 48, dia sememangnya sudah biasa dengan keadaan itu dan kesempatan itu digunakannya untuk bermain bersama anak-anak.

Seorang penduduk tempatan, Sudin Mohammad, 48, berkata, penduduk kampung memang biasa dengan keadaan seperti itu dan mengambil kesempatan bermain bersama anak-anak kerana kawasan Tanjung Piai tidak mempunyai pantai untuk mandi-manda.

Pengunjung dari kampung berhampiran dan pelancong luar mengunjungi taman negara terbabit untuk menyaksikan fenomena tersebut selain mengambil kesempatan bermain air deras yang melimpah ke halaman Dataran Pelanggan.

Seorang pengunjung, Julia Mustafa, 36, berkata, setiap tahun apabila berlaku fenomena terbabit, dia dan suami serta lima anaknya tidak melepaskan peluang berkunjung ke situ.

“Dahulu saya tidak berani datang atas faktor keselamatan tetapi sejak dataran ini dibina, saya lihat keselamatan anak-anak bermain air terjamin,” katanya.

Hakisan Di Tanjung Piai

Sejak 2003 hingga 2006, hakisan menyebabkan hutan bakau di taman negara itu berkurangan sebanyak purata dua meter setahun di beberapa bahagian, namun sejak 2007, keadaan itu semakin membimbangkan apabila berlaku peningkatan hakisan hingga mencapai tujuh meter setahun.

Pesisir pantai Taman Negara Tanjung Piai yang menjadi tanah penghujung benua Asia juga mengalami hakisan teruk apabila banyak pokok tumbang, manakala pondok dan laluan pejalan kaki mengalami kerosakan. Laluan pejalan kaki ke penghujung benua itu juga ditenggelami air akibat mendapan.

Difahamkan, apabila air surut, kawasan di Tanjung Piai berhampiran pokok bakau minyak tertua itu tidak dapat dimasuki dengan bot disebabkan kawasan itu semakin cetek.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula dikatakan merekodkan hakisan pada purata 12 meter di kawasan bakau taman negara itu setiap tahun.

Tinjauan mendapati, pokok bakau di kawasan terbabit cukup penting untuk bertindak sebagai zon pemampan daripada hakisan, ribut dan angin, mengurangkan kesan rumah hijau selain digunakan bagi pendidikan, penyelidikan dan rekreasi. Ia juga berfungsi sebagai pelindung dan penstabil ekologi ekosistem pulau.

Inisiatif perlu diambil bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan bakau. Tentunya tanpa tindakan dari sekarang, khazanah alam di Kukup itu serta keselamatan penduduk sekitar Tanjung Piai semakin terancam manakala taman negara itu sendiri hilang keunikan dan popularitinya sebagai ikon pelancongan Johor.

Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Khalid Zahrom, berkata sebelum ini hutan bakau tumbuh berdekatan pelantar menempatkan glob yang menunjukkan pengunjung berada di tanah paling selatan benua Asia, selain di jambatan Pusat Peranginan Tanjung Piai, namun kini tumbuhan itu sudah musnah akibat hakisan.

Hakisan dan Usaha Pemuliharaan

Khalid mengakui kejadian air pasang besar itu memberi kesan kepada TNJTP kerana setiap tahun akan kehilangan keluasan tanah disebabkan hakisan pantai yang kritikal, namun usaha bagi mengawal kejadian hakisan terus dijalankan termasuk dengan program penanaman pokok-pokok bakau.

Dalam pada itu, Pengurus Taman Negara Johor Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, fenomena itu memberi kesan terhadap kawasan Tanjung Piai kerana hakisan akan menyebabkan kehilangan keluasan tanah di situ.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, pelbagai usaha dijalankan pihaknya terutamanya menerusi program penanaman pokok bakau sebagai penahan semula jadi.

Pelbagai faktor menyebabkan hakisan itu, jelasnya termasuk air pasang besar yang berlaku dua kali dalam sebulan serta tempoh kritikal fenomena itu antara Oktober hingga Februari setiap tahun.

“Selain itu kesan alur air daripada pergerakan bilangan kapal yang semakin meningkat setiap tahun, hujan dan angin kuat turut menghakis tanah hutan bakau ini menyebabkan hutan bakau kian berkurangan saban tahun," katanya.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Abu Bakar Mohamed Salleh, berkata kerajaan menyalurkan dana bagi pemeliharaan bakau sedia ada termasuk meletakkan tiub-geo sepanjang 800 meter sepanjang pesisir kawasan bakau pada 2003 yang menelan kos RM1.9 juta, namun keadaan itu tidak berkesan untuk mendepani air pasang besar.

“Selain itu kerajaan membelanjakan RM8 juta pada 2009 untuk membuat benteng menggunakan batuan besar sepanjang kira-kira 600 meter serta tiub-geo sepanjang 600 meter di kawasan bakau taman negara berkenaan.

“Tanpanya, air masin akan melimpah sekali gus merosakkan tanah kebun penduduk di Tanjung Piai dan mampu menjejaskan keselamatan penduduk terutama berdekatan pesisir pantai," katanya.

Difahamkan, kajian terperinci juga belum dilakukan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi mengenalpasti jumlah hakisan sebenar di taman negara itu.

Jamaliah Mohd Ali, 65, yang menetap di Kampung Serkat dekat ini sejak dilahirkan, mengakui banyak perbezaan jelas kelihatan pada Tanjung Piai berbanding dulu termasuk keadaan hutan bakau yang semakin menipis berhampiran rumahnya.

Pulau Kukup mengecil setiap bulan


PULAU Kukup yang semakin mengecil.

Pulau Kukup dekat Tanjung Piai yang tercatat sebagai pulau kedua terbesar di dunia tidak berpenghuni, mungkin akan kehilangan gelaran itu akibat keluasannya yang semakin mengecil disebabkan hakisan pantai yang serius.

Kawasan hutan bakau di situ menyusut lebih 100 meter daripada keluasan sebenar sejak 10 tahun lalu. Malah, hakisan di pesisir pantainya makin ketara apabila air pasang besar, ombak besar kerana aktiviti perkapalan tidak terkawal dan kegiatan mencuri bakau.

Kajian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati berlaku hakisan kira-kira satu meter setiap bulan di kawasan pulau hutan bakau berkeluasan 647 hektar yang dikelilingi dataran lumpur seluas 800 hektar itu.

Hakisan serius itu juga menyebabkan sebatang pokok bakau Minyak (Rhizophora Apiculata) berusia lebih 100 tahun dan dipercayai terbesar di negara ini dengan garis pusat pada paras ketinggian dada 57.1 sentimeter (sm), mungkin tumbang beberapa bulan lagi disebabkan kedudukannya yang terletak kurang 20 meter dari kawasan hakisan.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim, mengakui terkejut melihat Pulau Kukup yang semakin terhakis, berbanding 10 tahun lalu apabila banyak kawasan yang sebelum ini hijau dengan pokok bakau kini diliputi air.

Katanya, pulau itu menempatkan lebih 38 spesies tumbuhan hutan paya bakau dengan nilai komersial tinggi seperti bakau minyak, kurap, berus, lenggadai, tumu merah, nyireh batu dan tengar berdepan, akan berkurangan jika tiada usaha menyelamatkan pulau itu daripada hakisan.


POKOK bakau yang mati akibat hakisan yang serius di Pulau Kukup.

"Pokok bakau Minyak yang dipercayai tertua di negara ini juga akan tumbang dalam tempoh 30 bulan lagi jika tiada usaha menyelamatkan khazanah itu kerana jarak yang terlalu dekat dengan kawasan hakisan.

“Pencemaran yang berpunca daripada tumpahan minyak disebabkan oleh kapal dagang ketika berlabuh di luar perairan Taman Negara Johor (TNJ) Tanjung Piai dan Pulau Kukup juga dikatakan punca kemusnahan hutan bakau yang semakin meluas sejak lima tahun lalu.

“Kita berharap satu kajian menyeluruh dilakukan pihak berkaitan bagi menyelamatkan Pulau Kukup yang turut diiktiraf sebagai Tapak Ramsar, iaitu tanah lembap yang ada kepentingan antarabangsa,” katanya.

Suhairi berkata, bagi kajian oleh UTHM, dana sebanyak RM300,000 diperlukan bagi membina cerucuk, batu penghadang hakisan dan jeti untuk menghalang pergerakan tanah di kawasan pokok bakau tertua itu.

"Tahun lalu hampir 2,000 bakau di kawasan seluas 20 hektar dekat Tanjung Piai musnah, manakala 3,000 lagi sekitar pantai Pulau Kukup berdepan masalah sama berpunca daripada kesilapan manusia dan fenomena alam.

“Jika tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan hakisan terus berlaku dan kawasan berhampiran pesisir pantai ditenggelami air. Kita harap ada pihak yang prihatin dapat menyediakan dana bagi menyelamatkan pokok tertua itu,” katanya.

Sumber:

Artikel 1 Oleh MUHAMMAD ZIKRI ~ Utusan [29/12/2012]
Artikel 2 Oleh RADIAH SAORI ~ Kosmo [15/12/2012]
Artikel 3 Oleh FAHAMI AHMAD ~ Kosmo [30/01/201]
Artikel 4 Oleh NOR AZURA MD AMIN ~ Sinar Harian [28/12/2011]
Artikel 5 Oleh Azida Shaharuddin dan Tamam Othman ~ BHarian [18/05/2011]
Artikel 6 ~ BHarian [08/03.2012]

2 comments:

myfreeminded berkata...

Banyak rupanya tempat yang agak menakjubkan di Tanah air kita Malaysia ni ye. Tergoda jugak untuk merasa sendiri pengalaman air pasang tu.

AMD berkata...

Tahun ni diorang siap buat festival lagi. Tadi kebetulan pergi tengok. Esok rasanya nak pegi tengok lagi hehe...