27 Februari 2013

Nilai Estetika Rumah Tradisional Melayu Klasik Sijangkang

Pada hari ini 27 Februari 2013, acara tahunan Hari Kraf Kebangsaan anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Sempena perlancaran Hari Kraf Kebangsaan ini, saya kongsikan artikel berkaitan kehebatan seni kraftangan yang tersimpan dan terdapat di dalam sebuah rumah klasik di Kampung Sijangkang.



Kampung Sijangkang yang terletak di Kuala Langat, Selangor mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam dari Kuala Lumpur.

Rumah kayu klasik milik seorang bekas seorang usahawan, Ahmad Ali, 50 terletak di Jalan Seri Tanjung, Sijangkang ini adalah rumah kayu yang popular di kampung tersebut. Rumah kayu berwarna coklat gelap itu tersergam indah di atas hamparan rumput yang menghijau.

Sebaik melangkah masuk rasa nyaman serta sejuk menyelubungi dan anda tentu akan merasa kagum tatkala melihat keunikan jubin lantai yang berwarna-warni diselangi kepingan papan dan batu sungai.


Setiap inci dalam rumah tersebut pasti mengingatkan seseorang pada ciri sebuah rumah kampung kerana selain reka bentuk, ia siap dengan kelengkapan dan barangan antik seperti kipas, suis lampu, penghias dinding dan lampu.


RUMAH ini seringkali menjadi tumpuan orang ramai kerana sarat dengan elemen tradisional.

Selain itu, keunikan ukiran dan bentuk kayu di bahagian dinding, atap, tingkap dan tangga nyata menyerlahkan keaslian rumah berkenaan. Kediaman yang diperbuat daripada kayu mempunyai keistimewaan dan nilai estetika yang tersendiri.


TANGGA belakang untuk memudahkan anak dara naik ke atas rumah.

Apatah lagi dikelilingi pohon-pohon yang menghijau di halaman rumah dan dihiburkan dengan kokokan ayam. Kedamaiannya meresap ke dalam hati. Ahmad memberitahu, dia terpanggil untuk mendirikan rumah tradisional itu kerana tidak mahu unsur-unsur Melayu lenyap begitu sahaja.

Hasrat untuk membina rumah kayu itu bermula selepas salah seorang rakannya yang berasal dari Perancis mengunjungi Malaysia. Warga Perancis itu meluahkan perasaan janggal kepada Ahmad selepas melihat sebuah lukisan rumah kayu tradisional yang tergantung di dinding.


HASIL ukiran kayu membangkitkan nostalgia.

"Dia bertanya kepada saya, kenapa sukar untuk melihat rumah kayu di ibu kota sedangkan ia melambangkan identiti orang Melayu," ujarnya yang terkesima dengan pandangan tersebut.

Anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu mula merancang untuk membina rumah kampung tradisional lalu membuat keputusan menjual kondominiumnya yang terletak di Shah Alam.

Daripada maklumat yang diperoleh daripada seorang rakannya, Ahmad kemudian membeli sebuah rumah kayu yang berusia 70 tahun di Teluk Intan, Perak yang bernilai RM2,000. Menurut Ahmad, rumah lama yang dibeli itu dirobohkan untuk dibina semula di Sijangkang menggunakan kayu sedia ada.


SEBAHAGIAN dinding di ruang tamu dihiasi dengan kelarai.

"Saya kitar semula kayu lama itu kerana ia lebih kering, tahan lama dan lebih keras kerana kayu baharu memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk kering," tutur bapa kepada tiga anak itu.

Bagaimanapun, hanya sebahagian kayu lama boleh digunakan, selebihnya menggunakan kayu baharu. Bagi membina istana idamannya, hampir 20 tan metrik kayu digunakan.

Antara jenis kayu yang digunakan ialah cengal dan resak kerana kualitinya yang tinggi. Menurut anak jati Tanjong Karang, Selangor itu pembinaan rumah tersebut mengambil masa selama empat tahun. Pembinaan rumah yang didirikan di atas tanah yang berkeluasan satu ekar (0.4 hektar) itu mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan kerja-kerja yang rumit selain memerlukan ketelitian yang tinggi.

Malah, sebahagian rumah tersebut didirikan tanpa paku selain sambungan tanggam iaitu kayu kecil untuk menampung binaan dan pasak.

Ilham kembara

Ahmad yang gemar melancong sentiasa mengambil kesempatan itu untuk mencari idea-idea baharu dengan mengunjungi kedai-kedai kayu.

"Saya akan berbincang dengan tukang kayu dan berkongsi idea-idea yang diperoleh sepanjang pengembaraan. Jika tiada masalah mereka akan membina mengikut cita rasa saya," katanya.

Menyentuh mengenai ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, kayu ukiran itu terdiri daripada kayu-kayu yang terpakai. Selain untuk tujuan hiasan, ia juga menggalakkan aliran udara dan cahaya ke dalam rumah.

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah. "Itu mungkin dulu," pintas Ahmad.


UKIRAN Asma Ul Husna menghiasi hiasan dalaman rumah Ahmad menjadi ciri-ciri yang menarik.

Tatkala melangkah masuk ke ruang tetamu yang terletak di atas tingkat itu kedengaran bunyi keriut papan lantai yang bergesel antara satu sama lain.

"Bunyi itu biasa bagi lantai kayu tetapi jangan khuatir kerana rumah ini mampu menampung lebih 100 orang," katanya sambil tersenyum.

Kepingan papan segi empat panjang yang berwarna merah dan hijau yang terletak di ruang tamu menarik perhatian mata yang memandang. Sangkaan penulis ia tulisan kaligrafi Cina tetapi ia sebenarnya ukiran nama-nama Allah.

"Saya beli ukiran ini pada harga RM12,000 di Changlun, Kedah kerana pembeli asalnya menghadapi masalah kewangan," jelasnya yang menyifatkan hiasan itu menarik perhatian sesiapa sahaja yang bertandang ke rumahnya. Ghairah bercerita tentang kepingan tulisan Asma Ul Husna itu, dia memberitahu 'istananya' itu turut mempunyai tiga tangga.

Berasa agak janggal dengan jumlah tangga itu, Ahmad menjelaskan, ia memudahkan anak dara naik ke atas rumah itu melalui laluan belakang.

"Seorang saudara terdekat menasihatkan supaya mendirikan tangga yang berselindung untuk memudahkan kaum wanita masuk ke rumah jika tetamu bertandang ke rumah," ungkapnya sambil memberitahu terdapat empat buah bilik di rumah tersebut.

Antara cabaran memiliki rumah kayu ialah serangan anai-anai dan haiwan pemusnah lain. Namun, Ahmad tidak menganggap ia sebagai satu cabaran sebaliknya menganggap ia merupakan fitrah alam.


PERALATAN elektrik lama seperti suis lampu ini menambah rasa nostalgia pada rumah kayu ini.

Kaedah semburan

"Manusia mempunyai otak dan teknologi, jadi kita perlu mencari ikhtiar untuk menyelesaikan sebarang masalah yang datang dalam kehidupan. Begitu juga dengan masalah anai ini," sambung Ahmad penuh falsafah.

Beliau hanya menggunakan kaedah semburan bagi menghapuskan perosak kayu itu selain melakukan pemerhatian berkala di kesemua sudut rumah. Selain masalah itu, jelas Ahmad, terdapat kesan kayu reput akibat hujan lebat.

Begitupun, tidak banyak kesan kebocoran. Dalam pada itu, dia memberitahu rumahnya juga sering kali menjadi pilihan ramai pengarah untuk penggambaran drama yang melibatkan suasana kampung dan sambutan hari raya.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka tahu tentang rumah saya ini. Namun, saya tidak pernah menolak permintaan mereka kerana memang sukar untuk mendapatkan rumah tradisional Melayu," katanya yang percaya setiap tetamu membawa rezeki yang berbeza-beza.

Walaupun telah menghabiskan ratusan ribu ringgit, dia mengakui puas memiliki rumah itu kerana beranggapan ia khazanah berharga yang tiada tolok bandingan.

Menyentuh tentang perancangan masa depan, beliau bercadang mendirikan chalet di kawasan kediamannya kepada sesiapa yang ingin meraikan majlis perkahwinan di rumahnya.

Sumber: Kosmo

2 comments:

cik jari manis berkata...

hmm suka tgok rumah tradisional tuu! rsa mcm nak pergi sna tengok sendiri dpn mata! geram! :)

Adam Haiqal berkata...

kadang kala benda estetika ni la lagi berharga daripada rumah yang harganya mencecah jutaan ringgit.. kalau tak percaya, tunggu tahun 2020 nanti. rumah estetika camni kalau dijual mungkin mencecah jutaan!:)