04 Februari 2013

Rawat Rhinitis Alergi Dengan Berkesan


MASALAH rinitis alergi mengganggu kualiti hidup seharian si penghidapnya. - Gambar hiasan

DIANGGARKAN hampir 1.4 bilion orang di seluruh dunia menghidap gangguan alergi. Statistik tersebut semakin meningkat hingga menjadikannya salah satu masalah perubatan kronik yang paling lazim berlaku di dunia.

Dalam perkembangan lain, kes rhinitis alergi di rantau Asia Pasifik juga telah banyak meningkat dalam tempoh 10 tahun lalu.

Rhinitis merupakan sejenis penyakit yang sering berlaku dan menjejaskan kira-kira 40 peratus penduduk Malaysia.

Berdasarkan angka tersebut, alergi adalah punca utama rhinitis dalam kalangan kanak-kanak dan golongan pertengahan usia iaitu sebanyak 80 peratus.


"Walau bagaimanapun, dalam kalangan pesakit yang lebih berumur, hampir separuh daripadanya menghidap rhinitis alergi, manakala selebihnya mengalami gangguan bukan alergi.

"Ada dua jenis rhinitis alergi yang utama iaitu simptom dari semasa ke semasa dan simptom berlarutan," kata Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Profesor Dr. Prepageran Narayanan.

Tambahnya, rhinitis alergi dari semasa ke semasa berlaku kurang daripada empat hari seminggu atau kurang daripada empat minggu berturut-turut.

Bagi rhinitis alergi berlarutan pula, ia berlaku lebih daripada empat hari seminggu selama lebih empat minggu berturut-turut.

Alergen yang paling lazim menyebabkan rhinitis alergi dari semasa ke semasa ialah alergen di luar rumah seperti kulat, pokok, rumput atau debunga rumpai, manakala rhinitis alergi berlarutan disebablan oleh alergen di dalam rumah seperti haiwan peliharaan, tungau habuk, najis lipas, bulu haiwan atau kulat di dalam rumah.

"Apabila antigen ditemui, sistem imun pesakit rhinitis alergi akan menghasilkan histamina lalu menyebabkan timbulnya simptom-simptom alergi.

"Menurut suatu kaji selidik yang dijalankan antara tahun 2009 hingga 2010 di lapan buah negara Asia Pasifik, daripada 491 kediaman yang ditinjau di Malaysia, 41 peratus kanak-kanak menghidap rhinitis alergi bermusim manakala 48 peratus menghidap rinitis alergi perenial," ujarnya pada majlis pelancaran Aerius D-12 oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa, MSD.

Dalam kaji selidik yang sama, kebanyakan peserta menyatakan bahawa rhinitis alergi menjejaskan mutu hidup mereka dan menyebabkan kemerosotan prestasi sekolah, prestasi kerja dan produktiviti mereka terutamanya apabila simptom-simptom rhinitis alergi mencapai tahap paling teruk.



Mutu hidup terjejas

Produktiviti dan mutu hidup juga mungkin terjejas apabila pesakit rhinitis alergi cuba merawat diri sendiri dan mengambil ubat atau bahan antihistamina yang menjejaskan tidur.

"Mendapatkan rawatan dan diagnosis yang betul sangat penting. Apabila rhinitis alergi dapat dibezakan daripada influenza biasa dengan tepat dan diuruskan dengan berkesan, pesakit boleh meneruskan aktiviti harian mereka dengan gangguan minimum.

"Kami harap pesakit tidak akan menggunakan ubat selesema yang dipilihnya sendiri apabila mereka menghidap Rhinitis Alergi. Jumpalah doktor untuk mendapatkan diagnosis dan ubat yang betul supaya simptom rinitis alergi dapat dikawal. Pada masa yang sama, mutu hidup dapat dipelihara," pesannya.

Aerius D-12 dapat memberi kelegaan kepada penghidap rinitis alergi dengan gabungan terbaharu antihistamina dengan rawatan hidung tersumbat yang tidak menyebabkan rasa mengantuk.

Dwicirinya yang unik merawat simptom alahan seperti hidung tersumbat, gatal-gatal, bersin dan mata berair yang berlaku sama ada dari semasa ke semasa atau sepanjang tahun.

Dalam pada itu, bagi mengatasi masalah kurang faham tentang rinitis alergi, MSD bersama Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia melancarkan kempen Hentikan Bersin, Hapuskan Gatal.

Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang sifat dan simptom rhinitis alergi serta perlunya berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul.

Pendidikan dan kesedaran orang awam amat penting kerana kesan rhinitis alergi mungkin sangat besar terhadap mutu hidup dan ini boleh menjejaskan produktiviti lalu meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi.

Klinik-klinik yang menyertai kempen tersebut akan dibekalkan dengan bahan pendidikan seperti risalah dan poster untuk menyampaikan mesej tentang rawatan yang paling sesuai bagi rhinitis alergi.

Oleh NURUL IZZA ROSLY
Sumber: Kosmo

5 comments:

mira_nas berkata...

macam resdung ke?

Kak Mahh berkata...

Bahaya penyakit ni...

MyFreeMinded berkata...

Tak sama ke dengan resdung?

Saya memang alergik habuk dan suasana sejuk, both akan menyebabkan saya bersin dan seakan2 selsema. seksanya rasa...

teha berkata...

scary jee.. haishhh

Nur_Hasfiza berkata...

Memang scary.....tak dapat tidur yang berkualiti