Nuff Atas

09 Mac 2013

Bebaskan Diri Daripada Mentaliti Kelas Ketiga



MASYARAKAT negara ini masih rendah kesedaran mereka tentang tanggungjawab menguruskan kebersihan.

MENTALITI kelas ketiga di sini ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap paling maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju serta bertamadun.

Sekali imbas, ia mampu memberikan satu perbandingan yang mudah berlaku di dalam fenomena alam sekeliling iaitu umpama ``memberi sekumpulan monyet dengan sejambak bunga yang wangi''.

Si monyet pada asasnya hanya dapat mencium keharuman bunga itu tetapi selepas mencium, bunga yang masih berbau keharumannya itu ditinggalkan begitu sahaja.


Kisah monyet dan bunga di atas sebenarnya berlaku di dalam realiti orang Melayu di negara ini.

Kita juga seperti monyet yang hanya pandai mencium bau kemajuan, menyentuh pembangunan dan melihat keindahan teknologi terkini, tetapi semuanya itu tidak bermakna kerana ia bukan milik kita, semuanya milik orang lain sehingga pada satu-satu masa kita hanya dapat menumpang nama di sebalik kemajuan orang lain.

Akhirnya, perubahan sosial dan pembangunan yang berlaku di sekeliling kita tidak kelihatan bermakna, sebagaimana hal si monyet yang membuang bunga masih harum.

Tabiat Buruk Mentaliti Kelas Ketiga

PERNAHKAH ketika anda sedang memandu, melihat sampah ‘terbang’ keluar dari kereta di hadapan? Atau ketika anda lalu di bawah kawasan rumah flat tiba-tiba kelihatan bungkusan sampah dicampak dari atas?

Lihat sahaja kenderaan melanggar peraturan lampu isyarat, berhenti di petak kuning dan pemandu yang sihat menguasai lot letak kereta yang disedia khas untuk pemandu kurang upaya. Banyak lagi senarai tabiat buruk kebanyakan rakyat Malaysia itu yang kita boleh lihat dan ianya masih tetap berterusan.

Selepas melakukan semua perilaku yang menyakitkan hati itu, rakyat Malaysia yang berkenaan masih mampu menyalahkan orang lain. Ia seolah-olah bukan masalah mereka sebaliknya masalah orang lain.

Keadaan kotor di kawasan tertentu dipersalahkan kepada pihak berkuasa tempatan, jenayah di kawasan kejiranan dipersalahkan kepada polis, tandas awam yang kotor dipersalahkan kepada pemilik premis dan begitulah kesalahan terus ditujukan kepada pihak lain.

Sikap mementingkan diri dengan pendekatan tidak apa terhadap kebersihan awam meningkatkan budaya pengotor dalam kalangan masyarakat. Ini jelas menggambarkan mentaliti kelas ketiga yang masih diamalkan kebanyakan masyarakat Malaysia.

Persekitaran kotor

Lihat sahaja di taman-taman rekreasi, di tepi jalan, di dalam longkang, di dalam tandas awam mahupun di dalam lif, ada sahaja sampah daripada sekecil-kecil puntung rokok, plastik bungkusan gula-gula, hingga yang lebih besar seperti polistirena, plastik barang dan tidak ketinggalan lampin pakai buang bayi.

Pengalaman itu dikongsi Ruzilah Kamarudin, 51, yang pernah tinggal lima tahun di kawasan flat kos rendah di ibu negara.

Selain berhadapan masalah berebut tempat letak kereta, paling kritikal sepanjang menyewa di kawasan perumahan itu ialah masalah sampah, katanya.

Di mana-mana akan terlihat sampah. Di tepi lif, dalam longkang, di tangga, di tempat letak kereta, tempat letak motosikal, kawasan laluan pejalan kaki, memberi pandangan yang cukup menjelekkan selain bau yang menyesakkan.

“Kalau nak letak kereta kena berhati-hati sebab selalu terkena sampah yang dibuang dari celah tingkap rumah. Kadang-kadang kuah sisa makanan pun dicampakkan ke bawah. Ada juga yang ambil jalan mudah dengan melonggokkan sampah di tangga sampai berulat sedangkan tempat kemudahan pembuangan sampah disediakan di bawah flat,” katanya.

Dalam pemikiran simplistik mereka, tugas membersihkan kawasan sekitar ialah tanggungjawab pihak penyelenggara yang telah dibayar oleh penduduk setiap bulan.


BANYAK tapak parkir untuk kenderaan orang kelainan upaya telah disediakan di negara ini, namun ia sering disalah guna. - Gambar hiasan

Moral rendah

Moral rendah yang ditunjukkan bukan sahaja dalam hal membuang sampah tetapi boleh dilihat dalam perkara lain. Contoh mudah jika pergi ke pasar raya. Berapa ramaikah yang meletakkan troli yang telah digunakan ke tempat asalnya? Boleh dikira dengan jari. Kebanyakan meninggalkannya begitu sahaja di tempat letak kereta sehingga menghalang laluan kenderaan lain.

Alasannya cukup mudah, pekerja pasar raya itu telah dibayar gaji untuk melakukan tugas tersebut.

Begitu juga ketika berada di jalan raya. Peraturan-peraturan jalan raya, seperti memandu mengikut had laju yang ditetapkan, tidak memotong garisan atau memakai tali pinggang hanya dilakukan sekiranya terlihat penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan berada di tepi jalan. Ia dilakukan semata-mata kerana takut disaman.

Paling tidak boleh diterima akal adalah apabila ada yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU), menurut Wazia Wahid, 36.

Ujarnya, banyak kali perkara tersebut berlaku terutamanya di pusat beli-belah sedangkan telah tertera tanda yang menunjukkan tempat letak kereta itu dikhaskan untuk OKU.

“Tanpa rasa bersalah, keluar dari kereta dan boleh menjawab telefon lagi. Nampak sangat orang itu cacat pemikirannya,” tegasnya.

Malas Bekerja

Belum lagi sikap malas bekerja, suka mengambil sikap sambil lewa, leka dengan hiburan yang membuktikan masyarakat masih terperangkap dalam minda kelas ketiga.

Menurut Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din, mentaliti kelas ketiga ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju dan bertamadun.

Ini merangkumi tiga perkara iaitu aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang apabila dicantum kesemuanya menunjukkan prestasi moral dan tingkah laku yang rendah.

"Tidak dinafikan pemikiran masyarakat kita masih lagi rendah, penuh dengan ego, susah untuk menerima pendangan orang lain dan menerima realiti.

"Sebaliknya lebih suka kepada fitnah, tidak telus dan terbuka serta tidak boleh menerima fakta yang betul," katanya kepada Bernama.

Mesti ubah sikap

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika melancarkan Rancangan Malaysia Kesembilan pada 2006, merumuskan bahawa rakyat Malaysia, secara amnya, sebagai satu kumpulan yang dilengkapi infrastruktur kelas pertama, tetapi masih berada di takuk lama dengan daya fikir atau mentaliti kelas ketiga.

Jika Malaysia mahu mencapai sebagai negara maju pada tahun 2020, rakyat mesti mengubah sikap dan pemikiran yang diselarikan dengan kesedaran kendiri agar mampu menghadapi sebarang perubahan serta mudah menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran, menurut Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof. Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din.

Mentaliti kelas ketiga ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju dan bertamadun.

Ia merangkumi tiga perkara iaitu aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang apabila dicantum kesemuanya menunjukkan prestasi moral dan tingkah laku yang rendah.

“Tidak dinafikan pemikiran masyarakat kita masih lagi rendah, penuh dengan ego, susah untuk menerima pandangan orang lain dan menerima realiti. Sebaliknya lebih suka kepada fitnah, tidak telus dan terbuka serta tidak boleh menerima fakta yang betul,” katanya.

Menghargai Pembangunan

Pelbagai gejala negatif telah meracuni sikap dan pemikiran anak muda Melayu seperti penyalahgunaan dadah, ghairah dengan budaya konsert, pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan salah laku akhlak.

Berdasarkan petunjuk Ibnu Khaldun (1322-1406), ahli sejarah Islam yang mengkaji teori jatuh dan bangunnya sesebuah bangsa, generasi kedua merupakan kelompok yang akan menikmati usaha dan pengorbanan generasi pertama dalam membentuk serta membangunkan masyarakat atau bangsanya.

Halangan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi kedua kelak bukan setanding dengan ujian pernah dilalui oleh generasi pertama pada awal pembentukan bangsa. Dalam era generasi kedua inilah selalunya, menurut Ibnu Khaldun, semangat setia kawan mula menjadi kendur dan pudar.

Generasi muda hari ini merupakan generasi pewaris dan pembentuk kepada generasi masyarakat maju di masa akan datang. Kita adalah acuan kepada generasi akan datang.

Justeru, setiap individu harus lebih peka dengan persekitaran kehidupan serta masalah yang sedang menimpa masyarakat kita hari ini. Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk mengubah serta membentuk sikap dan budaya berfikir ke arah yang lebih positif.

Sumber:
Artikel 1 daripada Kosmo [04/03/2013]
Artikel 2 Oleh RAHMAT HIDAYAT SABARI, daripada Utusan [16/03/2005]
Artikel 3 daripada Utusan [08/03/2013]

3 comments:

MyFreeMinded berkata...

Tidak boleh dinafikan sememangnya ia berlaku. Baru tengok semalam sampah melayang dari kereta yang cantik dan gah, tapi malang tuan empunya tidak mempunyai akal se gah dan kehebatan kereta yang dipandunya.

Sura Mohd berkata...

memang masih ramai yg mempunyai mentaliti kelas ketiga ni..nak2 lg bab sampah...bukannya nk letak kt tempat yg sepatutnya..sakit hati seyy..

Mohd Ridzwan Abdullah berkata...

Ramai yg terlepas pandang dan masih terikut-ikut dgn tabiat buruk yg sejak dulu lg org buat. Kita yg celik ni patut mulakan dgn contoh yg baik bermula dgn diri kita, kemudian org yg terdekat spt anak, isteri atau kaum keluarga...kemudian barulah akan merebak kepada yang lain. Amalkan secara berperingkat tetapi berterusan misalnya cara membuang sampah yg sebaiknya.