08 April 2013

Detik Penentuan Melalui Pilihan Raya Umum


Orang ramai beratur untuk membuang undi pada pilihan raya umum keempat pada Ogos 1974.

KEHANGATAN Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin terasa. Proses pemilihan kerajaan yang diadakan setiap lima tahun itu menjadi topik utama hampir di setiap dada akhbar.

Topik berkenaan juga sering menjadi perbualan hangat di kedai-kedai kopi dan menjadi perdebatan antara penyokong parti-parti politik di laman internet.

Apa pun, bukan sekadar ahli-ahli politik, khususnya calon yang bakal bertanding, tetapi rakyat juga sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab yang hanya ditunaikan setiap lima tahun iaitu mengundi pada pilihan raya.

Menyingkap semula sejarah pilihan raya di negara ini, pilihan raya umum (PRU) pertama negara berlangsung pada 1959 yang mana sebanyak 104 kerusi Parlimen telah dipertandingkan.


Daripada jumlah tersebut, 74 kerusi telah dimenangi oleh Parti Perikatan iaitu UMNO, MCA dan MIC yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional (BN).

Sejak dilangsungkan kali pertama pada 1959, 12 PRU telah diadakan sehingga ke hari ini. Jumlah kerusi Parlimen juga berkembang menjadikan keseluruhan 222 kerusi, manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula sebanyak 505 kerusi.

Sekadar maklumat umum, dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk sesuatu bahagian pilihan raya pada peringkat Parlimen atau DUN.

Sistem pilihan raya

Di Malaysia, sistem pilihan raya diuruskan oleh sebuah organisasi bebas iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Suruhanjaya berkenaan yang akan memastikan segala urusan pilihan raya termasuklah pendaftaran pemilih sehinggalah ke hari pengundian berjalan dengan lancar.

Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat (Parlimen) dan DUN, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali dalam tempoh lima tahun kecuali berlaku situasi dewan dibubarkan lebih awal.

Apabila pembubaran Parlimen berlaku, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut.

Selain itu, dalam sistem pilihan raya di Malaysia, wujud juga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sekiranya wakil rakyat di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN meninggal dunia, meletak jawatan atau hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh SPR.

Sistem pilihan raya di negara ini tertakluk kepada beberapa perkara termasuklah calon yang layak bertanding dan pengundi yang layak mengundi.

Kriteria menjadi calon pada pilihan raya terbahagi kepada kerusi Parlimen dan DUN. Bagi kawasan Parlimen, antara ciri penting yang perlu ada pada setiap calon ialah warganegara Malaysia; berusia 21 tahun ke atas pada hari penamaan calon; bermastautin di Malaysia dan bukan seorang yang muflis serta memegang jawatan berpendapatan (khususnya pegawai kerajaan).

Bagi kawasan DUN pula, syarat kelayakan hampir menyerupai kawasan Parlimen, cuma perbezaannya ialah calon perlu bermastautin di negeri yang ditandingi.

Rakyat yang mengundi juga ditetapkan beberapa syarat. Antara syarat yang ditetapkan bagi membolehkan seseorang itu mengundi ialah merupakan warganegara Malaysia, telah mencapai usia 21 tahun, bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan dan tidak dihalang atau hilang kelayakan oleh undang-undang.



Pengundian

Daripada aspek pengundian pula, terbahagi kepada tiga jenis iaitu pengundian biasa melibatkan pemilih-pemilih biasa yang akan mengundi pada hari ditetapkan sebagai hari mengundi.

Satu lagi ialah pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta anggota polis dan pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pengundian pos pula melibatkan pengundi tidak hadir yang terdiri daripada angkatan tentera dan pasangannya, anggota polis serta pasangan PGA yang terpaksa menjalankan tugas operasi pada hari mengundi, pelajar di luar negara dan pasangannya serta kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya.

Pengundi-pengundi lain yang dibenarkan mengundi secara pos ialah petugas pilihan raya, ahli panel, pegawai dan kakitangan SPR serta mana-mana kategori yang ditetapkan oleh SPR layak untuk mengundi secara pos melalui pewartaan termasuklah terbaru untuk golongan petugas media yang bertugas pada hari pengundian.

Pengundian awal akan diadakan kira-kira dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian biasa.

Kertas-kertas undi yang telah ditanda akan disimpan dengan selamat dan dibuka untuk pengiraan pada pukul 5 petang pada hari pengundian sebenar.

Pengundian pos juga diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi dicetak dan pengundi perlu mengemukakan kertas undi tersebut yang telah ditanda ke pejabat pegawai pengurus selewat-selewatnya pada pukul 5 petang pada hari mengundi.

PRU-13 disifatkan oleh kebanyakan pemerhati politik tanah air sebagai pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara.

Pertembungan antara parti pemerintah iaitu BN yang dianggotai oleh parti komponen antaranya UMNO, MCA, MIC, PPP serta beberapa parti lain akan berhadapan dengan pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP dijangka berlangsung sengit.

Pokok pangkalnya terletak pada tangan rakyat sendiri yang akan keluar melaksanakan tanggungjawab pada hari pengundian.

Ketika itu, rakyat perlu bijak memilih calon serta parti yang diyakini mampu terus membawa kemakmuran, kesepaduan dan kemajuan kepada negara.

Oleh SYUKRI SHAARI
Sumber: Utusan

p/s: Walau apa pun parti pilihan anda pastikan ia adalah parti yang tidak membawa kerugian kepada agama yang kita anuti iaitu agama islam. Pilihlah parti yang memartabatkan syariat islam, membawa kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, mendapat rahmat dan keampunan Allah  serta diredhai Allah.

Selamat Mengundi ...

2 comments:

Mizz Aiza berkata...

setiap rakyat malaysia yang bertanggungjawab wajib keluar mengundi.. kita yang akan menentukan siapa yang akan menerajui Malaysia..

MyFreeMinded berkata...

gambar tu diambil di tahun kelahiran saya... hehehe