07 April 2013

Lebih 10 Elemen Baharu Dilaksana Pada PRU13



Empat peraturan baharu adalah antara pelbagai penambahbaikan yang akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi memastikan ketelusan dalam proses pengundian.

Empat peraturan baharu itu ialah penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kelainan upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Peraturan-peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan) 2012.


Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat julung-julung kali memperkenalkan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangannya, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan serta anggota polis yang tidak dapat mengundi pada hari sebenar.

Penguatkuasaan peraturan itu melibatkan 273,819 pengundi yang terbahagi kepada 163,017 dari pihak tentera manakala baki 110,802 dari pihak polis.

Selain anggota pasukan keselamatan, rakyat Malaysia di luar negara yang memenuhi syarat ditetapkan juga buat pertama kali dibenarkan mengundi awal melalui kaedah undi pos.

Tiga syarat itu adalah mereka mestilah merupakan pemilih berdaftar dan pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan di Indonesia pula tidak layak menggunakan kemudahan itu, dan perlu pulang mengundi di tanah air.

Menjelaskan kewajaran syarat-syarat tersebut, pihak SPR dalam satu kenyataan berkata ia bagi menunjukkan terdapat hubungan yang jelas antara warganegara Malaysia dan tanah airnya.

SPR juga bersetuju untuk memansuhkan proses bantahan dan tempoh penarikan balik pencalonan pada hari penamaan calon bagi memudahkan lagi proses pada hari tersebut tanpa melibatkan bantahan yang tidak munasabah.

Dengan pindaan ini, maka tempoh untuk SPR mencetak kertas undi menjadi lebih cepat kerana tidak perlu menunggu ‘tempoh bertenang’ selama tiga hari seperti yang diamalkan sebelum ini.

Dalam pada itu, OKU juga dibenar menamakan orang yang dipercayai untuk membantu mereka menjalankan tanggungjawab membuang undi, dengan syarat pihak yang dinamakan itu adalah seorang warganegara berumur 21 tahun dan ke atas namun tidak semestinya berdaftar sebagai pemilih.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk mengundi pos.

Pemilih berdaftar lain yang layak memohon undi pos ialah anggota SPR, seseorang yang diakui sebagai pegawai atau petugas SPR, anggota polis atau tentera yang bertugas pada hari mengundi awal.

Sementara itu, sebanyak 16 badan bukan kerajaan (NGO) turut dilantik sebagai pemerhati bagi memantau perjalanan proses pilihan raya di seluruh negara tahun ini, iaitu lima di Semenanjung, lapan di Sarawak dan tiga di Sabah.

SPR dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan juga bersedia memberi akses yang saksama kepada semua parti politik yang bertanding pada PRU-13.

Setiap parti politik akan diberikan tempoh waktu bersiaran tertentu untuk menyiarkan manifesto parti masing-masing.

Berikut adalah elemen-elemen baharu lain yang dilaksanakan pada PRU-13:

- Tempoh berkempen tidak kurang 10 hari.
- Kedudukan wakil-wakil calon dalam bilik mengundi diubah suai
   untuk melihat pengundi masuk ke tempat mengundi dengan jelas.
- Tempoh pameran Rang Daftar Pemilih dipanjangkan dari tujuh ke 14 hari.
- Portal PRU-13 (www.pru13.gov.my) diwujudkan untuk memberi maklumat terkini kepada rakyat.
- SPR tidak menyediakan khemah untuk penyokong parti yang datang pada hari penamaan calon.

Sumber: Bernama, Juga Tersiar Di: Kosmo [03/04/2013]

PRU-13: Infografik fakta mengenai undi pos

BERIKUT fakta-fakta mengenai undi pos yang digariskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR):

* Pada PRU-13, undi pos hanya dibenarkan kepada petugas media, anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas mengawal sempadan dan pulau serta pengundi berdaftar di luar negara.
* Pengundi pos yang layak akan dikira sebagai pengundi tidak hadir seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
* Pengundi pos akan membuang undi di satu tempat dua atau tiga hari sebelum pengundian awam bermula.

Sumber: Utusan

PRU-13: Infografik penggunaan dakwat kekal

BERIKUT infografik berhubung penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13):

* SPR pada 2012 umum penggunaan dakwat kekal untuk dicalitkan pada jari dalam PRU-13
   untuk elak manipulasi dan sabotaj.
* Dua jenis dakwat kekal yang berbeza digunakan.
* Dakwat ditempah hampir dengan tarikh pilihan raya
   kerana tempoh luputnya hanya dalam masa enam bulan.
* Dakwat kekal dibekalkan oleh syarikat luar negara
   memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk disiapkan.

* Pengundi boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang membawa hukuman denda RM1,000 dan penjara sekiranya menimbulkan kekecohan pada hari pengundian termasuk enggan membenarkan jarinya dicalit dengan dakwat kekal.
* Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengesahkan dakwat kekal yang akan digunakan pada PRU-13 tidak mengandungi bahan najis yang menyalahi syarak.
* Jari telunjuk kiri pengundi akan dicalitkan dakwat kekal sebelum proses membuang undi.

Sumber: Utusan

PRU-13: Proses pilihan raya sejurus Parlimen dibubar

BERIKUT proses yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan, sejurus Parlimen dibubarkan:

1. SPR mengumumkan tarikh pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari
2. SPR mengumumkan tarikh penamaan calon
3. SPR mengumumkan tarikh pembuangan undi
4. SPR mengumumkan tempoh berkempen
5. SPR membawa kertas-kertas undi ke pusat pengiraan undi
6. SPR melakukan proses pengiraan undi
7. SPR mengumumkan keputusan pilihan raya
8. SPR mengumumkan pembentukan kerajaan negeri dan pusat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding

Sumber: Utusan

3 comments:

adarain berkata...

Sebenarnya tak sabar nak tggu keputusan parti mana yang akan menang..haha

Unknown berkata...

tak sabar nak tau aku pasni nak kene gundi kat mane..pestime tau ...

Unknown berkata...

ok la ada perubahan...