Nuff Atas

10 April 2013

Proses Bantahan Pada Hari Penamaan Calon Dimansuhkan


Senarai calon bertanding boleh didapati melalui portal rasmi PRU-13 iaitu http://www.pru13.gov.my.

Tiada menang percuma

Buat kali pertama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses bantahan pada hari penamaan calon serta penarikan balik pencalonan pada PRU-13 bagi melancarkan lagi proses pilihan raya.

Justeru, PRU-13 tidak akan menyaksikan ‘kemenangan percuma’ seseorang calon berikutan kertas pencalonannya ditolak atas sebab teknikal pada hari penamaan calon hasil bantahan sesetengah pihak, biasanya parti lawan kepada calon itu.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata pemansuhan yang berkuat kuasa 30 April 2012 lalu itu sekali gus dapat menjimatkan masa dan melicinkan proses penamaan calon di seluruh negara yang dijangka selesai selewat-lewatnya jam 11 pagi.


“SPR akan mengemas kini data semua senarai calon yang bertanding dalam portal rasmi PRU-13 dari semasa ke semasa sebaik saja menerima senarai penamaan calon daripada Pegawai Pengurus setiap kawasan.

“Berikutan itu, diharap tidak ada lagi penyokong calon, yang menunggu di luar pusat penamaan calon sehingga jam 12 tengah hari kerana peruntukan undang-undang itu (berkaitan bantahan) sudah dimansuhkan,” katanya.

Pusat penamaan calon

Beliau berkata, pusat penamaan calon biasanya ditetapkan di pejabat daerah, majlis perbandaran, majlis daerah, dewan orang ramai, bangunan sekolah atau tempat tertentu, yang difikirkan sesuai oleh SPR.

“Ia dibuka bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi. Jika seorang calon membawa kertas penamaan calon pada jam 9.58 pagi sekali pun, iaitu dua minit lagi sebelum jam 10 pagi, kertas penamaan calon tetap boleh diterima dengan syarat sebelum jam 10 pagi.

“Pegawai pengurus akan membuat semakan sambil dibantu penolongnya, yang biasanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit,” katanya.

Boleh tarik diri

Mengulas lanjut, beliau berkata kertas penamaan calon hanya boleh ditarik balik sebelum jam 10 pagi pada hari penamaan dengan syarat calon perlu hadir sendiri dan menggunakan borang khas, yang ditandatangani calon serta saksi.

Dalam pada itu beliau berkata segala maklumat mengenai senarai calon bertanding boleh didapati melalui portal rasmi PRU-13 iaitu http://www.pru13.gov.my.

Oleh Suhaila Shahrul Annuar
Sumber: BHarian [2013/04/09]

2 comments:

caliph shuriken berkata...

nice sharing info...

MyFreeMinded berkata...

Bagus gak ni, tak yah bantah2.. sapa nak bertanding pergi ajelah daftar dan bayar... hahaha..