09 April 2013

Masyarakat Matang Dalam Demokrasi



Sudah lebih lima dekad sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan diamalkan secara aman dan tertib sehingga mampu menjadi asas kestabilan dan kemakmuran nasional yang dinikmati rakyat selama ini.

Pertukaran kerajaan di beberapa negeri mengikut mandat yang diberi rakyat membuktikan integriti proses pilihan raya negara adalah berwibawa, adil dan telus sejak pilihan raya umum pertama pasca Merdeka lagi pada 1959.

Hakikat ini juga menunjukkan kuasa mutlak untuk memilih kerajaan tetap berada di tangan rakyat apabila proses demokrasi berjalan dengan aman dan keputusannya dihormati semua pihak. [BHarian]


Sejarah Awal Pilihan Raya Di Malaysia

Pilihan raya adalah elemen penting dalam sistem demokrasi. Asas pilihan raya adalah untuk membentuk kerajaan serta pengisian kemerdekaan sesebuah negara. Pilihan raya memberikan peluang kepada rakyat sesebuah negara untuk memilih pemimpin yang pada pendapat mereka boleh menjaga kepentingan rakyat dan maruah negara.

Dari segi sejarah, peruntukan untuk mengadakan pilihan raya termaktub dalam Perjanjian Persekutuan 1948 yang telah menjanjikan pilihan raya kepada Tanah Melayu pada waktu itu yang masih lagi berada di bawah penjajahan British.

Pilihan raya paling awal pernah diadakan ialah pilihan raya pada peringkat perbandaran. Ia diadakan selepas Akta Majlis Berkuasa Tempatan diluluskan pada akhir 1950. Pilihan Raya Bandaran 1951 diadakan buat kali pertama di Pulau Pinang. Pilihan raya itu dikatakan suatu tindakan awal oleh pihak British untuk menyerahkan kuasa dan kerajaan sendiri kepada Tanah Melayu secara berperingkat-peringkat.

Pilihan raya peringkat bandaran itu juga diibaratkan sebagai landasan untuk memberi pengalaman berpolitik kepada seluruh penduduk Tanah Melayu sebelum diadakan pilihan raya negeri dan persekutuan untuk membentuk kerajaan sendiri.

Seterusnya, Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur diadakan pada Februari 1952. Pilihan raya itu juga memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada negara ini. Bagi sebuah negara dengan masyarakat majmuk, pilihan raya itu menyaksikan satu pembentukan kerjasama politik di antara parti berasaskan kaum di Tanah Melayu dan melahirkan kejayaan paling besar dalam pilihan raya di Asia Tenggara pada waktu itu.

Pilihan Raya Persekutuan yang pertama

Kerjasama antara UMNO dengan MCA dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur itu membuka ruang untuk penggabungan lebih luas parti berasaskan kaum lain selepas itu. Ini dapat disaksikan pada 27 Julai 1955 apabila Pilihan Raya Persekutuan yang pertama di Tanah Melayu diadakan.

Antara parti yang mengambil bahagian dalam pilihan raya itu ialah Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC. Pada pilihan raya itu, Parti Perikatan bertanding di semua 52 kawasan pilihan raya. Parti Negara di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar mengemukakan 33 calon, manakala Parti PAS pula 11 calon.

Parti lain yang turut mengambil bahagian ialah Parti Buruh, Parti Kemajuan Perak (kemudian menjadi Parti Kemajuan Rakyat), Pertubuhan Kebangsaan Perak dan Pertubuhan Melayu.

Manifesto yang digunakan oleh Parti Perikatan ialah untuk mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun, mewajibkan pendidikan kepada semua kaum, menjadikan perkhidmatan awam bercorak tempatan, menjaga hak asasi manusia serta melindungi hak Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

Dalam pilihan raya itu, Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan manakala satu kerusi lagi dimenangi PAS. Berikutan itu, Parti Perikatan diberi mandat untuk membentuk kerajaan yang diterajui Tunku Abdul Rahman.

Berikutan kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya itu, Pemuda UMNO mendesak Tunku Abdul Rahman agar membincangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan kerajaan British. Tunku menyampaikan hasrat rakyat negara ini untuk menuntut kemerdekaan dan selepas melalui beberapa siri rundingan akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Mungkin masih ramai dalam kalangan kita yang tidak mengambil peduli mengenai pilihan raya dan tidak tahu mengenai proses pilihan raya. Apa yang menjadi persoalan kini ialah sejauh manakah pembabitan rakyat dalam proses pilihan raya di Malaysia. Apakah yang rakyat mahukan daripada pemerintah yang dipilih nanti?

Antara elemen yang menjadi tarikan untuk pengundi memilih wakil mereka bagi membentuk kerajaan ialah kempen pilihan raya. Biasanya setiap parti yang bertanding akan melakukan kempen sebaik mungkin untuk menarik perhatian pengundi.

Pengundi mudah tertarik dengan manifesto atau janji parti yang terarah kepada penyelesaian masalah yang dihadapi mereka. Justeru, parti yang bertanding perlu tahu dan membuat sedikit penyelidikan mengenai apakah yang rakyat mahukan daripada kerajaan. Kesilapan merencana janji pilihan raya akan memberi kesan kepada undi yang diperoleh.

Selain itu, peranan individu juga sangat penting. Dalam hal ini, sesuatu parti politik itu perlu bijak meletakkan individu yang berpengaruh, disegani, dikenali dan mudah didekati rakyat. Parti politik tidak boleh meletakkan sembarangan calon kerana kredibiliti seseorang itu sangat diambil kira, termasuk sejarah lampaunya.

Elemen yang turut menjadi tarikan kepada pengundi adalah perjuangan sesebuah parti. Kini, ramai rakyat yang celik huruf dan celik politik.

Oleh: Dr Hasnah Hussin
Sumber: BHarian



Masyarakat matang dalam demokrasi

PILIHAN Raya Umum (PRU) yang bakal berlangsung tidak lama lagi ini merupakan kali ke-13 rakyat Malaysia melaksanakan tugas mereka dan mengundi untuk menentukan pihak mana yang bakal menjadi pemerintah dan menentukan hala tuju negara berdaulat ini.

Selepas negara mencapai kemerdekaannya pada tarikh 31 Ogos 1957, negara tidak pernah gagal dalam menjalankan proses demokrasi bagi meneruskan kesinambungan perjalanan menyaksikan pelbagai perkara terjadi sebelum, semasa dan juga selepas tempoh pengundian selesai.

Tidak kira bagaimana keadaan ekonomi negara pada tempoh tersebut, proses demokrasi tetap didukung oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan perbezaan umur mereka.

Jelas, ini menunjukkan negara yang dihuni kira-kira 28 juta penduduk ini sudah sebati dengan amalan demokrasi berperlembagaan. Pastinya, ini merupakan satu perkara positif yang seharusnya dikekalkan untuk generasi mendatang.

Perjalanan proses pengundian pada setiap kali PRU yang lalu sebenarnya mempunyai makna yang tersirat. Ini adalah suatu perkara yang seharusnya dibanggakan oleh setiap warganegara Malaysia yang mendukung proses demokrasi.

Kejayaan negara ini dalam melaksanakan proses tersebut dilihat merupakan satu nilai positif yang membuktikan bahawa demokrasi dan kebebasan memilih kerajaan adalah perkara yang diterima secara umum seluruh masyarakat tanpa mengira perbezaan mereka.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Jayum Jawan menjelaskan bahawa perkara tersebut terjadi kerana masyarakat Malaysia umumnya telah mencapai tahap kematangan dalam demokrasi.

Menurutnya, terdapat dua faktor yang dapat menentukan proses demokrasi berlangsung secara aman dalam sesebuah negara dan faktor tersebut adalah kestabilan politik dan juga penerimaan umum terhadap proses terbabit.

"Sungguhpun terdapat pelbagai parti politik yang mempunyai perbezaan asas dalam perjuangan mereka, masyarakat umum dapat menerima proses pengundian yang dijalankan melalui PRU setiap kira-kira empat atau lima tahun.

"Ini menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tahap kematangan yang tinggi dan rasa kebertanggungjawaban berhubung proses demokrasi khususnya dalam melaksanakan tugas sebagai rakyat sewaktu mengundi untuk memilih kerajaan mereka," katanya yang juga seorang pensyarah di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Sumber: Utusan

Kematangan rakyat penentu masa depan negara

Pilihan raya adalah satu aturcara penting dalam satu majlis demokrasi. Ia ditempatkan pada kedudukan yang tertinggi apabila menjadi kayu ukur kepada tahap penghayatan demokrasi yang berintikan daripada rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat.

Pada hari berlangsungnya pilihan raya, rakyatlah yang dirujuk untuk menentukan hala tuju negara. Rakyat juga berperanan ketika itu sebagai tuan kepada negara yang sudah pastinya mahukan sebuah negara yang berpihak kepada rakyat.

Pada hari itu nanti, suara rakyat adalah suara yang terpenting. Walau hanya dengan satu pangkah di kertas undi, ia menjadi amat berharga apatah lagi dalam sistem pilihan raya kita yang mengenakan peraturan first pass the post.

Suara rakyat ialah suara kesaksian kepada sebuah kerajaan yang akan dibentuk selepas itu. Rakyat berkewajipan menjadi saksi dan tidak ada ruang untuk melarikan diri daripada menjadi saksi.

Suara keramat rakyat

Ketika inilah suara rakyat menjadi suara keramat. Suara yang akan diterjemahkan kepada suara harapan dan permintaan, suara impian dan cita-cita. Suara ini terbit daripada dhamir yang terdalam. Jika undi itu datang daripada seorang pengundi yang telah berusia, ia adalah suara harapan untuk generasi penerus. Suara yang mahukan jaminan terhadap kegemilangan masa depan.

Jika undi daripada seorang pengundi muda atau pengundi kali pertama ia mengundi demi sebuah cita-cita yang akan dikejar dan direalisasikan di persada kehidupan. Jika ia datang daripada pengundi pertengahan usia, ia adalah undi permintaan untuk pembaikan keadaan yang sedia ada.

Maka inilah erti sekeping undi yang menuntut terjemahan dalam sebuah kerajaan yang akan dibentuk. Terjemahannya akan dinilai setelah tamat tempoh mandatnya nanti.

Bagi menjamin sebuah kesaksian yang jujur dan tulen, syarat kesaksian mesti dipenuhi. Antara syaratnya ialah berakal. Syarat berakal bagi seorang mukallaf adalah syarat wajib bagi seorang saksi yang perlu dipenuhi. Wahbah Zuhailiy menyatakan orang yang berakal mesti mampu untuk menggunakan akalnya. Akalnya berupaya memahami tuntutan syariat ke atas dirinya.

Oleh yang demikian pencerdasan rakyat amat penting dalam proses demokrasi berpilihan raya. Rakyat mesti mengetahui fungsi dan peranannya. Rakyat mesti mempunyai maklumat yang cukup dan sahih sebelum membuat pertimbangan dan seterusnya memilih. Jika tidak ia umpama mengajukan kepada si buta tentang kecantikan sekuntum bunga, atau bertanya kepada si pekak kemerduan kicauan burung.

Oleh: Amidi Abdul Manan (Presiden ABIM)
Sumber: BHarian

p/s: Walau apa pun parti pilihan anda pastikan ia adalah parti yang tidak membawa kerugian kepada agama yang kita anuti iaitu agama islam. Pilihlah parti yang memartabatkan syariat islam, membawa kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, mendapat rahmat dan keampunan Allah  serta diredhai Allah.

Selamat Mengundi ...

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Sapa agaknya peneraju Malaysia kita ni..