02 April 2013
UIAM Kendali Perasaan Gerun Pesakit Gigi
"Gigi saya tidak sakit pun, jadi buat apa hendak jumpa doktor? Lagipun, ia masih elok dan kuat untuk mengunyah,".
Tanggapan mahupun persepsi sedemikian bukanlah sesuatu yang asing, malah ia bagaikan sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat kita.
Biarpun bukan semua dan hanya membentuk satu komuniti kecil sahaja, namun pemeriksaan pergigian dilihat hanya perlu dilakukan apabila kesakitan mula menyerang dan kerosakan gigi berada pada tahap serius.
Mengapa begitu? Adakah kerana rasa takut atau kos rawatan agak mahal?
Ia dikatakan sebagai antara punca segelintir mereka tidak gemar mengamalkan pemeriksaan gigi enam bulan sekali atau paling tidak pun setahun sekali dalam sahsiah kehidupan.
PERUNDING
Ini diperkukuhkan menerusi kenyataan Dekan Fakulti Pergigian Lincoln University College dan Pakar Runding Kanan Kesihatan Awam Pergigian Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir bahawa hampir 75 peratus daripada penduduk negara ini yang pernah mendapat rawatan berasa takut untuk berjumpa doktor gigi.
Ketakutan dialami setiap kali melihat doktor gigi lengkap dengan pakaian seragam putihnya sambil tangan erat memegang peralatan pergigian, tidak hanya meliputi golongan anak kecil.
Malah, mereka yang dewasa tidak terkecuali sehingga membentuk fenomena "white coat syndrome".
Melihat senario ini sebagai keadaan membimbangkan dan perlu diatasi segera, Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cuba menghapuskan stigma "white coat syndrome" menerusi pelbagai alternatif terbaru termasuk penekanan kepada elemen variasi warna.
TIADA LAGI "WHITE COAT SYNDROME"
Pendekatan digunakan amat menarik. Warna terang seperti ungu, biru dan merah jambu pekat dipilih menghiasi kulliyyah ini, sekali gus memberi lambaian baru serta menyuntik kelainan daripada warna kebiasaan atau rasminya, putih.
Bermula sebaik sahaja melangkah masuk pintu kaca Kulliyyah Pergigian Kampus Kuantan ini, perasaan teruja di samping rasa kagum mesti terdetik bagi mereka yang pertama kali mengunjunginya.
Daripada set sofa, meja, dinding sehinggalah pakaian rasmi doktor gigi atau dikenali sebagai 'dentist tunic' yang dipakai oleh pelajar pergigian, semuanya bermain dengan pelbagai pemilihan warna sehingga mewujudkan suasana ceria seolah-olah berada di tadika.
Kaedah psikologi ini dilihat berjaya menarik perhatian dan mengurangkan rasa takut kanak-kanak, bila mana sambutan diterima bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan pergigian di kulliyyah ini adalah amat memberangsangkan.
Terbuka kepada orang ramai, pendekatan sedemikian telah menarik kira-kira 10,000 pesakit baru setahun, kata Pakar Pergigian Periodontik UIAM Kuantan Dr. Suhaila Muhammad Ali.
"Semua pelajar perubatan pergigian di sini diwajibkan berbincang sesama mereka pada tahun pertama untuk memilih warna yang akan dijadikan pakaian seragam mereka (dentist tunic).
"Tidak boleh memilih warna putih, warna pakaian seragam mereka ini bukan sahaja akan mewujudkan suasana ceria, menghilangkan rasa takut malah ia juga memudahkan kami untuk mengenali sesuatu 'batch'," katanya.
TAYANGAN VIDEO
Biarpun kaedah psikologi warna dapat mengurangkan rasa takut, namun tidak dinafikan perasaan itu akan mengetuk kembali sebaik sahaja berada di atas kerusi rawatan pergigian.
Ditambah pula, apabila melihat pelbagai peralatan pergigian dan karektor doktor gigi, sekali gus mengingatkan kembali kepada pengalaman mahupun cerita menakutkan yang ada antaranya hanyalah sekadar imaginasi semata-mata.
Menyedari keperluan ini, Poliklinik Pergigian UIAM telah dilengkapi dengan set televisyen paparan kristal cecair (LCD) di setiap kerusi rawatan pergigian sebagai kaedah alternatif pengalihan rasa takut pesakit.
Sebanyak 150 buah kerusi rawatan pergigian telah diimport dari Finland bagi menawarkan perkhimatan pergigian kepada komuniti setempat di poliklinik ini.
"Pesakit boleh minta kepada pelajar pergigian untuk menonton apa-apa cerita sahaja. Langkah psikologi ini, boleh menyebabkan mereka leka menonton dan tidak merasa sakit semasa rawatan dilakukan," katanya kepada Bernama.
DIJAMIN SELAMAT
Kaedah psikologi variasi warna, tayangan video tidak sekadar berfungsi menyuntik kelainan dunia pergigian serta menghapuskan stigma 'white coat syndrome'.
Malah, lebih daripada itu. Paling menarik, apabila tiada bayaran dikenakan kepada mana-mana pesakit yang ingin mendapatkan rawatan pergigian di poliklinik ini.
Tidak kira apa sahaja rawatan, pemasangan gigi palsu, tampalan, mahupun pembersihan gigi semuanya adalah percuma dan sudah pasti ini akan menarik perhatian ramai.
Akan tetapi, ia sebenarnya bersifat serampang dua mata di mana tarikan ini juga bertujuan mendapatkan seramai mungkin pesakit sebagai platform untuk melatih pelajar perubatan pergigian UIAM.
Timbul persoalan, selamat atau tidak akan rawatan diberikan?
Menjelaskan perihal ini, Dr. Suhaila berkata kualiti dan tahap keselamatan tinggi adalah penekanan penting yang diberi perhatian semasa rawatan walaupun ia percuma dan dilakukan oleh pelajar perubatan pergigian.
Tambahnya, setiap pelajar diwajibkan berbincang dahulu bersama dengan pensyarah mereka yakni merangkap pakar pergigian bertauliah sebelum sesuatu rawatan itu dilakukan.
SIMULASI
Tidak terhenti sekadar berbincang, malah pergerakan dan setiap langkah pelajar akan sentiasa diawasi oleh pensyarah sepanjang rawatan bermula dari cara mereka berkomunikasi dengan pesakit sehinggalah rawatan selesai.
"Tempoh pembelajaran di Kulliyyah Pergigian UIAM adalah selama lima tahun dan terbahagi kepada dua fasa. Tahun pertama dan kedua adalah fasa pertama dikenali sebagai tempoh praklinikal.
"Ia (praklinikal) adalah simulasi pembelajaran di mana pelajar akan mempelajari secara praktikal akan rawatan pergigian dengan menggunakan model (patung). Mereka akan melakukan banyak kali sehingga mahir," katanya.
Mereka juga perlu lulus peperiksaan simulasi untuk layak ke fasa kedua (tahun 3, 4 dan 5) iaitu klinikal di mana pelajar perubatan pergigian akan merawat pesakit dengan persekitaran sebenar di Poliklinik UIAM.
KEMUDAHAN TERBAIK
Semua ini, adalah langkah strategik dan terkini yang diambil oleh Kulliyyah Pergigian UIAM dalam melahirkan atau menyediakan lebih ramai pakar pergigian negara.
Untuk itu, UIAM membelanjakan RM132 juta merangkumi pembinaan bangunan kulliyyah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih seperti bilik simulasi, bilik konsultasi, Poliklinik Pergigian, makmal penyelidikan, peralatan dan bahan-bahan untuk rawatan pergigian.
Paling menarik, apabila ia turut dilengkapi dengan sistem teknologi 'Cone Beam Computed Tomography' (CBCT), yang berfungsi seperti sistem pengimbasan x-ray tetapi dalam bentuk 3D.
Menerusi imej yang dihasilkan, ia lebih memudahkan proses penganalisian dalam mengenalpasti masalah atau kesakitan gigi pesakit serta penentuan kaedah rawatannya.
Kemudahan ini bukan sahaja mewujudkan suasana pembelajaran kondusif kepada pelajar perubatan pergigian malah melengkapkan lagi perjalanan universiti ke arah lebih berdaya saing.
Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [19/2/2013]
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
Actually takut nak jumpa doktor gigi sebab takut sakit masa cabut ataupun gerun masa tampal gigi tu.. :)
Catat Ulasan