05 Mei 2013

Kuasa Pengundi Atas Pagar

5 MEI, 2013 ~ PRU-13
SELAMAT MENGUNDI KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA
YANG LAYAK MENGUNDI ....



HARI PENENTUAN

Hari ini pengundi akan membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk menentukan tampuk pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun selepas 15 hari parti yang bertanding berkempen.

Kira-kira 13.2 juta pengundi, termasuk 2.3 juta pengundi baru akan membuat pilihan antara Barisan Nasional (BN) yang mempunyai rekod tidak pernah kalah sejak pilihan raya pertama pada 1959 dan memerintah negara selama 55 tahun dan pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen menjadi rebutan 579 calon pelbagai parti dan calon bebas, manakala 1,321 lagi calon merebut 505 kerusi DUN di semua negeri kecuali Sarawak yang mengadakan pilihan raya negeri dua tahun lalu.


BN bertanding di 221 kerusi parlimen, manakala pembangkang meletakkan calon di semua kerusi untuk menentukan parti yang berjaya menawan Putrajaya dan siapa bakal dipilih sebagai Perdana Menteri. BN tidak bertanding Parlimen Pasir Mas, Kelantan kerana calonnya tidak menyerahkan borang penamaan calon.

Sebelum Parlimen dibubarkan pada 4 April lalu, BN menguasai 137 kerusi diikuti DAP (29 kerusi), PAS dan PKR masing-masing 23 kerusi serta Parti Maju Sabah (SAPP) dua kerusi. Enam lagi ahli parlimen bebas daripada Semenanjung selepas keluar daripada pakatan pembangkang dan dua lagi dari Sabah keluar daripada BN dan menyokong pembangkang.

Untuk menang dengan majoriti mudah, mana-mana parti perlu mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi atau 148 kerusi bagi mencatatkan kemenangan dua pertiga. [Ahmad Zaini Kamaruzzaman BHarian ; 05052013]

Meraih keberkatan dalam berkempen
Pengundi Atas Pagar Dikatakan Buat Keputusan Memilih Pada Saat Akhir

Kajian ahli akademik menunjukkan terdapat satu golongan pengundi (digelar sebagai pengundi atas pagar) yang dikatakan mampu mempengaruhi keputusan pilihan-raya. Saya kongsikan di sini artikel berkaitan dengan mereka dan bagaimana mereka boleh mempengaruhi keputusan pilihan-raya.

Buat Keputusan Memilih Pada Saat Akhir

MEREKA tidak kisah dengan parti politik, tidak mahu ambil tahu mengenai isu politik malah mereka sudah muak dan jemu untuk berbicara mengenai politik. Itulah sifat pengundi atas pagar yang yang menyebabkan corak pengundian Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) begitu banyak berubah.

Kewujudan mereka berupaya memberi pengaruh besar kepada landskap politik negara. Ada pula yang berpendapat, kaum Cina antara yang tergolong dalam kelompok tersebut lantaran mereka sangat rigid dalam menilai prestasi parti yang memerintah.

Walaupun sudah berakar umbi sejak sekian lama dalam majoriti masyarakat yang layak menjadi pengundi, kelompok tersebut mula menunjukkan taring dengan memberi gambaran awal mengenai kewujudan mereka tidak boleh diperlekehkan.

Kajian Felo Prinsipal Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin bersama rakan-rakan akademik yang lain mendapati pengundi atas pagar mewakili 40 hingga 45 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar.

Angka itu bukan kecil, hampir kepada majoriti malah kata Sulaiman, kumpulan itu sukar dikenal pasti dan berada dalam semua saluran mengundi serta mewakili penduduk bandar dan luar bandar.


PENGUNDI muda merupakan kelompok yang kuat dan faktor penentu dalam PRU-13. - Gambar hiasan

"Ragam yang cukup ketara bagi pengundi atas pagar adalah mereka tidak membuat keputusan awal mengenai parti mana yang mereka sokong.

"Sehingga ke saat akhir, mereka masih mampu menunggu dan kajian menunjukkan, antara dua hari terakhir sebelum mengundi, kumpulan ini akan mula mendapat idea mengenai parti atau calon mana yang akan dipangkah pada kertas undi," katanya.

Lompong besar

Merungkai mengenai pengundi atas pagar itu, kata Sulaiman, ada sebab hingga mereka digelar dengan panggilan itu.

Apa yang ketara faktor kewujudan golongan itu ialah tidak ambil kisah mengenai politik, sudah muak dan lali dengan kerenah ahli politik dan masih tidak dapat memahami atau menyelami isu yang dibawa oleh parti politik terbabit.

Bagaimanapun menurut Sulaiman, situasi itu menunjukkan ada lompong yang besar dalam kempen yang dilakukan oleh setiap parti.

Katanya, ia seolah-olah menggambarkan jentera parti tidak membuat penyelidikan dan memberi penumpuan kepada kelompok pengundi tersebut serta memahami apa yang tersimpan dalam fikiran mereka.

"Manusia ialah makhluk sosial yang sangat unik, mereka berhubung dengan kawan-kawan dan ini memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan pola pengundian golongan tersebut. Mereka memang kelompok yang kuat dan faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.

"Ada kebaikan wujudnya mereka dalam arena politik negara kerana kerajaan yang memerintah, kena berwaspada dan sentiasa ambil tahu keperluan semasa rakyat," jelasnya.

Seorang Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik menganggap, pengundi muda yang berjumlah kira-kira 1.3 juta menjadi kumpulan utama dalam golongan tersebut yang perlu diberi tumpuan dalam kempen pada pilihan raya ini.


DUA petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mengasingkan surat-surat berisi kertas undi luar negara mengikut negeri di Kementerian Luar menjelang pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya, pengaruh golongan muda yang mengundi di saluran 3 berupaya menarik corak pengundian peringkat umur lain.

"Kalau dahulu, biasanya orang tua iaitu ibu bapa akan menasihati anak-anak mengenai parti atau calon tertentu yang perlu disokong namun situasi itu sudah bertukar.

"Dengan ledakan pelbagai platform maklumat semasa sekarang, anak-anak muda ini akan mempengaruhi keluarga mereka termasuk kelompok masyarakat yang rapat ketika proses pengundian berjalan," katanya.

Pandangan itu turut dikongsi oleh seorang bekas Ahli Parlimen sebuah parti politik yang yakin pengundi muda mula matang dalam menilai prestasi kerajaan.

Beliau menyifatkan, pengundi muda era ini bijak dan berpandangan terbuka terhadap pentas politik negara meskipun sokongan itu boleh berubah pada bila-bila masa.

"Perebutan mendapatkan sokongan pengundi muda masih terbuka luas sehingga ke hari pengundian. Apa yang pasti, pengundi akan memilih calon yang dapat membuktikan kelebihan yang ada pada mereka," tambahnya.

Sumber: Kosmo

Demikianlah pengundi atas pagar. Mereka adalah golongan pengundi senyap dengan kuasa pemilihan yang tersendiri. Banyak aspek yang dipertimbangkan oleh golongan pengundi atas pagar ini sebelum membuat keputusan. Barangkali anda termasuk dalam golongan ini. Kita tunggu kesan dari keputusan pemilihan pengundi atas pagar ini dalam PRU-13 sebaik keputusan rasminya diumumkan pada awal pagi 6 Mei, 2013.

Bagaimana membuat keputusan?

RAMAI orang sukar membuat keputusan yang bijak apabila berdepan dengan masalah atau ketika perlu membuat sesuatu pilihan. Sebenarnya tanpa disedari kita perlu membuat keputusan hampir setiap hari. Misalnya, nak pakai baju apa? Nak bersarapan apa? Cuti ini mahu ke mana? Mahu terima atau tidak jawatan yang ditawarkan? Dan bermacam-macam lagi.

Ada keputusan yang perlu dibuat itu keputusan biasa-biasa dan tidak membawa kesan besar dalam kehidupan. Tetapi ada pula keputusan yang penting kepada kehidupan dan perlu diperhalusi dan difikirkan masak-masak. Misalnya, mahu terima atau tidak lamaran dia? Ingat, keputusan yang dibuat memerlukan kita hidup dengannya mungkin sepanjang hayat. Adakah orang yang kita pilih itu terbaik buat kita?

Keputusan yang bijaksana biasanya mampu dibuat berdasarkan pengalaman dan kematangan hidup. Pengalaman pula datangnya daripada ilmu pengetahuan, pergaulan, peristiwa lampau (sama ada baik atau buruk) dan kemampuan berfikir yang tinggi.

Seseorang yang takut berhadapan dengan cabaran, lari apabila berhadapan dengan masalah atau sentiasa cuba cari jalan singkat bagi menyelesaikan sesuatu perkara tidak akan mendapat pengalaman hidup yang bernilai bagi membolehkan dia membuat keputusan bijak di masa akan datang.

Ketika membuat keputusan, kita tidak seharusnya mengambil risiko tanpa pertimbangan. Sebab membuat keputusan untuk mengambil risiko juga satu keputusan.

Sumber: Utusan [5/5/2013]

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

saya pun mengundi jugak