18 Mei 2013

Lambung Syiling Pilih Wakil Rakyat


~ Gambar hiasan ~

Pemenang pemilihan pemimpin sebuah bandar kecil di Filipina terpaksa ditentukan dengan melambung syiling selepas calon yang bersaing terikat dengan kiraan undi sama, kata pegawai pilihan raya pada 16 Mei 2013.

Penyelesaian dramatik kepada pertandingan di San Teodoro, bandar pertanian dengan penduduk 16,000 orang di tengah Filipina, diadakan dalam pejabat pilihan raya tempatan, dengan ahli politik melambung duit untuk menentukan nasib mereka.

Mereka bersetuju melambung syiling, dengan calon yang mendapat bahagian kepala paling banyak dikira pemenang, kata ketua pilihan raya, San Teodoro, Reny Pagilagan.


Muncul pemenang

Beliau berkata, ketegangan berlaku apabila pertandingan pertama melambung syiling selama lima kali juga berakhir dengan seri, dengan kedua-dua ahli politik mendapat kepala, menurut Pagilagan.

Anggota Parti Liberal yang memerintah, Marvic Feraren, muncul pemenang dalam pusingan kedua, mendapat dua kepala berbanding satu yang diperoleh pencabarnya. Kedua-dua mereka menerima keputusan. Mereka bersalaman dan berpelukan, kata Pagilagan.

Guna duit syiling

Pagilagan berkata, undang-undang pilihan raya Filipina menyatakan pertandingan pilihan raya yang terikat perlu diselesaikan menerusi undian dan duit syiling adalah kaedah yang boleh diterima.

Pagilagan berkata, acara minggu ini pernah berlaku dan beliau mempengerusikan satu lagi lambungan syiling pada 2004 untuk menentukan pemenang kerusi lembaga majlis bandar berhampiran.

Lebih 44,000 calon bertanding untuk merebut 18,000 kerusi pada pilihan raya pertengahan penggal Isnin lalu, daripada jawatan di majlis tempatan hingga kerusi Parlimen.

Sumber: BHarian [2013/05/17]

p/s: Apabila pengundian dilaksanakan secara adil, telus, berintegriti serta tanpa wujudnya sebarang faktor-faktor tersembunyi, semua pihak pasti akan merasa berpuas hati menerima keputusan akhir. Yang kalah dapat menerma hakikat kekalahan dengan tenang. Tidak akan wujud tuduh menuduh di pihak yang kalah serta tiada lagi perasaan tidak berpuas hati. Inilah moral yang patut kita ambil sebagai pengajaran.

0 comments: