04 Mei 2013

Pengajaran Politik Dalam Sastera Melayu



Musim pilihan raya menjadikan manusia resah, marah-marah dan ada kalanya ganas. Nilai murni selalu dilupakan. Persahabatan ditinggalkan. Manusia menjadi rakus, lupa diri dan angkuh. Dalam politik yang mementingkan kemenangan, selalunya yang menang akan menjadi abu manakala yang kalah menjadi arang.

Apa yang kita dengar sepanjang tempoh berkempen adalah laungan slogan dan gendang perang pilihan raya.

Sastera dan politik memang tidak dapat dipisahkan. Malah sastera merupakan cerminan kehidupan sebenar yang dicanai dalam bentuk kreatif. Sastera boleh memainkan peranan penting dalam mencorak nilai malah mengubah sistem berpolitik dan dunia politik. Sasterawan selalunya menjadi suara dan 'conscience' kemanusiaan sejak zaman berzaman.


Alan Paton memberikan kritikan pedas terhadap sistem aparteid di Afrika Selatan melalui novelnya Cry, The Beloved Country. Vaclav Havel, yang kemudiannya menjadi Presiden Republik Czech yang pertama menggunakan dramanya untuk menentang pendudukan Russia di negaranya dalam tahun 1968 (ketika itu Czechoslovakia). Dari Alexander Dumas hingga Totstoy, dari George Orwell sehinggalah novelis popular Irving Wallace, sastera dan politik tidak dapat dipisahkan.

Karyawan, isu politik.

Malaysia tidak kurang karyawan yang menyentuh isu politik, baik secara langsung mahupun tidak. Sudah pastilah ada karyawan yang dalam marahnya menulis cerpen seperti Maharaja Beruk dan novel Piem dan Shit. Tetapi selalunya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad menggunakan kreativiti luar biasanya memberikan nukilan yang seimbang untuk dunia politik seperti dalam novelnya Menteri dan Perdana.

Sebelum beliau, novelis Ruhi Hayat (nama samaran Ahmad Boestaman) telah menghasilkan Merangkaklah Senja Menutup Pandangan dan Garis Hitam Membelah Langit yang memberikan dimensi politik. Beliau sebenarnya seorang nasionalis yang terbilang.

Arena Wati pula menghasilkan Sandera yang menggalurkan kisah perjuangan kebangsaan di Malaysia dan Indonesia. Hassan Ibrahim menjadikan Tikus Rahmat sebagai satira dunia politik yang penuh kepura-puraan dan pilih kasih. A. Samad Ismail membawakan isu politik di dalam novelnya Patah Sayap Terbang Juga, Tembuk Tidak Tinggi dan Kail Panjang Sejengkal.

Sayogia diingat, salah seorang penulis yang amat bijaksana memanfaatkan politik dalam karyanya ialah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Sesuai dengan latar belakang beliau sebagai aktivis politik Parti Kebangsaan Melayu Malaysia (PKMM) dan kedudukan beliau sebagai wartawan, novel Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan merupakan sindiran paling tajam terhadap dunia politik dalam konteks masyarakat Melayu. Pak Sako memanfaatkan kedudukan sosio-politik semasa dan kuasa penjajahan untuk menyampaikan mesejnya.

Kisah novel Krisis.

Alias Ali menghasilkan Krisis, novel politik yang amat mengesankan. Krisis menggunakan latar belakang pilihan raya di Terengganu. Krisis tidak berselindung melakarkan kisah dan intrig sebuah parti politik Parti Srikala. Krisis ditulis pada tahun 1966 sewaktu rakyat negara ini sedang membina jati diri. Kemerdekaan baru dicapai dan Malaysia baru berusia tiga tahun.

Krisis perebutan kuasa di antara ketua Parti Srikala, Syed Kidam dan pencabarnya Jabar sebenarnya cerminan sebenar krisis dalaman mana-mana parti, dulu, kini dan mungkin selamanya. Jabar masuk parti lain, Ikhwan dan bertarung pula di luar parti. Kedua-dua mereka menggunakan taktik kotor untuk menang. Dalam Krisis, agama digunakan untuk tujuan politik.

Novel Krisis memasukkan semua elemen berpolitik daripada yang paling luhur hingga yang paling kotor. Konsep demokrasi terlalu baru bagi rakyat negara ini. Dalam pertarungan politik, semuanya dihalalkan. Seperti halnya dengan watak Lebai Ismail yang membantu Jabar, agama menjadi alat politik atau agama dipolitikkan. Perlu diingat bahawa latar belakang novel ini ialah Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1959, pilihan raya yang pertama selepas kemerdekaan. Krisis mengingatkan kita bahawa politik tidak banyak berubah sejak 54 tahun yang lalu.

Dunia politik ideal

Novelis muda Faisal Tehrani menghasilkan Perempuan Politikus Melayu yang mengetengahkan pola pemikiran politik wanita. Watak-watak Jora, Chai Yin dan Datin Ungku Malini menggambarkan minda wanita yang berpolitik. Sebelum itu, Zaharah Nawawi menghasilkan Anugerah yang menggunakan latar belakang kisah serikandi Ibu Zain, tokoh politik dan pemikir Johor.

Mungkin Jeniri Amir yang mengkaji persoalan politik dalam novel Melayu di dalam bukunya Politik Dalam Novel boleh memberikan pencerahan tentang minda politik pengarang Melayu. Apa yang jelas kancah politik tidak pernah diabaikan. Malah dengan cara-cara yang tersendiri novelis Melayu sejak awal telah menggunakan karya mereka untuk merakamkan peristiwa politik.

Dalam Aishah Ghani: Memoir Seorang Pejuang, Allahyarham menyentuh tentang satu bahagian UMNO yang beliau pernah terbabit. Beliau menulis, cawangan berkenaan pada zamannya bukan sasaran untuk rebut-merebut, beli-membeli, jatuh-menjatuh seperti yang kerap kita dengar. Mungkin tidak banyak bahagian politik sedemikian lagi di dunia hari ini. Tetapi peringatan Aishah perlu sangat diambil iktibar.

Mungkin sasterawan kita juga perlu menggambarkan dunia politik yang ideal dengan segala keluhurannya?

Oleh: Johan Jaaffar
Sumber: BHarian [2013/04/24]

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Suatu yang perlu dilihat secara halus. Tq sharing, a thought 4 today