03 Mei 2013

Solat Sunat Tampung Kekurangan Solat Fardu


Rugi Abaikan Solat Sunat

SOLAT sunat walaupun tidak diwajibkan, tetapi kepentingannya tidak boleh dipandang remeh oleh setiap umat Islam. Dalam erti lain, solat sunat merupakan penambahbaikan kepada solat fardu sekiranya terdapat kekurangan ketika menunaikan ibadat wajib itu.

Lebih-lebih lagi apabila ibadat solat merupakan perkara pertama sekali yang dihitung oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Seorang sahabat Rasulullah, Yahya Ya'mar meriwayatkan bahawa baginda berkata: "Sesungguhnya amal perbuatan pertama yang dihisab pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya sempurna, maka tercatat ke atasnya sempurna, jika tidak sempurna terjadi, Allah menyatakan kepada malaikat, "Perhatikan sama ada hamba aku didapati melakukan solat sunat. Sempurnakan solat itu dengan amalan solat sunat. Kemudian baru dihitung zakat dan seterusnya."


Oleh demikian, berdasarkan hadis berkenaan, jelas terbukti bahawa solat sunat merupakan ibadat penting. Tanggapan untuk mengabaikannya dengan memahami bahawa ibadat berkenaan hanya semata-mata sunat sahaja perlu ditepis oleh umat Islam.

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Sumber: Utusan

Solat sunat tampung kekurangan solat fardu

KERIUHAN pasar malam dimulai sejak petang lagi mengajak manusia berduyun-duyun melakukan jual beli. Kewujudan pasar malam di pelbagai lokasi sudah menjadi keperluan mustahak bagi penduduk mendapatkan barang keperluan asas juga ruang peniaga kecil tempatan meraih rezeki halal.

Bagaimanapun, apabila pintu senja akan beralih kepada malam, dari suasana cerah bertukar gelap, ada tuntutan yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Umat Islam mesti sedar dalam keasyikan keriuhan pasar malam atau di mana saja berada, ada amalan penting perlu dilaksanakan antara ruang Maghrib ke Isyak. Keutamaan menunaikan solat sunat antara Maghrib ke Isyak dijelaskan Hudzaifah dengan katanya yang bermaksud: “Aku solat Maghrib bersama Rasulullah SAW, sesudah beliau berdiri melakukan solat berterusan hinggalah masuk waktu Isyak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Menunaikan solat sunat selepas waktu Maghrib seperti solat sunat awwabin mungkin agak asing bagi sesetengah umat Islam yang dilalaikan dengan urusan dunia. Agak malang, bagi yang beranggapan sudah memadai melakukan ibadat fardu sehingga tidak mempedulikan solat sunat lain.

Antara kelebihan menunaikan solat sunat seperti dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan pertama manusia yang akan diperiksa pada hari akhirat ialah solatnya, berkata Tuhan kepada malaikat pada hal Dia Maha Mengetahui: Periksalah pada solat hamba-Ku sama ada dia menyempurnakannya atau tidak, kalau didapati dia telah menyempurnakan solatnya, maka tuliskanlah dengan sempurna, sebaliknya apabila didapati solat yang dilakukan tidak sempurna maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Lihatlah kalau hamba-Ku itu ada melakukan solat sunat? Kalau memang ada solat sunat yang pernah dilakukan maka Allah berfirman lagi, sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian semua amalannya yang lain diterima kerana kesempurnaan solatnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang benar-benar beriman dan yakin dengan balasan serta janji Allah pada hari akhirat sudah pasti menjinakkan hatinya merebahkan dahi tunduk sujud kepada Allah melalui solat fardu dan solat sunat seperti solat sunat dua rakaat sebelum dan sesudah solat fardu, tahajud, hajat, istikharah, taubat, tasbih dan witir.
Mengikut Ibnu Umar: “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh Muhammad Abdullah Cetak Emel Kawan
Sumber: BHarian [2011/10/03]

Kelebihan Solat Hajat
 
Dari ‘Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluqNya, maka hendaklah dia berwudhu’ dengan mengelokkan-wudhu’nya dan bersolat dua raka’at, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca do’a ini.

La Ilaha Illallah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-’Arsh al-’Adzim (du’a ini tidak disalin semua) - Hadith 148 Mastika Hadis Jilid 2
Sungguhpun hadis ini hadis daif, tetapi ia disokong oleh hadis sahih yang berikut

Hadis 149 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari Abi Ad-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berwudhu’ lalu diperelokkan wudhu’nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad)

Disokong juga oleh hadis sahih yang berikut:-

Hadis 150 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari ‘Uthman bin Hunaif RA, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu’ dengan elok lalu bersolat dua raka’at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi’hu fiya

Sumber: irsyadkuantan

p/s: Sempena persediaan menghadapi kehadiran Pilihan Raya Umum (PRU-13) ada banyak tempat yang menganjurkan solat hajat. Marilah kita bersama-sama melaksanakan Solat Hajat yang dianjurkan ini agar hajat kita untuk memilih dan memberikan kemenangan kepada pemimpin yang bertaqwa dan diredhai Allah dimakbulkan oleh Allah.

Solat istikharah jika keliru

Umat Islam disuruh mengerjakan solat sunat Istikharah bagi menyelesaikan jalan buntu atau untuk membuat suatu pilihan atau keputusan dalam segala urusan kehidupan

Pendakwah bebas, Wan Akashah Wan Abdul Hamid menasihatkan kepada para pengundi supaya membuat solat istikharah bagi memilih calon pemimpin yang sesuai.

"Solat Istikharah ini sangat dianjurkan dalam Islam bagi mereka yang sedang keliru untuk memilih calon mana lebih sesuai dan bertepatan dengan syariat Islam.

"Digalakkan menunaikan solat istikharah pada pukul 3.00 pagi kerana pada waktu itu amat-amat mustajab jika seseorang itu berdoa dan meminta sesuatu atau petunjuk daripada Allah,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Sempena Pilihan Raya Umum esok, disarankan kepada rakyat yang beragama islam untuk menunaikan solat istikharah dan solat hajat bagi menentukan pemimpin yang boleh membangunkan negara tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kebajikan kepada rakyat.

Sumber: Kosmo [04/05/2013]

0 comments: