24 Jun 2013

Elak Penyakit Akibat Jerebu


MASJID Jamek Sultan Ismail di Tanjung Agas, Muar hilang ditelan jerebu ketika gambar ini diambil pada pukul 2 petang Sabtu 22 Jun 2013.

Semak Indeks Pencemaran Udara (IPU) Terkini di Web Jabatan Alam Sekitar

TAHUKAH anda fenomena panas yang melanda bumi boleh mendatangkan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kesihatan manusia?

Kesan langsung adalah berkaitan dengan peningkatan suhu panas manakala kesan tidak langsung adalah disebabkan cuaca panas seperti kejadian jerebu dan kemarau hingga menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan air untuk minuman dan pertanian.

Bagi negara yang beriklim khatulistiwa, fenomena cuaca panas tidak menunjukkan kesan yang besar disebabkan adaptasi penduduknya adalah lebih baik berbanding mereka yang menetap di negara beriklim sejuk.


Sebagai contoh, semasa berlaku fenomena El Nino pada 1997 dan 1998, negara kita pernah mencatatkan suhu maksimum sehingga 41 darjah Celsius. Bagaimanapun kesan akibat suhu panas ini adalah tidak begitu ketara.

Kini negara berhadapan dengan masalah jerebu yang boleh menyebabkan penyakit seperti serangan asma, gangguan mata dan jangkitan saluran pernafasan (URTI).

Ketika berlakunya fenomena cuaca panas orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan meminum air dengan lebih kerap serta sentiasa menjaga kesihatan badan.

Apa itu jerebu ?

Jerebu adalah keadaan di mana kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan.

Ia disebabkan oleh campuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.

Apakah bahan pencemaran udara yang bertanggung jawab kepada kesan kesihatan semasa jerebu ?

Bahan utama pencemar udara semasa jerebu termasuk:

* Bahan partikel yang berukuran kurang dari 10mm/m3 diameter
* Ozon
* Gas Karbon monoksida
* Gas Nitrogen dioksida
* Sulfur dioksida

Indeks Pencemaran Udara (IPU) atau Air Pollutant Index (API) dan Kesan Kesihatan Apakah Indeks Pencemaran Udara?

IPU ialah indeks yang dibentuk berdasarkan kepada lima bahan pencemar udara seperti yang di atas untuk menunjukkan status kualiti udara dan hubungannya kepada kesihatan dalam pemahaman yang mudah untuk mengambil tindakan seterusnya.

Nilai IPU / API

Status Kualiti Udara, Diskripsi:

* 0 hingga 50 > Baik
* 51 - 100 > Sederhana

* 101 - 200 > Tidak sihat.
Kumpulan berisiko mungkin terjejas
(Pesakit asma, warga emas dan kanak-kanak)

* 201 - 300 > Sangat tidak sihat. Orang ramai terjejas
* Lebih daripada 300, Bahaya

Apakah kemungkinan kesan jerebu ke atas kesihatan ?

* Kesan jerebu ke atas kesihatan dikaitkan dengan tahap keterukan status kualiti udara. Semakin tinggi tahap IPU, semakin bertambah kesannya kepada kesihatan .

* Faktor-faktor lain seperti jangka masa dan intensiti aktiviti luar, tabiat merokok, umur, dan status kesihatan seseorang individu memainkan peranan penting dalam memberi kesan kepada kesihatan .

Kemungkinan kesan kesihatan termasuk;

* Kesukaran untuk bernafas
* Serangan jantung
* Gatal-gatal pada tekak
* Gatal-gatal pada mata
* Jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan
* Gatal-gatal pada kulit
* Penyakit paru-paru (seperti asma, bronkitis, dan resdung)
* Sekiranya terdedah dalam jangka masa yang lama boleh mengakibatkan penyakit kardiovaskular dan darah tinggi.
* Bagi kanak-kanak pula sekiranya terdedah dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan perkembangan paru-paru terbantut.

Langkah penjagaann Penutup hidung (nasal mask) mesti digunakan jika indeks pencemar udara (IPU) melebihi 200.

* Bagaimanapun bagi mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit lelah, jantung dan paru-paru serta warga emas dan kanak-kanak, adalah dinasihat memakai penutup hidung walaupun IPU lebih rendah daripada itu.

* Orang ramai juga dinasihatkan minum air yang banyak, basuh bahagian tubuh terdedah kepada jerebu dan kurangkan aktiviti di luar rumah.

* Perokok juga dinasihatkan tidak merokok apabila keadaan udara berada pada tahap tidak sihat iaitu IPU melebihi 100.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan


Suasana Jerebu di Bandar Muar

Jerebu punca kanser paru-paru

Orang ramai yang terdedah kepada keadaan berjerebu dalam tempoh lama berisiko menghidap penyakit kanser selain penyakit lain seperti gatal kerongkong, batuk dan sukar bernafas.

Pakar perunding perubatan Pusat Perubatan Kajang Plaza di Kajang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, udara ketika jerebu amat berbahaya kerana ketika bernafas, manusia bukan sahaja menyedut gas oksigen tetapi termasuk bahan-bahan asing yang terkandung dalam udara terus memasuki paru-paru.

Kata beliau, bahan-bahan asing yang berupa sisa toksik yang terkandung dalam jerebu itu kemudian merangsang perkembangan sel-sel kanser di dalam tubuh manusia.

“Ketika krisis jerebu, udara di sekeliling mengandungi debu, habuk halus dan gas toksik seperti gas sulfur dioksida dan karbon monoksida.

“Meskipun udara yang disedut manusia akan melalui beberapa tapisan seperti di hidung dan tekak tetapi organ penapis semula jadi itu tidak mampu menyekat 100 peratus apa yang disedut dari udara.

“Udara tercemar yang tidak dapat ditapis itu akan terus masuk ke paru-paru dan seterusnya mengakibatkan badan manusia mungkin dijangkiti bakteria, virus dan paling menakutkan penyakit seperti kanser paru-paru dan radang paru-paru,” kata beliau

Sumber: Kosmo [27062013]


KEADAAN jerebu di ibu negara

Jerebu Kembali 'Menyelubungi' Malaysia

Dalam keadaan persekitaran berjerebu, adalah dinasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas supaya mengurangkan aktiviti luar memandangkan mereka lebih berisiko mendapat penyakit berkaitan jerebu. Secara umumnya, jika tiada sebarang keperluan adalah lebih baik agar jangan banyak berada di luar rumah kerana udara di luar sana tidak sihat.

Pada 16 Jun 2013 lepas, Malaysia sekali lagi diselubungi jerebu yang dikatakan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia menyebabkan bacaan pencemaran udara yang tidak sihat di beberapa lokasi di seluruh negara.

Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (DOE), Indeks Pencemaran Udara (API) pada hari Ahad tersebut mencatat paras melebihi 100 di empat lokasi di Semenanjung Malaysia.

Melaka mencatat bacaan API yang paling teruk pada tahap 161 diikuti Port Dickson di Negeri Sembilan (120), Kemaman di Terengganu (108) dan Pelabuhan Klang di Selangor (103).

MASALAH TAHUNAN

Menurut pakar-pakar alam sekitar, jerebu adalah satu fenomena di mana debu, asap dan partikel-partikel kering yang lain termasuk habuk berkumpul hingga menjadikan langit mendung.

Jabatan Kajicuaca menyatakan masalah jerebu di negara ini menjadi masalah tahunan semasa musim monsun dari bulan Mei hingga September bila angin meniup asap dari 'tompok panas' di Sumatera menyeberangi Selat Melaka.

Menurut laporan media, Ketua Pengarah DOE Halimah Hassan berkata jabatan itu mencatat 46 tompok panas di Sumatera melalui tinjauan satelit pada 16 Jun 2013 (Ahad) lepas.

Bacaan API 101-200 adalah dalam kategori tidak sihat manakala bacaan 51-100 adalah sederhana. Bacaan bawah 50 menandakan udara yang sihat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar rumah dan minum banyak air.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa kesihatan adalah keutamaan untuk semua dan jerebu yang melanda sekarang ini dijangka menjadi lebih teruk dengan angin yang membawa asap dari tompok panas di Sumatera.


PARA penunggang motosikal memakai topeng muka untuk mengelak daripada menghidu asap berikutan masalah jerebu serius yang melanda Pekanbaru, wilayah Riau, Indonesia 

PEMBAKARAN TERBUKA

Jerebu, yang kebanyakannya dikesan berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia, meningkat pada musim panas dan ini boleh membawa kesan negatif ke atas sektor pelancongan dan kesihatan terutama yang berkaitan pernafasan.

Malaysia menguatkuasa peraturan yang melarang aktiviti pembakaran terbuka dan tidak terkecuali dalam hal ini, Indonesia 'mengharamkan' aktiviti itu.

Masalah jerebu mencatat tahap paling tinggi pada tahun 1997-1998 menyebabkan rantau Asia Tenggara mengalami kerugian AS$9.0 bilion (RM28.5 bilion) terhadap sektor pelancongan dan perniagaan.

Pihak berkuasa penjagaan kesihatan juga menasihati mereka yang berada dalam kelompok risiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan yang menghadapi masalah pernafasan seperti asma agar mengelakkan aktiviti luar rumah dan memakai penutup muka jika perlu ketika berada di luar.

Para doktor menyarankan agar mereka yang mengalami masalah pernafasan, demam, rasa hendak muntah, pening-pening, sakit mata dan batuk agar mengambil rawatan perubatan.

Sementara itu, sumber Polis Marin menasihati nelayan bot kecil agar tidak turun ke laut kerana jarak penglihatan di Selat Melaka dilaporkan bertambah buruk.

"Semua bot menangkap ikan dinasihati agar berjaga-jaga dan bot pukat tunda dinasihatkan memasang lampu," menurut sumber itu lagi.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA


Bezakan ....

Garis panduan tindakan dalam menghadapi darurat bencana jerebu

Apabila keadaan Darurat Bencana Jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Negeri dan Daerah hendaklah mengambil tindakan-tindakan perlu seperti berikut:

a) Menasihatkan penutupan pejabat atau premis kerajaan ataupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan pembinaan, kuari serta kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah.

Langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah diambil pada setiap masa.

Nasihat penutupan ini adalah dikecualikan bagi:
i) Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Air;
ii)Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Elektrik;
iii) Perkhidmatan-perkhidmatan Kesihatan Awam;
iv) Perkhidmatan-perkhidmatan Bomba;
v) Perkhidmatan-perkhidmatan Penjara;
vi) Perkhidmatan-perkhidmatan Pos;
vii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telefon dan Telekomunikasi;
viii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telegraf
ix) Perkhidmatan-perkhidmatan komunikasi radio, termasuk perkhidmatan penyiaran dan televisyen;
x) Perkhidmatan-perkhidmatan pelabuhan termasuk limbungan, dermaga dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada kaitan dengannya;
xi) Perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan darat, laut dan udara;
xii) Perkhidmatan-perkhidmatan membekal bahan-bahan pembakar dan minyak pelincir;
xiii) Perkhidmatan perbankan dan kewangan;
xiv) Semua perkhidmatan yang terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana jerebu di bawah Arahan MKN no.20 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

b) Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta mana-mana agensi yang berkaitan melaksanakan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak yang terletak dalam kawasan Darurat Bencana Jerebu;

c) Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan penyiaran maklumat-maklumat kesedaran mengenai jerebu secara berterusan untuk panduan orang awam;

d) Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana agensi yang berkaitan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap sumber-sumber yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara;

e) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempergiatkan operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut dan pembakaran terbuka dengan kerjasama agensi-agensi lain;

f) Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan pemantauan dan rawatan bagi masalah kesihatan yang disebabkan keadaan berjerebu di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan;

g) Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia akan melaksanakan aktiviti pembenihan awan dalam keadaan cuaca yang membolehkan kejayaan operasi bagi mengurangkan masalah jerebu;

h) Semua Kementerian, Jabatan atau agensi-agensi yang berkaitan menangguhkan aktiviti-aktiviti luar atau riadah yang melibatkan masyarakat. - Bernama

Sumber: Kosmo [23/06/2013]


KEADAAN jerebu di Muar yang mencatat bacaan IPU 746 pada jam 7 pagi Ahad 23 Mei 2013 sehingga diisytiharkan darurat.

Tutup sekolah jika IPU lebih 300

Kementerian Pendidikan pada 20 Jun 2013, mengarahkan semua sekolah yang berada di dalam kawasan yang mempunyai Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 300 ditutup serta merta dan dimaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, arahan ini dikeluarkan Kementerian Pendidikan menerusi Surat Siaran berhubung langkah-langkah Kementerian Pendidikan bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid-murid di sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

"Jika IPU melebihi 150, pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi dengan fenomena tersebut. Manakala jika IPU melebihi 250, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah

"Sehubungan itu, pihak JPN, PPD dan sekolah diarah untuk sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu ini melalui media massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar untuk mengetahui status jerebu di kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid-murid terjamin, mereka dinasihatkan memakai penutup hidung dan pihak sekolah mestilah merujuk pelajar yang dikenal pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran. [Utusan]

Semua sekolah yang ditutup atas sebab jerebu ini akan dibuka seperti biasa sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan terbabit kurang daripada 250. [BHarian]

Jerebu:  Muar makin 'lenyap'
Keadaan jerebu yang teruk melanda bandar Muar sejak awal pagi, Sabtu (22 Mei, 2013)

Muar, Ledang Darurat

Pada Ahad, 23 Jun 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju mengisytiharkan darurat bagi Daerah Muar dan Ledang selepas IPU melebihi tahap bahaya 750 berkuatkuasa serta merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan keadaan Darurat Bencana Jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang mulai hari ini hingga ke suatu masa pengisytiharan itu ditarik balik.

Perdana Menteri berkata, pengisytiharan tersebut dibuat ekoran tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua daerah berkenaan melebihi bacaan 500 iaitu berada pada tahap kecemasan.

Walau bagaimanapun beliau menjelaskan, pengisytiharan berkenaan tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung serta tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan ketika ini.

''Semua kementerian dan agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara,'' katanya

Sumber: BHarian, Utusan


Suasana Jerebu di sekitar Menara Kuala Lumpur

Bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat dua kali ganda

Pada hari Ahad, 23/06/2013, bilangan titik panas yang dikesan melalui imej satelit NOAA-18 di Sumatera, Indonesia semalam meningkat hampir dua kali ganda daripada 64 pada Jumaat lepas kepada 118 hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) di Singapura menunjukkan asap jerebu bertambah tebal dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia.

Katanya, tiupan angin dari arah barat daya telah membawa asap jerebu dari Riau ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.


Sekumpulan pelajar memakai penutup hidung dan mulut selepas menghadiri kelas membaca al-Quran ekoran jerebu tebal di Dumai, wilayah Riau, Indonesia

"Peningkatan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan berbahaya masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang sedang dialami negara dan dijangka berterusan sehingga September ini,” menurut jabatan itu.

Menurut JAS, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkod pada 11 pagi ini mendapati Muar, Johor dan dua kawasan di Melaka iaitu Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai berada pada tahap berbahaya, dengan Muar mencatat IPU 690, manakala Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka, masing-masing dengan bacaan 428 dan 415.

Sumber: Kosmo [23062013]

1 comments:

beat berkata...

Allah..mohon keringananMu...tinggal kat mana?