30 Julai 2013

Al-Quran Kod Tangan untuk Golongan OKU


Pertandingan tilawah al-Quran OKU, bacaan para peserta dinilai berdasarkan pergerakan kod tangan.

BAGI mereka yang dilahirkan sempurna, mungkin tiada masalah untuk mempelajari al-Quran. Tambahan pula dengan pelbagai kaedah pembelajaran al-Quran yang diperkenalkanakan membantu memudahkan lagi pembelajaran al-Quran.

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang dilahirkan sebagai golongan kurang upaya (OKU)? Yang cacat pendengaran, penglihatan dan mempunyai masalah pertuturan? Pernahkah kita terfikir bagaimana caranya mereka mempelajari al-Quran? Jika mereka belajar bagaimana pula caranya guru menilai bacaan mereka jika tiada suara?

Itu kesukaran dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh golongan OKU dalam mempelajari al-Quran. Malah bagi OKU pekak dan bisu tentunya lebih sukar bagi mereka untuk mempelajari ilmu al-Quran.


OKU budayakan al Quran

Bagaimanapun, tiada yang mustahil di dunia ini jika disertakan dengan usaha dan semangat. Itulah rahsia kejayaan johan qari, pertandingan Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak dan Bisu peringkat Kebangsaan, Nur Syahdan Muhammad, 14, untuk menguasai al-Quran.

Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Besut itu tidak menafikan bukan mudah mempelajari al-Quran dalam keadaan tidak dapat mendengar dan bercakap. Ditambah dengan masa pembelajaran yang terhad.

Sehinggakan, anak kelapan daripada lapan adik-beradik itu mengakui tidak tahu membaca al-Quran sebaliknya hanya mengenali huruf hijaiyah pada usia 12 tahun.

"Saya telah belajar al-Quran sejak dari awal persekolahan lagi. Namun sehingga berumur 12 tahun saya hanya mengenal huruf tetapi tidak tahu membaca ayat al-Quran.

"Ini kerana saya keliru untuk membaca apabila huruf hijaiyah (huruf jawi) digabungkan dan harus dibaca dengan baris dan tanda baca. Apatah lagi saya hanya belajar al-Quran di sekolah kerana tiada rujukan di rumah," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak dan Bisu, di Pusat Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Menurut Syahdan, dengan bantuan gurunya, Zamzarina Mohamed, kini dia berjaya menguasai al-Quran dengan menggunakan kaedah pembelajaran al-Quran Fakih. Seperti setiap huruf abjad yang mempunyai kod tangan tersendiri, begitu juga huruf hijaiyah. Malah lebih sukar apabila disertakan dengan baris dan tanda bacaan.

Tilawah al-Quran untuk murid pekak dan bisu itu berlangsung dalam keadaan yang cukup unik kerana tiada suara bacaan dilontarkan. Jika musabaqah al-Quran sinonim dengan penilaian juri terhadap kelunakan suara qari dan qariah di atas astaka, untuk yang membabitkan golongan OKU ini hanya sunyi sepanjang pertandingan berlangsung.

Bahasa isyarat

Yang kelihatan atas pentas ialah seorang peserta dengan cergas menghayunkan tangan menunjukkan bahasa isyarat dan memandang al-Quran di hadapan orang ramai. Diikuti pula dengan peserta seterusnya yang seorang demi seorang silih berganti naik ke pentas dengan melakukan pergerakan sama.

Musabaqah anjuran Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR), UM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Kanak-kanak Istimewa (Yayasan Faqeh) yang buat julung kali diadakan itu mengumpulkan 300 peserta dan pegawai pengiring daripada 19 sekolah pendidikan khas dari seluruh negara.

Itu merupakan pertandingan musabaqah al-Quran bagi golongan pekak dan bisu yang pertama seumpama itu dianjurkan di dunia.

Pengarah CQR UM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, membuka peluang kepada golongan OKU untuk sama mengagungkan al-Quran seperti masyarakat normal, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan pertandingan tersebut dengan memfokuskan kepada orang pekak dan bisu.

Beliau yang turut meluahkan rasa terkilan dengan tahap pendedahan pengajian al-Quran kepada golongan OKU yang dilihat seperti tersisih berkata, sudah tiba masanya golongan istimewa itu disuntik dengan roh al-Quran.

"Menyedari hakikat bahawa kehidupan beragama itu merupakan fitrah bagi setiap insan, pembangunan spiritual terutama kepada golongan OKU yang selama ini dipandang sepi harus dinilai kembali oleh pelbagai pihak.

"Ini bagi merealisasi konsep indahnya hidup beragama dalam jiwa golongan kurang bernasib baik ini di samping mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap mereka terutamanya dalam tuntutan mendapatkan didikan agama," katanya.

Justeru, bagi mencapai matlamat tersebut katanya, CQR dengan kerjasama Yayasan Faqeh menganjurkan musabaqah tersebut dalam usaha memberi peluang kepada golongan OKU membudayakan al-Quran seperti golongan normal yang lain.

Zulkifli berkata, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, pendidikan al-Quran dalam kalangan OKU terbukti mampu membantu membentuk peribadi golongan tersebut ke arah yang lebih positif.

"Berdasarkan pemerhatian di Yayasan Fakih, anak-anak yang diperdengarkan dan diajar dengan al-Quran menjadi lebih baik akhlaknya berbanding sebelum ini setelah dimasukkan roh al-Quran ke dalam jiwa mereka.

"Seperti yang disebut oleh Allah SWT, al-Quran merupakan syifa' atau penyembuh segala jenis penyakit yang juga memberi ketenangan dalam jiwa manusia," katanya.

Al-Quran kod tangan


Pengajian al-Quran bagi golongan OKU lebih-lebih lagi bagi golongan pekak dan bisu dilihat masih kurang dititikberatkan di kebanyakan sekolah di negara ini.

TIDAK mengetahui bahasa tangan adalah antara permasalahan utama yang sering diperkatakan oleh ibu bapa dalam memahami dan berinteraksi dengan anak masing-masing yang mengalami cacat pendengaran dan juga bisu.

Lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang terpaksa mempelajari bahasa kod tangan yang merupakan medium komunikasi utama mereka itu secara tiba-tiba sejurus dimaklumkan bahawa anak mereka mengalami kecacatan pendengaran atau bisu.

Perkara itu dipercayai antara punca berlakunya keciciran dalam kalangan golongan istimewa ini untuk mendapatkan pendedahan pendidikan, apatah lagi pengajian al-Quran.

Bagi sesetengah yang menyedari kepentingan itu, mungkin akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah pendidikan khas yang mengajar kelas al-Quran.

Namun, sejauh mana keberkesanan usaha itu yang dilihat hanya terhad di sekolah tanpa diberi penekanan oleh ibu bapa sendiri di rumah.

Justeru, menerusi bantuan perisian tipografi al-Quran, ibu bapa kini boleh mempelajari dan mengajar anak cacat pendengaran dan bisu untuk mempelajari al-Quran di rumah.

Perisian pintar yang dibangunkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) itu menyediakan tutorial mudah kepada ibu bapa untuk mengajar anak istimewa masing-masing menggunakan kaedah kod tangan seperti di sekolah.

Malah ketua projek perisian, Dr. Nazean Jomhari berkata, perisian yang boleh diakses menerusi Microsoft Words itu turut boleh digunakan oleh guru pendidikan khas subjek al-Quran untuk membuat latihan dan kertas soalan kepada pelajar.

"Pengajian al-Quran bagi golongan OKU lebih-lebih lagi bagi golongan pekak dan bisu dilihat masih kurang dititikberatkan di kebanyakan sekolah di negara ini. Ini dipercayai kerana kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam pembelajaran al-Quran.

"Oleh itu, bagi mengelakkan daripada berlaku keciciran yang berterusan, perisian tipografi al-Quran diharap dapat membantu para guru untuk mengajar anak murid dengan menggunakan kaedah mudah ini di samping menyediakan kertas soalan al-Quran dengan mudah berbanding perlu dilakar sendiri lukisan kod tangan oleh guru satu persatu sebelum ini.

"Selain itu juga, ibu bapa juga boleh menggunakan perisian ini sebagai rujukan tambahan kepada anak mereka untuk mengulang kaji al-Quran di rumah, tidak hanya terhad di sekolah," katanya.

Tipografi al-Quran berfungsi menukarkan huruf hijaiyah yang ditekan di papan kekunci komputer terus kepada simbol kod tangan seperti yang telah diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.

Mengikut ujian yang dilakukan kepada beberapa pelajar pekak dan bisu ujarnya, perisian tersebut terbukti berkesan dengan hanya mengambil masa dalam satu minggu.

Mengulas lanjut, Nazean berkata, modul perisian tersebut diambil berdasarkan idea pengasas perintis kaedah Fakih, Nor Aziah Mohd. Daud yang telah menghasilkan kaedah mudah pembelajaran al-Quran dan alat bantuan pembelajaran kepada murid pekak dan bisu yang dikenali megnatic board.

Idea tersebut juga telah meletakkan Aziah sebagai Johan Karnival Inovasi Zon Timur anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2010.

Nazean berkata, perisian tersebut boleh didapati dengan menghubungi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) secara percuma.

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Sumber: Utusan Artikel1 dan Utusan Artikel2

1 comments:

Mizz Aiza berkata...

satu lagi kemudahan untuk golongan OKU..