13 Julai 2013

Jam Tangan Pintar


IA bukan sekadar jam tangan biasa kerana dilengkapi dengan teknologi canggih.

BERMULA dengan telefon pintar dan kemudian televisyen pintar, kini jam pintar mula menjadi sebahagian daripada industri teknologi. Jam pintar ialah sebuah jam berkomputer yang mampu memberikan pelbagai ciri malah ia lebih daripada sekadar penunjuk masa.

Bagaimanapun, sejarah jam pintar sebenarnya bermula seawal tahun 80-an lagi. Jam berkenaan menggabungkan ciri seperti kalkulator dan permainan. Ketika itu, Casio merupakan antara pengeluar jam yang menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja.

Namun begitu, jam pintar pada hari ini dilengkapi dengan ciri-ciri canggih seperti telefon, Bluetooth, termometer dan skrin sesentuh untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) serta kad memori sebagai storan selain boleh dibaca pada komputer biasa.


Sehubungan itu, beberapa syarikat yang berteraskan teknologi seperti Sony mula memperkenalkan jam pintar sejak dua tahun lalu. Bukan syarikat Sony sahaja, desas-desus juga mengatakan Apple dan Google turut mengorak langkah dalam membangunkan gajet pintar berkenaan.

Sony SmartWatch 2 menawarkan ciri makluman SMS dan e-mel terus ke paparan jam. Dengan kata lain, ia mampu menyelaraskan maklumat antara telefon pintar dengan jam pintar. Dalam pada itu, pengguna tidak perlu mengeluarkan telefon dari kocek hanya untuk menerima mesej penting.

Dengan satu sentuhan pada skrin, pengguna boleh mengakses e-mel GMail, POP3 dan plugins e-mel lain yang boleh didapati daripada Google Play Store. Selain itu, acara penting yang disimpan dalam kalendar telefon akan turut terpapar pada paparan jam pintar berkenaan.

Bukan itu sahaja, komen-komen daripada aplikasi rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook akan dipaparkan pada paparan OLED jam ini.


PENGGUNA boleh melayari laman sosial, serta menghantar dan menerima e-mel menggunakan jam pintar.

Satu lagi ciri unik tentang SmartWatch 2 ialah ia kalis air sekali gus membolehkan pengguna memakainya walaupun ketika hujan.

Sungguhpun tiada spesifikasi rasmi tentang jam pintar yang dikhabarkan bakal dikeluarkan oleh Apple, namun penganalisis teknologi menjangkakan ia akan menawarkan ciri yang terdapat pada jam pintar keluaran Sony.

Begitupun, ciri-ciri jam itu akan dipertingkatkan seperti pemain media iaitu selari dengan kepakaran Apple dalam menghasilkan pemain media mudah alih seperti iPod, pengecaman suara dan peta. Apple juga dilaporkan sedang giat menjalankan penyelidikan terhadap kaca melengkung.

Jadi, kemungkinan besar skrin jam pintar keluaran mereka mempunyai reka bentuk yang melengkung selain menggunakan teknologi Gorilla Glass mirip skrin iPhone yang ternyata lebih kuat dan tahan calar berbanding kaca skrin telefon biasa.

Google pula dikatakan bakal mengambil Sony SmartWatch 2 sebagai rujukan utamanya. Ia dijangka dilengkapi dengan ciri seperti akses e-mel GMail, mengakses fail gambar, serta membuat dan menerima panggilan telefon.

Aplikasi seperti Google Maps berkemungkinan akan disesuaikan pada paparan telefon berkenaan sekali gus membolehkan maklumat seperti anggaran perjalanan yang perlu diambil oleh pengguna untuk ke rumah dari lokasi semasa akan dipaparkan.

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
Sumber: Kosmo

0 comments: