15 September 2013

Dilema Mat Berat


Dengan bertemankan bag sandang, Mat Berat akan tinggal di mana sahaja yang mereka suka.

KATEGORI masyarakat gelandangan ini boleh ditafsirkan pelbagai antaranya, tiada tempat penginapan dan pekerjaan termasuk kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas yang mungkin memilih kehidupan seperti itu setelah tiada haluan lagi untuk dituju.

Kini terdapat lagi satu kategori bagi orang gelandangan yang digelar Mat Berat. Gelaran luar biasa itu diberikan kepada insan-insan gelandangan yang sihat tetapi enggan melakukan sebarang pekerjaan.

Sedangkan tubuh badan mereka tegap dan sihat serta mempunyai kudrat bagi membolehkan mereka melakukan kerja. Dalam erti kata mereka ini malas dan 'berat' untuk melakukan segala-galanya.


Alasan mereka menjalani kehidupan seperti itu adalah menyenangkan mereka yang tidak mahu terbelenggu dalam kehidupan biasa yang dianggap susah dan memerlukan mereka berfikir panjang 'cara' untuk meneruskan kehidupan.

Yang paling penting, mereka tidak perlu bersusah payah untuk bertarung dengan pelbagai perbelanjaan dan bil air, api, sewa rumah selain terpaksa melihat pendapatan yang didapati pada setiap bulan akhirnya susut menjelang akhir bulan.

Pada mereka bukan susah untuk hidup bergelandangan, bila malam menjelang letak sahaja kepala di mana-mana tempat duduk yang difikirkan sesuai sambil beratap dan berembunkan bumbung alam maya.

Apabila lapar, pergi sahaja ke yayasan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di kota raya untuk mencari sesuap nasi kerana segalanya tersedia.

Bila perlukan duit pasti ada sahaja yayasan yang bermurah hati untuk menderma dan pada malam hari, pergi sahaja ke tempat-tempat tertentu untuk menerima nasi bungkus yang dibekalkan oleh pihak-pihak tertentu

Semua kebajikan yang tersedia ini disediakan untuk mereka atas keprihatinan masyarakat di negara ini yang ternyata begitu bermurah hati menderma dan mengagihkan pelbagai barangan dan makanan bertujuan bagi kegunaan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Mungkin sejenak terfikir, atas dasar keprihatinan dan bantuan-bantuan ini yang menyebabkan individu-individu ini mengambil kesempatan atau pun mereka ini sebenarnya 'sakit' dari segi spritual dan mental sehinggakan sanggup hidup tanpa keluarga dan bergelandangan tanpa menghiraukan maruah diri,

Kehidupan yang dijalani seperti ini sebenarnya tidak pernah menjadikan mereka 'hidup' dengan cara yang sebenarnya.

Mereka bebas pergi ke mana sahaja ceruk bangunan yang mereka suka. Pedulikan apa yang orang hendak kata, pokok pangkalnya kehidupan mereka terisi dengan makan, pakai dan tiada masalah yang menyerabutkan kepala.

Mengikut seorang Mat Berat yang ditemui di sebuah lorong di jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, yang dikenali dengan nama Black dan berasal dari Kelantan, sudah hampir 15 tahun dia berkelana menjadi Mat Berat di kota raya Kuala Lumpur sejak menjejakkan kaki ke sini ketika berusia belasan tahun lagi.

Berusia 36 tahun, sihat, cukup sifat dan mempunyai kudrat yang diperlukan, namun bagi Black dia lebih senang mengikuti kehidupan seperti itu yang baginya amat menyenangkan tanpa perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi meneruskan kehidupan.

Kepada insan yang normal, sudah tentu seseorang itu akan berusaha untuk mendapatkan kehidupan yang terbaik setidak-tidaknya mempunyai cita-cita dalam kehidupan, berbeza dengan Black yang menganggap cita-cita itu hanya sesuatu yang menyusahkan untuk dicapai, jadi daripada hanya memikirkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi kenyataan dia rela hidup bergelandangan seperti itu.

Katanya, kehidupan seperti itu bukan hanya dapat makan, pakai malah dia juga mempunyai ramai kawan di jalanan dan kehidupan mereka dihabiskan dengan melepak sebelum malam melabuhkan tirainya.

Tambahan menurutnya, keadaan sekarang yang susah untuk mendapat pekerjaan menyebabkan dia rela hidup demikian.

Anak bongsu daripada enam adik-beradik, Black mengakui dia sangat berasa tertekan dengan kehidupannya terdahulu menyebabkan dia rela berhijrah ke kota raya untuk melarikan diri daripada hinaan keluarganya.

"Saya dalam keluarga terasa disisihkan mungkin sebab saya kurang pandai dan tidak berjaya sebagaimana adik-beradik lain.

"Saya pernah bekerja setahun di sebuah kilang kereta di Shah Alam, namun malangnya lama-lama saya merasakan malas hendak bekerja memandangkan apabila kerja teruk-teruk, gaji dapat sedikit kemudian hujung bulan habis dah nak kena fikir apa yang perlu dibuat selepas itu.

"Lagi satu kalau bekerja sudah tentu saya memikirkan untuk beli baju yang sesuai, perlu membeli-belah, kemudian berumah tangga dan akhirnya memikirkan makan pakai anak-anak," tambahnya.

Jangan terkejut apabila mengetahui Black ini sebenarnya mempunyai Diploma dalam bidang landskap hasil pengajiannya di sebuah kolej.

Ketika ditanya tidakkah dia merasa takut menjadi mangsa jenayah pada malam hari apabila bergelimpangan di mana-mana tanpa tempat berteduh yang sesuai, dia menegaskan perasaan takut sudah tiada dalam dirinya.

Apabila ditebak soalan pulang berhari raya ke kampung halaman, dia menambah dalam hidupnya semenjak memilih kehidupan seperti itu, hanya tiga atau empat kali sahaja dia balik ke kampung, selebihnya dia banyak mendengar mengenai cerita kampung halamannya apabila bertemu dengan rakan-rakan sekampung apabila terserempak dengan mereka di sini.

Ibu Black yang sudah meninggal dunia sejak bertahun dahulu menyebabkan Black rasa cukup terpinggir dan enggan berjumpa dengan saudara-maranya.

Ketika ditanya apa yang dilakukan selama 15 tahun itu di lorong-lorong dan di ceruk bangunan, dia membayangkan kehidupannya cukup puas dengan hanya melepak, tidur, bercakap dengan rakan-rakan.

Apabila ditanya adakah satu hari nanti dia akan berubah, spontan bicara Black, mungkin satu hari nanti sikapnya akan berubah, namun siapa tahu bilakah saat itu datang.

Begitu juga dengan Din, 43, berasal dari Terengganu, datang ke ibu kota kerana tidak tahan dengan kerja nelayan dan bertani yang dilakukannya di kampung,

"Selepas habis SPM saya melakukan kerja-kerja kampung seperti bersawah dan nelayan selama lima tahun sebab tidak dapat kerja lain.

"Kerja nelayan ini susah, saya pun datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kerja lain yang lebih senang seperti pengawal keselamatan sebab saya tidak mahu membuat kerja-kerja berat seperti kerja kontrak, berkebun atau sebagainya.

"Saya dapat kerja pengawal keselamatan dan saya bekerja selama tiga bulan sebelum akhirnya saya berhenti kerana gaji bulanan sebagai pengawal keselamatan sedikit tidak cukup untuk menampung kehidupan saya selain bebanan kerja dan selalu ditipu," jelas Din yang merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik itu.

Selain kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang diminati, Din juga menambah kehidupan yang dijalaninya sekarang tidak memerlukan dirinya banyak berfikir terutama bagi dirinya yang sihat.

Dia yang hanya sekali sahaja balik ke kampung sepanjang kehidupannya di jalanan mengakui sudah tiada siapa-siapa lagi yang memerlukannya untuk berada di kampung.

"Kalau balik ke kampung pasti kena marah selalu sebab tidak kerja, tak kan nak duduk goyang kaki sahaja kerana akan menyusahkan saudara mara, jadi duduk di sini senang tidak perlu fikir apa-apa," jelasnya.

Apabila bercerita mengenai kehidupannya sekarang, dia berkata sekiranya dia hendak menonton TV pergi sahaja ke Dataran Merdeka atau kedai menjual TV, sekiranya dia hendak makan, masih banyak tempat yang menghulurkan sumbangan buat insan-insan sepertinya.

Sementara itu Pengasas Teratak Arfidah iaitu sebuah rumah perlindungan bagi wanita yang perlukan perlindungan dan bimbingan di bawah kategori ibu tunggal, asnaf, remaja dan penagih dadah, Arfidah Abdul Latiff berkata, sepanjang dia menjalankan sesi outreach membantu insan-insan gelandangan, pelacur dan penagih dadah di jalanan, dia mendapati peningkatan yang agak ketara bagi individu yang bergelar Mat Berat atau Mat Lepak sejak tahun 2007.

Tambahnya, dalam ketika warga asing yang datang ke negara ini mempunyai pendapatan mereka sendiri dengan bekerja, namun warga negara ini pula malas untuk bekerja.

"Sebelum itu kita memang dapati adanya insan-insan gelandangan berkategori seperti ini pada tahun sejak tahun 2003 tetapi tidak seramai seperti hari ini.

"Mereka ini sihat dan mampu bekerja namun enggan melakukan sebarang pekerjaan kerana mungkin mendapat pelbagai kebajikan untuk diri mereka menyebabkan mereka berasakan sudah tidak perlu untuk bekerja lagi," jelasnya.

Arfidah juga berkongsi cerita mengenai seorang individu yang katanya yang telah menjalani kehidupan Mat Berat ini sejak tahun 90-an lagi dan selalu melepak di Dayabumi dan Kota Raya yang kini telah berumur 60 tahun.

Apa yang menariknya mengenai individu ini adalah cara pemakaiannya yang unik iaitu gaya 'Rockers' tanpa mengubah penampilannya biarpun telah berpuluh tahun.

Dalam pada itu Arfidah menambah, dalam hal berkenaan bagi menangani masalah masyarakat seperti ini selalunya dia akan mengenal pasti apakah kategori gelandangan berkenaan memberikan mereka bimbingan dan kaunseling

"Seterusnya saya akan mencarikan mereka pekerjaan yang bersesuaian, tetapi selalunya dalam sepuluh yang ditolong hanya dua yang akan berjaya dibantu dan selebihnya mereka akan menjalani kehidupan seperti ini kembali,

"Begitupun setiap langkah saya tidak akan berputus asa, selagi ada kudrat dan daya juga dana secukupnya saya akan berusaha untuk memastikan golongan ini dipulihkan 'pemikiran' mereka kembali, " katanya.

Oleh: ROSMAH DAIN
Sumber: Utusan

0 comments: