16 September 2013

Pekerja Berkemahiran Tinggi Sasaran Industri


Gambar Hiasan

Suatu ketika dahulu, tumpuan terhadap pencapaian dalam bidang kemahiran dipandang sepi oleh banyak pihak kerana berpendapat kecemerlangan dalam bidang akademik lebih menjamin masa hadapan dan dipandang tinggi.

Maka berlumba-lumbalah ibu bapa, pendidik dan anggota masyarakat meletakkan sasaran dan harapan yang amat tinggi terhadap anak terutama remaja yang dilihat berpotensi dalam bidang akademik. Sehingga terlupa atau menidakkan mereka yang dilihat tidak menyerlah dalam pencapaian akademik.

Hakikatnya negara bukan sahaja memerlukan modal insan yang berjaya dalam bidang akademik malahan memerlukan sumber manusia dan modal insan berkemahiran tinggi untuk membangunkan ekonomi Malaysia.


Justeru tumpuan kini semakin dipertingkatkan dalam mempromosi institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) di dalam negara. Langkah berkenaan terbukti berjaya melahirkan sumber manusia dari kalangan belia berkemahiran tinggi.

Menurut Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong kualiti latihan kemahiran di negara ini begitu tinggi dan telah menjadi satu pilihan kerjaya yang baik daripada bidang akademik.

"Kita mahu meyakinkan masyarakat supaya tidak memandang sipi pada latihan kemahiran. Dahulunya bidang kemahiran sering dikatakan tidak ada harapan. Kita kena tolak ke tepi pandangan sedemikian.

"Malah daripada 3.3 juta peluang pekerjaan baru yang akan wujud pada tahun 2020, 40 peratus daripadanya memerlukan kelayakan kemahiran dan vokasional yang tinggi," jelas Pang.

KEMAHIRAN TINGGI UNTUK MAJU

Selain memenuhi keperluan industri menjelang negara bergelar negara maju, mereka yang memiliki kemahiran yang bertaraf dunia juga boleh menarik pelabur asing menyertai bidang berteknologi tinggi.

Malah ia turut menyumbang kepada matlamat untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi jika pekerja-pekerja tempatan memiliki kemahiran yang tinggi serta berjaya menarik lebih ramai pelabur asing.

Antara usaha bagi memperkenalkan tahap pencapaian kemahiran negara yang tinggi, Malaysia turut menghantar peserta ke pertandingan-pertandingan kemahiran bertaraf dunia.

Menurut Pang ia bukanlah untuk 'syok sendiri' tetapi dengan menghantar peserta ke pertandingan-pertandingan kemahiran di peringkat antarabangsa seperti World Skills Competition (WSC) dan Asean Skills Competition (ASC), ia boleh dianggap sebagai penanda aras tahap latihan TEVT di Malaysia di samping mencari jalan mengisi lompong yang masih wujud.

"Ini kerana, pertandingan-pertandingan sedemikian memberi ruang dan peluang kita bersaing dengan negara-negara maju. Jika ingin jadi negara maju ertinya kita kena bersaing dengan mereka. Kita sudah melepasi tahap sebagai negara membangun, sekarang yang kita kejar adalah untuk menjadi negara maju," ujarnya.

Penyertaan negara bukanlah sekadar mengambil bahagian tetapi juga sebagai pencetus kepada industri supaya mengiktiraf bidang kemahiran sebagai satu bidang yang dihormati dan mempunyai masa depan yang cerah.

JIKA INGIN PILIH PROFESION KEMAHIRAN

Di Malaysia terdapat lebih 1,000 pusat kemahiran bertauliah yang dibuka di seluruh negara. Malah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPKM) memantau dan menjaga standard kualiti pusat-pusat berkenaan supaya dapat mengeluarkan sumber manusia yang memenuhi keperluan pasaran.

Ia turut menyediakan maklumat buat belia dan lepasan sekolah menengah jika masih tercari-cari ruang atau bidang yang bersesuaian dengan minat mereka, JPKM turut menyediakan portal www.iwant2be.my untuk dilayari.

Portal iwant2b adalah untuk menggalakkan belia mengikuti pendidikan teknikal atau vokasional sebelum memasuki pasaran kerja.

Ia merencanakan laluan kerjaya kepada pelajar untuk merancang dan meningkatkan kemahiran pembangunan kerjaya mereka.

Dalam laman web itu, ada ujian yang boleh membimbing lepasan sekolah dan belia dari segi keupayaan mereka dan akan dibawa ke satu laluan. Portal ini telah direka untuk menarik generasi muda dan mempunyai ujian personaliti psikometrik untuk membantu kesesuaian padanan kerjaya.

Menurut Pang, ia satu daripada komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan untuk memastikan tenaga kerja masa depan negara mencapai kemahiran dan produktiviti untuk menarik gaji yang lebih tinggi.

Portal iwant2be adalah projek di bawah pendidikan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) pembangunan modal insan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ia adalah kerjasama antara Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, PEMANDU dan Information Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (IBN), penerbit Pilihan Kerjaya dan Pembangunan dalam Profesion Kemahiran, Panduan Direktori Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional di Malaysia.

UBAH PERSEPSI

Selain itu, Pang berharap agar TEVT tidak lagi menjadi pilihan kedua atau terakhir untuk para pelajar yang rendah prestasi akademiknya.

"Malah ia akan menjadi pilihan utama para pelajar cemerlang di negara kita seperti mana yang berlaku di negara maju," katanya.

Dengan perubahan persepsi itu, diharap ramai orang muda Malaysia yang berpotensi terlibat dalam latihan berasaskan kemahiran tinggi di samping dapat mewujudkan pekerjaan mahir.

Antara bidang industri yang sentiasa memerlukan tenaga kerja berkemahiran adalah industri pengangkutan,pemesinan dan peralatan, bangunan dan pembinaan bioteknologi,teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), elektrikal dan elektronik serta telekomunikasi dan penyiaran.

Industri berkenaan sentiasa memerlukan khidmat mereka yang berkemahiran sebagai juruelektrik, jurukimpal paip dan gas, jurufoundri,juruteknik jentera perindustrian, pengaturcara 'computer numerical control'(CNC), penjaga jentera serta penolong jurutera elektrik dengan tawaran gaji yang berpatutan.

Dalam sedikit masa lagi, bidang kemahiran bakal menjadi bidang pilihan utama lebih-lebih lagi Malaysia bakal mencapai taraf negara maju. Ketika itu, kerajaan turut mengharapkan negara juga bersedia dengan sumber manusia dan modal insan dalam bidang-bidang berkenaan.

Oleh Nurul Halawati Azhari
Sumber: BERNAMA

0 comments: