14 September 2013

KLIA Ekspres ~ Terpantas Ke KLIA



DUDUK di kokpit tren selama 28 minit tanpa henti kedengaran seperti satu tugas mudah yang digalas oleh pemandu tren berkelajuan tinggi, KLIA Ekspres.

Namun, gangguan kecil seperti keadaan perut yang memulas secara tiba-tiba sewaktu bertugas antara pengalaman lucu bagi seorang pemandu Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL), Denny Putra, 40.

“Hendak buat macam mana, tren tidak boleh dihentikan dan kami perlu bertahan sehingga sampai di destinasi. Tetapi, ia bukanlah suatu yang kerap berlaku kerana sebagai pemandu kami semua memang menjaga pemakanan dan tidak makan secara sembarangan sebelum memulakan tugas,” ujarnya yang sudah berkhidmat selama 11 tahun bersama ERL.


Perkhidmatan KLIA Ekspres sudah banyak menjimatkan masa perjalanan penumpang yang ingin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dari KL Sentral di Kuala Lumpur. Tempoh bagi perjalanan sejauh 57 kilometer itu hanya mengambil masa 28 minit berbanding lebih sejam jika menggunakan perkhidmatan bas atau teksi.

Harga tiket yang ditawarkan masih kekal seperti ia mula-mula beroperasi pada April 2002 iaitu RM35 bagi perjalanan sehala.


TREN milik ERL menyediakan perkhidmatan yang cekap dan ruang dalaman yang luas serta selesa.

Faktor keselamatan

Menurut Denny, pemandu mengawal halaju tren tersebut berpandukan sistem Perlindungan Keretapi Automatik (ATP).

ATP merujuk kepada satu daripada dua pelaksanaan sistem perlindungan yang dipasang di sesetengah tren. Sistem tersebut membantu mengelakkan pertembungan disebabkan kegagalan pemandu untuk melihat isyarat atau sekatan kelajuan.

Kelajuan maksimum tren berkelajuan tinggi milik ERL adalah 160 kilometer sejam (km/j) dan bergerak pada kelajuan 100 km/j di kawasan-kawasan koridor berkongsi.

Jelasnya, koridor berkongsi bermaksud stesen yang berkongsi perkhidmatan dengan KTM Komuter atau sistem Transit Aliran Ringan.

Difahamkan, jumlah pemandu ERL ialah seramai 60 orang, di mana 20 hingga 30 orang daripadanya akan bertugas secara bergilir-gilir setiap hari.

Selain daripada memastikan perjalanan penumpang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres berjalan lancar, pemandu kereta api bertanggungjawab memastikan segala barangan penumpang dibawa bersama sewaktu meninggalkannya.

“Memang banyak kejadian penumpang tertinggal barang di dalam kereta api berlaku sungguhpun pengumuman peringatan telah dibuat berulang kali. Rakan setugas saya pernah menjumpai sebatang tongkat penumpang sewaktu melakukan pemeriksaan.

“Jika difikirkan kembali, kejadian itu adalah suatu yang melucukan kerana bagaimana penumpang berkenaan masuk ke dalam kereta api dengan bertongkat tetapi keluar tanpa menggunakannya,” kata Denny tersenyum.

Antara barangan lain yang biasa ditinggalkan di gerabak tren milik ERL ialah beg tangan, dompet, gitar, kamera digital, telefon bimbit dan komputer riba.


PENUMPANG KLIA Ekspres dan KLIA Transit boleh membeli tiket perjalanan ke destinasi pilihan menggunakan kios tiket yang disediakan dengan menggunakan kad kredit atau debit sahaja.

Pengalaman penumpang

Dalam pada itu, seorang penumpang, Raja Muhammad Raja Omar, 32, mengakui dia selesa menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres sebagai laluan terpantas ke KLIA.

Beliau yang merupakan pekerja sektor awam di Sabah menggunakan perkhidmatan itu selang dua bulan sekali apabila ke Kuala Lumpur untuk melawat keluarganya.

“Naik KLIA Ekspres lebih menjimatkan masa terutamanya ketika sedang mengejar masa pelepasan penerbangan. Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan kerana ia amat selesa dan mudah,” katanya ketika ditemui di KL Sentral.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Adilah Ahmad, 35, pernah beberapa kali menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres ke KLIA.

Baginya, perkhidmatan yang diberikan amat efisien dan berbaloi dengan harga yang dibayar iaitu RM35.

“ERL berjaya mengekalkan keselesaan kepada penumpang dan perjalanan menepati masa seperti pada jadual yang dipaparkan.

“Pada mulanya, saya agak berkira untuk membayar tambang yang ditetapkan dan menaiki bas untuk ke lapangan terbang kerana ia lebih murah. Tetapi tempoh perjalanan menggunakan bas agak lama dan membuatkan saya beralih kepada perkhidmatan KLIA Ekspres,” jelasnya.

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
Sumber: Kosmo

1 comments: