16 September 2013

Hayati Semangat Hari Malaysia

Hari Malaysia

PADA 31 Ogos 1957 Tanah Melayu (Malaya) bebas daripada belenggu penjajahan British. Malaya yang merdeka ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu merangkumi negeri-negeri yang berada dalam Semenanjung Tanah Melayu.

Pada 16 September 1963, wilayah geopolitik tanah air diperluas apabila Sabah, Sarawak dan Singapura memasuki Malaysia secara rasmi. Ia sekali gus menjadikan negeri-negeri tersebut bebas daripada belenggu penguasaan British.

Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya dikenali sebagai Malaysia. Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut: “Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris".


Secara ringkasnya gagasan penubuhan Malaysia dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj bagi menggabungkan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah dan Sarawak), Brunei dan Singapura.

Dalam ucapannya di depan Persatuan Wartawan Asing di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, Tunku berkata: “

"Sebagai satu bangsa, Malaya pada hari ini sedar bahawa tidak dapat berdiri sendiri. Di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah berdasarkan pada konsep yang luas. Lambat-laun Malaya akan mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat-rakyat di Wilayah Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak".

Bagi Tunku, penubuhan Malaysia adalah perlu bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan keselamatan rantau Asia Tenggara terutamanya daripada ancaman komunis. Tunku Abdul Rahman melahirkan kebimbangannya tentang ancaman komunis.

British juga melihat ancaman Komunis sebagai alasan utama yang mendorong kepada pembentukan Malaysia. Perkara ini terkandung dalam laporan Colonial Office - CO 1030/980, Proposed state of greater Malaysia, 59/4/10, part D, Commissioner General for South East Asia, Singapore to Iain Macleod, M.P. pada 27 Jun 1961.

Untuk menjayakan gagasan itu, beberapa tindakan telah dilakukan. Tunku sendiri mengadakan lawatan muhibah ke Sarawak, Sabah (Jun 1961) dan Brunei (Julai 1961) bertujuan menerangkan konsep, tujuan dan objektif pembentukan Malaysia.

Mereka yang menentang juga dijemput menghadiri Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di Singapura supaya mendapat penjelasan lanjut daripada pemimpin Tanah Melayu dan Singapura.

Tindakan lain yang diambil antaranya membentuk Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Kaum (JPPK) pada Julai 1961, menubuhkan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 bagi mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak, membentuk Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) pada Ogos 1962 dan mengadakan referendum di Singapura pada 1 September 1962. Rombongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Sabah dan Sarawak dari 16 Ogos - 5 September 1963 adalah untuk meninjau reaksi penduduk di sana.


Pembentukan Malaysia telah menjadikan kita satu negara bangsa yang besar, bersatu dan makmur. - Gambar hiasan

Cabaran pembentukan Malaysia

Sesuatu idea baru itu pasti ada yang menentangnya. Apatah lagi dalam konteks menubuhkan sebuah negara baru yang lebih luas wilayah geopolitiknya. Di Tanah Melayu, Pas menentang tetapi menerimanya setelah memahami manfaat pembentukan Malaysia.

Di Singapura, United People‘s Party (PAP) menentang. Pada 1961, PAP pimpinan Lee Kuan Yew mengalami kekalahan teruk di tangan calon prokomunis dalam dua pilihan raya kecil di Hong Lim dan Anson.

Namun, setelah diadakan referendum pada 1 September 1962, rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia. Di Sabah dan Sarawak, dikatakan rakyat di kedua-dua negeri menentang. Namun, setelah Suruhanjaya Cobbold menjalankan pungutan suara, majoriti rakyat kedua-dua negeri bersetuju untuk memasuki Malaysia.

Brunei yang pada mulanya bersetuju untuk menyertai Malaysia akhirnya menolak kerana ada penentangan daripada rakyatnya sendiri yang dipimpin oleh A.M. Azahari dan Parti Rakyat Brunei. Pada 7 September 1962, Azahari dan Parti Rakyat Brunei melancarkan pemberontakan. Indonesia dan Filipina juga menentang gagasan Malaysia. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya. Indonesia pula bercita-cita mewujudkan “Indonesia Raya".

Laporan Suruhanjaya Cobbold yang diserahkan kepada kerajaan British pada 21 Jun 1962 menjadi asas penting kepada pembentukan Malaysia. Suruhanjaya itu mendapati lebih 80 peratus bersetuju dengan gagasan Malaysia. Suruhanjaya mencadangkan Perlembagaan 1957 dijadikan asas kepada Perlembagaan Malaysia dan Persekutuan yang bakal ditubuhkan itu dinamakan ‘Malaysia’.

Selain itu, kuasa autonomi dan jaminan khas dalam sesetengah perkara diberi kepada Sabah dan Sarawak dan kuasa-kuasa itu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan daripada kerajaan negeri-negeri berkenaan. Sabah dan Sarawak akan mempunyai ketua masing-masing. Kuasa imigresen dan agama masih di bawah kawalan Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak. Peraturan-peraturan kewangan akan diadakan bagi tujuan pembangunan ekonomi di kedua-dua negeri berkenaan.

Akhirnya, termeterai Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia di London (Perjanjian London) pada 9 Julai 1963 di pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House. Perjanjian itu diwakili oleh wakil Kerajaan British, wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, wakil Sabah dan wakil Sarawak. Hasil rundingan di London (7-9 Julai 1963) memutuskan Malaysia akan ditubuhkan.

Indonesia menentang

Namun, Indonesia membantah keputusan itu dan satu rundingan diadakan di Manila di antara Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Sukarno (Indonesia) dan Macapagal (Filipina) bagi membincangkan perkara itu. Mereka membuat kata sepakat agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan tinjauan ke atas penduduk Borneo bagi mengesahkan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Setiausaha PBB, U-Thant mengirim misinya ke Borneo diketuai Michael More. PBB akhirnya memperakukan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Namun, Indonesia tetap menentang keras penubuhan Malaysia. Tun Dr. Ismail menyebut keinginan Indonesia untuk meluaskan wilayah mereka sebagai Negara Kesatuan di Asia Tenggara hingga ke Madagaskar dan Kepulauan Polinesia (UMNO 20 Tahun:1966).

Pada 20 Januari 1963, Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia menyusup ke sempadan Malaysia, iaitu di Johor, Sabah dan Sarawak. Indonesia juga memutuskan hubungan perdagangan dengan Malaysia pada 21 September 1963. Tindakan Indonesia itu dibantah keras Malaysia.

Perwakilan Malaysia, Datuk Dr. Ismail Abdul Rahman dihantar ke PBB untuk menyampaikan bantahan. Malaysia juga menghantar beberapa perwakilan diketuai oleh Datuk Abdul Razak Hussein ke beberapa buah negara Afrika untuk menjelaskan kedudukan Malaysia-Indonesia.

Malaysia juga telah mendapat bantuan ketenteraan asing dari Britain, Australia, New Zealand dan Kanada untuk mempertahankan kedaulatan negara. Kejatuhan Sukarno dan kegagalan peristiwa GESTAPO pada 30 September 1965 telah mengendurkan konfrontasi Indonesia dan akhirnya pada Jun 1966, perjanjian damai bagi menamatkan konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia diadakan di Jakarta.

Akta Malaysia dan Perisytiharan Malaysia

Pada 26 Ogos 1963 Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Akta Malaysia yang sudah diperkenankan Ratu Elizabeth II serta diluluskan oleh Parlimen British. Walaupun 31 Ogos dicadangkan sebagai tarikh penubuhan Malaysia tetapi disebabkan faktor tertentu maka pengisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963. Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selain Tunku Abdul Rahman, tiga lagi pemimpin utama dari tiga negeri baru turut hadir, iaitu Lee Kuan Yew (Singapura), Donald Stephens (Sabah) dan Stephen Kalong Ningkan (Sarawak). Peristiwa bersejarah ini disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat jelata di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Singapura keluar Malaysia

Pada 9 Ogos 1965, Singapura yang turut menyertai Malaysia mengambil keputusan keluar dari Malaysia dan menubuhkan negara republik yang merdeka. Antara faktor yang membawa pemisahan Singapura daripada Malaysia termasuklah persoalan ekonomi, sosial, persoalan kuasa pusat, ideologi politik dan cita-cita peribadi Lee Kuan Yew. Tun Razak menganggap Singapura sebagai ‘duri dalam daging’.

Malaysian Solidarity Convention (MSC) yang dianggotai PAP, SUPP, UPKO dan UDP berikrar akan memperjuangkan Malaysian-Malaysia dan menolak dominasi Melayu dalam kerajaan. Cita-cita Lee Kuan Yew (PAP) itu mencetuskan perbalahan dalam Dewan Rakyat antara pemimpin UMNO dan PAP. Antara yang kuat mengkritik Lee Kuan Yew ialah Dr. Mahathir (Zarina Othman dan Rashila Ramli, 2006).

Sarawak, Sabah maju dan makmur

Sejak 50 tahun merdeka dalam Malaysia, pelbagai kejayaan dilakar oleh kedua-dua negeri itu. Kekukuhan semangat perpaduan pelbagai lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak menjadi tunjang menjamin kestabilan, kesejahteraan, kemakmuran serta keharmonian di kedua-dua negeri itu.

Masyarakat di kedua-dua negeri itu turut menjadi lebih progresif menerusi pendidikan yang lebih bermutu dan peluang pekerjaan yang meluas. Golongan muda yang berpendidikan dan berkemahiran terus menyumbang untuk negeri masing-masing.

Pada keseluruhannya, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia.

Kedaulatan Wilayah dilindungi

Kesimpulan, pembentukan Malaysia adalah satu rahmat yang harus disyukuri kerana pembentukannya telah menjadikan kita satu negara bangsa yang besar, bersatu dan makmur. Kedaulatan seluruh wilayah Malaysia akan terus dipertahankan daripada sebarang ancaman dan pencerobohan.

"Malaysia Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku" mestilah tertanam dalam minda dan jiwa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara ini.

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Media,
Bahagian Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Sumber: Utusan

0 comments: