21 September 2013

Mari Belajar Sejarah ~ Kuiz India



Program kuiz mengenai 'Pergerakan Kebebasan India antara 1857 dan 1947' bersempena sambutan Hari Kemerdekaan India pada 15 Ogos, 2013 di Kuala Lumpur membuktikan subjek Sejarah sebenarnya subjek menarik walaupun bagi mereka yang tidak berminat.

Meskipun kuiz anjuran Suruhanjaya Tinggi India ini ditujukan untuk warga India yang bermastautin di negara ini, rakyat Malaysia yang akan meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2013 boleh banyak belajar daripada acara ini yang disampaikan secara menarik oleh juru kuiz Phanindra Ivatury dalam memahami sejarah.

Sejak kebelakangan ini, timbul kebimbangan terhadap golongan muda Malaysia, terutama Gen Y yang taksub dengan teknologi hingga kurang kesedaran terhadap sejarah negara sendiri. Tetapi masalah ini turut berlaku di negara lain termasuk di India seperti yang dinyatakan oleh Phanindra.


Auditor di Suruhanjaya Tinggi India itu memberitahu bahawa seorang gadis muda beranggapan gambar hitam-putih Kamala Nehru, isteri kepada pejuang kebebasan dan pemimpin parti Kongres Jawarharlal Nehru, adalah idola layar perak Tabu.

Kejahilan yang sama dilihat dalam kes Mangal Panday, seorang askar yang berperanan besar dalam Pemberontakan India 1857 tetapi tidak disedari masyarakat sehingga filem mengenai beliau lakonan Aamir Khan ditayangkan pada 2005.

ORANG MALAYSIA MUDAH LUPA SEJARAH

Bagaimanapun, pengamatan umum semasa kuiz itu menunjukkan bahawa warga India mempunyai pengetahuan yang agak baik mengenai sejarah kemerdekaan negara mereka, yang meliputi tempoh yang lebih lama berbanding sejarah kemerdekaan Malaysia dan membabitkan beratus, jika bukan beribu tokoh - pejuang kebebasan, ketua agama, ahli falsafah, pujangga - merentasi seluruh benua kecil India.

Kuiz yang dimenangi oleh G. Vivekanand dari Hyderabad dan B.Sagar dari Pune, kedua-duanya kakitangan Tech Mahendra di Cyber Jaya, berlangsung dengan cergas dan bersemangat apabila peserta dan audien berebut untuk menjawab soalan.

Bagaimanapun, adakah rakyat Malaysia mempunyai minat yang sama serta pengetahuan mengenai sejarah kemerdekaan negara sendiri?

Sejarah bagaikan mata pelajaran pasif di sekolah-sekolah yang disampaikan oleh para guru dalam cara yang membosankan selain hari kemerdekaan diraikan secara simbolik setiap kali - mengibarkan bendera, perbarisan dan yang lain - di sebalik mewujudkan kesedaran akan sejarah negara yang menyediakan pengajaran bagi masa depan.

Ramai daripada rakyat Malaysia nampaknya mudah lupa apabila memperkatakan mengenai sejarah negara. Oleh itu, kita bukan sahaja mempunyai mereka yang tidak mengetahui sejarah atau mengetahui sebahagiannya, tetapi juga mereka yang mewujudkan sejarah daripada sudut pandangan mereka sendiri.

Sehinggakan ada yang tidak dapat membezakan antara Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman dengan Tuanku Abdul Rahman, Agong pertama, dan keliru dengan Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan.

Kes-kes tuntutan terhadap takhta kesultanan Melayu sejak kebelakangan ini, dengan yang terbaru satu kumpulan sesat yang mendakwa berasal daripada Empayar Timur Nusantara Langkasuka adalah contoh baik mereka yang tidak arif dengan sejarah.

KUIZ CARA MENARIK BELAJAR SEJARAH

Untuk menjadikan sejarah Malaysia menarik di mata generasi muda memanglah mempunyai cabaran tersendiri.

Perlu ada cara yang lebih menambat perhatian dalam menyampaikan fakta sejarah, selain daripada menghafal nama dan kejadian bersejarah daripada buku teks. Di sinilah kuiz India boleh dijadikan contoh baik.

Juru kuiz Phanindra bukan sahaja menghiburkan audien dan peserta dengan soalan dan telatahnya tetapi juga menjelaskan kisah menarik di sebalik kebanyakan jawapan, membolehkan personaliti dan peristiwa difahami dan diingati dengan lebih baik.

Satu contoh baik adalah soalan siapa orang di sebalik frasa "India bagi Rakyat India"? kebanyakan orang akan beranggapan yang ia kemungkinan besar kata-kata pejuang kebebasan tersohor tetapi ia sebenarnya kata-kata seorang tokoh pembaharuan dan pemikir Hindu yang disegani Swami Dayananda Saraswathi dengan frasa itu muncul lama sebelum perjuangan kemerdekaan bermula.

Sejarah penuh dengan nama-nama orang serta peristiwa, oleh itu banyak daripada penggiat utama seringkali dilupakan dan di sinilah pengisahan menarik memainkan peranan penting dalam membantu orang ramai mengingat semula nama-nama dan kejadian bersejarah.

Pengisahan menarik yang disampaikan oleh Phanindra ialah Dr Bidhan Chandra Roy, seorang tokoh perjuangan kebebasan dan doktor yang merawat Mahatma Gandhi semasa Bapa Kemerdekaan India itu dipenjarakan banyak membantu membangkitkan rasa ingin tahu mengenai doktor ini.

Phanindra memberitahu audien bahawa Gandhi enggan mengambil ubat yang disyorkan Dr Roy kerana ia bukan dari India dan lagipun 400 juta lagi rakyat India tidak mampu membeli ubat itu.

Dr Roy menjawab kepada Gandhi bahawa merawat beliau bagaikan merawat 400 juta warga India dan dengan kata-kata itu bapa kemerdekaan India itu terpaksa mengalah dan mengambil ubat berkenaan.

Pendek kata, sejarah Malaysia juga perlu disampaikan dalam cara yang menarik di sebalik dijadikan subjek statik yang gagal memenuhi aspirasi audien yang dinamik. Dan pendekatan kreatif seumpama kuiz ini boleh digunakan untuk meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai sejarah negara ini.

Oleh Ravichandran D.J Paul
Sumber: BERNAMA [23082013]

0 comments: