13 September 2013

Pengertian Tersirat Ibadah Haji


Umat Islam seluruh dunia perlu hayati simbolik perhimpunan di Tanah Suci

Kedatangan musim haji mengajak umat Islam untuk menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhan-Mu dengan berjalan kaki atau menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datang dari pelbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak untuk dijadikan korban, dengan yang demikian makanlah kamu dari daging binatang-binatang itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah Al-Haj, ayat 27-28)

Jika seluruh umat Islam memahami ibadat haji dengan lebih mendalam, sudah tentu ia dapat mengatasi pelbagai masalah dihadapi umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.


Status Ibadat Haji

Umumnya, kita mengakui terdapat tiga kategori status ibadat haji yang bakal diperoleh dan status ini sering dibincang, diperdebat malah sering menjadi peringatan kepada semua bakal haji.

Haji mabrur ialah haji yang diterima sempurna oleh Allah SWT, dengan menghayati segala sikap sabar, ikhlas dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT. Sikap inilah yang sering ditekankan kepada bakal haji dalam kursus kerana ibadat haji memerlukan banyak pengorbanan, kesungguhan dan keyakinan kepada Allah SWT.

Haji makbul juga diterima oleh Allah SWT kerana bakal haji yang pergi menunaikan haji dengan penuh beriman, keyakinan, keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT tetapi dengan takdir Allah SWT, bakal haji meninggal dunia semasa atau selepas melaksanakan ibadat haji.

Ibadatnya diterima Allah SWT, sekali gus memperoleh pahala ganjaran yang tinggi sejauh mana ia melaksanakan ibadat dan amal solehnya.

Haji majhul hendaklah dihindari kerana haji majhul bermaksud haji yang jahil (tanpa ilmu pengetahuan) dan tidak mendapat ganjaran atau pahala daripada Allah SWT.

Ini tentunya menepati pesanan Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Amal yang dilakukan oleh seseorang itu tanpa ilmu pengetahuan akan tertolak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Buktinya apabila seorang yang pergi menunaikan haji dan setelah kembali semula ke tanah air, masih melakukan kerja-kerja maksiat serta tidak menghargai dirinya sebagai ‘hujaj’, ternyata hajinya tidak berkesan dan kosong pahala hajinya.

Menunaikan ibadat haji di Makkah mempunyai pengertian yang mendalam khususnya dari aspek ketauhidan kepada Allah SWT. Seluruh umat Islam tentunya telah memahami dan mengetahui kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW menyebarkan Islam.

Usaha dakwah Islamiah yang telah dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad berdepan pelbagai cabaran dan rintangan. Cabaran, pengorbanan dan kepayahan menyebarkan Islam ternyata tidak dapat ditandingi oleh umat Islam terkemudian kerana kedua-dua utusan Allah ini sanggup bergadai nyawa demi memastikan agama Allah tersebar dan dihayati.

Justeru, diharapkan jemaah haji yang berjaya menunaikan haji dapat menghayati nilai itu dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing. Selain itu, perhimpunan di Padang Arafah mempunyai pengertian cukup mendalam.

Perhimpunan di Arafah telah menemukan serta menghimpunkan berjuta-juta manusia daripada pelbagai warna kulit, keturunan, bangsa dan negara. Apa yang pasti atas ikatan Islam dan ketauhidan umat dapat disatukan.

Namun, apa yang jelas kepada kita khususnya umat Islam hari ini tidak selari dengan apa yang tergambar dalam perhimpunan haji saban tahun. Kekuatan umat Islam secara global masih belum optimum.

Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan umat Islam umumnya masih lagi belum menghayati pengertian ibadah haji secara maksimum. Padahal, jika seluruh umat Islam memahami ibadat haji dengan lebih mendalam, sudah tentu ia dapat mengatasi pelbagai masalah dihadapi umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.

Tahap haji seseorang itu sama ada mabrur atau tidak, dapat dikesan daripada sikap, tingkah laku, perlakuan, ucapan atau tindakan yang dilakukan. Seseorang yang berjaya memperoleh haji mabrur tentunya mempunyai ciri-ciri bijaksana dan hikmah dalam perlakuan, tindakan atau pemikiran.

Ini bermaksud seseorang itu akan lebih baik, alim atau bertakwa serta berhikmah jika hendak dibandingkan keadaan sebelumnya.

Bakal jemaah haji Malaysia seramai kira-kira 26,000 yang telah terpilih untuk menunaikan fardu haji tahun ini tentunya mempunyai keazaman untuk mendapatkan haji mabrur. Ia bukan mudah tetapi berbekalkan persiapan mencukupi dari aspek fizikal, mental, ilmu, kesihatan, keimanan, kesabaran, dengan izin Allah jemaah haji dapat menunaikan ibadat dengan baik.

Oleh Dr Burhanuddin Jalal
Sumber: BHarian

0 comments: