21 September 2013

Tegar Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Kemiskinan Tegar difilemkan

Umpama bait lirik lagunya, Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, begitulah realiti kehidupannya yang tidak seindah kanak-kanak seusia.

Ketika kanak-kanak lain riang menjalani kehidupan bersekolah dan bermain sesama rakan, segala-galanya berbeza bagi si cilik berusia 12 tahun ini. Sisa hidupnya selama sembilan tahun diabdikan dengan mencari rezeki demi menyara keluarga.

Gelaran pengamen atau penyanyi jalanan sudah digalas Tegar Septian sejak berusia tujuh tahun lagi. Berbekalkan Ukulele yang dibeli hasil kerja kerasnya sebagai pengamen, alat muzik itu menjadi teman mencari rezeki di jalanan.



YouTube ubah nasib anak jalanan yang bermain ukelele

Tidak pernah minta hidupnya demikian, apatah lagi keinginan untuk bersekolah masih menebal dalam diri. Tetapi, si kecil ini nekad tidak bergantung harap kepada orang lain.

Niatnya cukup mulia, mencari sesuap nasi untuk ibu dan tiga adiknya. Biarpun susah, dia berusaha memperbaiki kehidupan keluarga. Siapa sangka, berkat kecekalannya, Tegar mencetus fenomena dalam industri seni Indonesia.

Tidak menduga hidupnya akan berubah sekelip mata selepas bertemu operator telekomunikasi, Alfas Hermansyah yang kebetulan menyaksikan telatah si kecil ini bersama Ukulele berkeliaran di sekitar kota Subang, Jawa Barat, Indonesia, setahun lalu (2012).

Pertemuan singkat itu membawa penyanyi yang dianggap bersuara unik ini ke syarikat rakaman, Harpa Records. Dalam tempoh setengah tahun, namanya menjadi bualan bukan saja di seluruh Indonesia, malah bakatnya disebut-sebut di Malaysia.



Video klip di atas ini telah dimuat naik ke Youyube pada 23 Mei, 2012. Klip tersebut merupakan persembahan medley tegar. Sehingga di saat entri ini ditulis, klip ini telah ditonton di Youtube sebanyak 8.4 juta kali.

Tak sedar aksi dimuat naik di Youtube

Daripada tinggal di sebuah rumah setinggan yang keluasannya hanya 4 x 6 meter, Tegar kini tersenyum kerana sudah memiliki rumah sendiri di Subang. Tegar juga sudah membeli motosikal sendiri.

Video Tegar yang dimuat naik ke laman Youtube sejak Mei tahun 2012 lalu, sudah mencecah lapan juta tontonan.

"Kalau saya mengamen, biasanya dapat 60,000 ke 100,000 Rupiah sehari. Saya juga pernah pulang ke rumah dengan tangan kosong. Hasil itu akan saya belanjakan untuk keluarga dan ada ketikanya bersama teman di kafe siber untuk bermain game.

"Dijadikan cerita, ada orang yang rakam dan memuat naik video saya ke Youtube. Dalam tempoh sebulan, sudah ada sejuta tontonan. Saya tidak minta video saya dimuat naik, tetapi, syukur Alhamdulilah, berkat kesungguhan saya untuk menjadi penyanyi dan orang kaya, akhirnya dimakbulkan.

"Lagu ini (Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang) asalnya milik Ratna Koin. Tetapi kerana liriknya tidak sesuai dengan saya, jadi diubah oleh Wawan J," katanya.

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
Sumber: Bharian



Kanak-kanak jalanan, Tegar Septian, 12, yang mencipta fenomena apabila aksinya menyanyi sambil memetik ukelele dimuat naik di laman YouTube hingga mengubah hidup, menghadiahkan ibunya sebuah rumah bernilai kira-kira RM100,000, pada 18 September, 2013.

Tegar membeli sebuah rumah di Subang, Jawa Barat, Indonesia sempena hari jadinya yang ke-12, selain tanda kasih kepada keluarga yang selama ini hidup merempat di jalanan.


“Kini, selepas empat tahun tidak bersekolah, Tegar menyambung persekolahan di rumah sendiri. Syukur Alhamdulillah, impian saya untuk menjadi penyanyi dan orang kaya dimakbulkan.

Malah, saya juga sudah mampu membeli motosikal dan berhasrat membeli sebuah lagi,” kata Tegar.



Hidup berdikari 

Tegar berkata, kesusahan hidup sebagai penyanyi jalanan atau pengamen mengajarnya untuk hidup berdikari dan mencari rezeki untuk keluarga.

Berbekalkan ukelele yang dibeli hasil titik peluh menjadi pengamen sejak berusia tujuh tahun, Tegar meneruskan impian menjadi penyanyi popular dan berhasrat berduet dengan band tempatan, Slam.

Tegar yang kini sedang sibuk mempromosikan album mini berjudul Tegar dan Sahabat, tidak pernah menjadikan alasan perceraian kedua orang tuanya untuk berputus asa atau memilih jalan hidup yang salah.

Sejak album mininya dilancarkan April 2013 lalu di Indonesia, lebih 100,000 unit sudah terjual di negara itu.

Oleh: Muhamad Fairoz Azizan
Sumber: BHarian [2013/09/21]

Tegar tak lupa diri



TIDAK boleh lupa diri dan boros. Itu janji Tegar Septian, 12, si pengemis cilik jalanan yang diangkat sebagai artis setelah lagu berjudul Aku Yang Dulu Bukan Sekarang menjadi hits.

Biarpun anak kelahiran Subang, Jawa Barat, Indonesia ini sudah popular dan punya pendapatan sendiri, Tegar tetap meletakkan dirinya sama seperti zaman susah.

Apatah lagi selepas kerap dihimpit sanak saudara yang menagih simpati bagi mendapatkan wang daripadanya.

Justeru Tegar menyifatkan kehidupan senangnya pada hari ini sebagai 'amaran' berjaga-jaga untuk lebih bersedia untuk pada masa akan datang termasuk simpanan demi jaminan masa depan.

"Saya tahu macam mana susah cari duit. Keluarga saya orang susah. Saya mengemis dari satu daerah ke satu daerah sehingga berhari-hari lamanya sebelum balik rumah.

"Sekarang ini kehidupan Alhamdulillah... Cukup mewah. Banyak tawaran menyanyi. Boleh buat tabungan. Kalau dulu susah nak beli barang permainan kesukaan, sekarang tidak lagi.

"Tapi saya risau kesenangan ini buat saya terus leka. Mana tahu ada musibah lain mendatang. Sebab itu bila ada (tetamu) yang datang ke rumah ibu (Ratna Dwi Sisi) di Subang, saya pesan beri (duit).

"Sebab duit itu boleh dicari. Tak apalah kalau dikongsi-kongsi (rezeki)," katanya yang datang ke negara ini untuk mempromosikan album sulungnya, Tegar dan Sahabat awal minggu ini.

Kini dijaga oleh bapa angkat yang juga pengurus, Alfas Hermansyah di Jakarta, album tersebut menampilkan 11 buah lagu antaranya Sekolah, Rindu Ibu, Bengawan Solo, Sahabat Tegar, Ayah Ibu Malaikatku dan Youtube Oh Youtube.

Alfas Hermasyah yang bertanggungjawab memuat naik video Tegar ke laman YouTube, dia mengakui Tegar berusaha dengan kuat untuk sampai ke tahap ini.

"Saat bertemu dengannya di jalanan, saya cukup tertarik dengan Tegar kerana sikapnya yang berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik.

"Malah, Tegar menerima kritikan dengan hati terbuka dan berusaha untuk memperbaiki dan memajukan lagi dirinya," katanya.

Tegar menjadi fenomena selepas klip videonya dimuat naik di YouTube dan bergelar juara pada satu pertandingan nyanyian di Subang Jawa Barat sekitar awal tahun lepas.

Kejayaan di gelanggang nyanyian itu membuka jalan untuk meraih populariti yang menyebabkan dia tidak perlu lagi merayu belas dan ihsan orang ramai demi satu suap nasi.

Sudah bersekolahMengulas tentang rancangan masa depan, Tegar memberitahu dia hanya mengikut rancangan Alfas dan pengurus syarikat rakaman Harpa Records, Donald Dewa Kesomo.

"Dulu saya tak sekolah, sekarang sudah ada guru yang datang ke rumah seminggu dua kali. Pak Alfas dan Pak Donald mahu saya ada pelajaran. Tak boleh menyanyi saja.

"Ada juga beberapa rancangan dibuat mereka berdua. Saya ikutkan saja," katanya yang sudah memiliki gajet iPad, iPhone dan konsul permainan video Playstation 3 (PS3) daripada hasil pendapatan nyanyian.

Dalam perkembangan lain, anak sulung daripada empat beradik ini memberitahu dia tidak pernah bekerja dalam tekanan walaupun jadual seninya padat setiap hari.

Biarpun pada waktu tertentu rakan sebaya sibuk bermain di padang sedangkan dia sibuk mencari rezeki, itu bukan masalah besar buatnya.

"Memang saya kanak-kanak lagi. Tapi Pak Alfas yang uruskan semuanya. Saya tak tahu apa-apa sehinggalah diberitahu.

"Saya percaya dengan Pak Alfas sebab dia yang buat saya terkenal seperti hari ini. Dia juga yang membuatkan impian saya untuk membeli rumah dan kereta untuk ibu tercapai," katanya.

Tegar berbakat - Alfas PERTAMA kali bertemu kelihatan Tegar agak kasar dalam perbualannya. Itu kesan pergaulan bebas bersama anak jalanan satu ketika dahulu.

Malah Alfas Hermansyah awal-awal sudah meminta maaf bagi pihak Tegar dan memberitahu anak cilik itu sedang dalam proses membiasakan diri dengan keadaan sekeliling.

"Memang Tegar sedikit kasar. Maklumlah dia masih budak-budak. "Sebenarnya apa saja yang ada pada Tegar itu adalah bakat seni semata-mata. Dia mampu mencipta lagu, bermain gitar, piano dan menyanyi rap yang dipelajari secara tak formal. Itu keistimewaan Tegar," kata Alfas.

Sumber: Utusan [29092013], Utusan [01/10/2013]

0 comments: