26 Oktober 2013
Fenomena Global Tewaskan The Washington Post
APABILA pemilik The Washington Post berhasrat menjual akhbar itu kepada pengasas Amazon.com, Jeff Bezos, ini bukan sekadar akhbar tertua itu bertukar pemilik. Sebaliknya ini adalah perubahan kepada model baharu industri media khususnya akhbar.
Ini satu lagi bukti bagaimana fenomena global era digital dengan kadar penembusan Internet yang tinggi di negara-negara maju mengubah pendekatan perniagaan dalam industri media.
Sebelum ini banyak akhbar berpengaruh di Barat misalnya USA Today, The New York Times dan The Washington Post sendiri mengalami penurunan jualan ekoran kehilangan pembaca. Akhbar bercetak berhadapan dengan kepupusan apabila fenomena global menerima baik peranti elektronik sebagai platform baharu.
Berita dan maklumat menjadi antara isi kandungan maya yang paling tinggi dijengah oleh pelayar Internet. Ini bermakna isi kandungan akhbar ada nilai dagang tersendiri tetapi perlu memanfaatkan revolusi dunia digital.
Kerana itu kehilangan pembaca bukan disebabkan kualiti atau kebolehpercayaan yang dipertikaikan tetapi fenomena global era digital. Ini yang memaksa industri media berubah kepada model perniagaan yang baharu. Akhbar terus diterima tetapi dalam bentuk digital selari dengan gaya hidup dan kebergantungan kepada peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet.
Tahun lalu majalah berita mingguan, Newsweek menghentikan edisi cetaknya pada 31 Disember 2012 dan penerbitan diteruskan dalam bentuk digital. Ini juga disebabkan oleh penurunan jualan edisi cetak di samping harga kertas dan belanja penerbitan yang meningkat.
Jeff Bezos bersetuju membeli The Washington Post dengan harga AS$250 juta secara peribadi dan tidak melibatkan Amazon.com. Usahawan yang digelar ultimate disper" oleh majalah Fortune tahun lalu menceburi perniagaan secara maya sejak 1994 apabila menubuhkan Amazon.com yang memasarkan isi kandungan audio, visual dan buku secara dalam talian.
Jeff Bezos menemui model baharu perniagaan apabila memanfaatkan kadar penembusan Internet yang semakin tinggi di seluruh dunia. Dalam kalangan penganalisis, mereka menaruh keyakinan tinggi bahawa The Washington Post bukan sahaja terus berada di pasaran malah lebih hebat dalam bentuk digital. Ini bersandarkan kepada kejayaan Jeff Bezos mengubah budaya membeli daripada fizikal kepada digital menerusi Amazon.com.
Walaupun The Washington Post menjadi entiti yang berasingan daripada Amazon.com tetapi 40 juta pelanggan Amazon.com tentu dimanfaatkan untuk memasarkan The Washington Post. Dalam kalangan pengamal media, penjualan akhbar ini kepada pengasas penjualan secara digital memberikan satu dimensi baharu kepada industri.
The Washington Post yang ditubuhkan pada 1877 menjadi satu-satunya akhbar tertua yang masih diterbitkan dalam bentuk bercetak. Akhbar Amerika ini mengharungi perjalanan yang panjang, mengalami jatuh bangun dalam industri media tetapi terbukti mempunyai wibawa yang tinggi.
Mencatatkan sejarah cemerlang apabila memenangi 47 Hadiah Pulitzer termasuk enam yang dimenangi tahun 2008. Selain itu akhbar ini turut memenangi 18 Nieman Fellowship. Bertindak menjadi perakam sejarah moden Amerika Syarikat (AS) selama lebih satu abad termasuk peperangan, pergolakan politik dan krisis ekonomi paling buruk tahun 1930-an.
Pendedahan skandal Watergate awal tahun 1970-an oleh dua wartawan penyiasatannya, Bob Woodward dan Carl Bernstein hingga menumbangkan Presiden Richard Nixon mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap banyak akhbar AS yang hilang wibawa.
Nostalgia
Tetapi kecemerlangan masa lalu bukan lagi menjadi penentu masa depan dalam industri persuratkhabaran. Kemunculan digital awal dekad 90-an secara drastik telah mengubah model perniagaan dalam industri media. Akhbar yang masih mempertahankan nostalgia dalam bentuk bercetak telah ditinggalkan oleh pembaca, The Washington Post adalah salah satu daripadanya.
Platform yang menghubungkan akhbar dengan masyarakat telah jauh berubah dan perubahan ini juga menuntut wartawan dan dunia kewartawanan bergerak seiring. Dengan kadar penembusan Internet dan pemilikan peranti digital yang tinggi oleh generasi Y, kepupusan tetap menjadi kenyataan walaupun bukan dalam masa terdekat ini.
The Washington Post bagai bernafas dalam lumpur apabila mengalami kerugian selama tujuh tahun berturut-turut dan tahun ini sahaja sudah mencatat kerugian AS$40 juta. Akhbar yang dimiliki oleh keluarga Donald E. Graham realistik dengan fenomena global era digital tetapi tidak mampu mengalih haluan kerana mengalami kerugian yang teruk.
Donald E. Graham terlambat untuk mengakui hakikat bahawa fenomena global akan mengubah selera masyarakat daripada membaca versi bercetak kepada paparan skrin di telapak tangan. Kini pemiliknya tidak ada jalan keluar selain menjualkan akhbar ini kepada orang yang disifatkan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi".
Maknanya walaupun dalam keadaan yang mendesak pun pemilik The Washington Post tidak mahu menjadi jurujual" dan menjual akhbar yang cukup disayangi ini tanpa memikir masa depan selepas bertukar kepada pemilik baharu.
Banyak penganalisis melihat tindakan menjual The Washington Post kepada pengasas Amazon.com sebagai jalan keluar yang paling tepat. Sepatutnya pemilik The Washington Post telah lama mengalih supaya akhbar digital sebagai keutamaan dan versi bercetak sebagai sampingan. Tindakan yang lambat dan silap memisahkan terus dirinya dengan The Washington Post.
Walaupun Jeff Bezos membeli akhbar ini sebagai milik peribadi, tetapi pendekatan pemasaran Amazon.com dijangka dilakukan kepada akhbar yang akan menjadi digital ini. Amazon.com sendiri mencatatkan peningkatan iklan digital yang tinggi. Banyak penganalisis menjangka tahun ini Amazon.com mampu mencatatkan AS$609.6 juta hasil iklan berdasarkan peningkatan 45.5 peratus daripada tahun sebelumnya.
Apa yang berlaku kepada The Washington Post boleh dirumuskan bahawa teras industri media hari ini bukan lagi akhbar bercetak. Banyak organisasi media hari ini melebarkan sayap dengan meneroka televisyen dan radio Internet selain akhbar digital. Dalam lain perkataan, organisasi media tidak boleh lagi mengharapkan hasil jualan akhbar bercetak kerana di seluruh dunia edarannya semakin menirus.
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan
Labels:
ICT,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan