26 Oktober 2013

Bajet 2014



Bajet 2014 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada petang Jumaat 25 Oktober, 2013.

Bajet 2014:
"Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji"

Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2014 berjumlah RM264.2 bilion dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang kukuh, mengurangkan defisit fiskal, memakmurkan negara dan mensejahtera rakyat dalam proses Malaysia menuju status negara maju berpendapatan tinggi.

Bajet bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' memperuntukkan RM217.7 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.


Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM63.3 bilion dikhaskan untuk emolumen, RM36.6 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM114.5 diperuntuk kepada pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM1.4 bilion untuk pembelian aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.

Dari segi peruntukan pembangunan, sejumlah RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi dan RM10.5 bilion bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sebanyak RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.1 bilion (pentadbiran am) dan RM2 bilion (simpanan luar jangka).

Najib berkata kutipan hasil tahun depan diunjurkan sebanyak RM224.1 bilion, tambahan RM4 bilion berbanding 2013.

Najib menggariskan lima teras - merancakkan aktiviti ekonomi, memperkukuh pengurusan fiskal, mengungguli modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar dan mensejahtera kehidupan rakyat - sebagai tunjang dan pedoman bagi bajet itu.

Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus manakala kadar inflasi kekal rendah di paras dua hingga tiga peratus, katanya.

Dalam menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, beliau menarik perhatian kepada pendapatan perkapita tahun 2014 yang dijangka akan mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada 2009.

Sumber: BERNAMA

Bonus Setengah Bulan Gaji Atau Minimum RM500 Kepada Penjawat Awam

Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimun RM500. Bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014. Pada Ogos 2013 lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Sumber: BERNAMA

BR1M Dinaikkan Dan Diperluas Kepada Isi Rumah Berpendapatan RM3,000-RM4,000

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450. Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah.

Caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 dicadangkan untuk diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan menerima caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250.

Sumber: BERNAMA

Bantuan Persekolahan RM100 Dan Baucar Buku RM250 Diteruskan

Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan baucar buku RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan

Sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan tersebut bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada permulaan sesi persekolahan awal tahun.

Ini merupakan tahun ketiga kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut yang akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

"Saya dimaklumkan terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerajaan amat menghargai dan menyanjungi tinggi nilai murni tersebut," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan Instituisi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.

Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta. Baucar Buku 1Malaysia diperkenalkan pada Bajet 2012.

Sumber: BERNAMA

Bantuan Yuran Taska RM250 Sebulan Kepada Ibu Bapa Berpendapatan Bawah RM900

Ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM900 yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan yuran taska sebanyak RM250 sebulan.

Langkah itu dapat memanfaatkan seramai 3,334 kanak-kanak di bawah usia empat tahun dengan peruntukan RM15 juta.

Kerajaan juga akan menaikkan kelayakan pendapatan isi rumah bulanan penjawat awam daripada RM3,000 kepada RM5,000 untuk mendapat subsidi yuran taska sektor awam berjumlah RM180 sebulan bagi meringankan kos yuran taska.

Kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku kanak-kanak di institusi JKM daripada RM1.50 kepada RM3 sehari bagi kanak-kanak yang bersekolah dan kenaikan daripada 50 sen kepada RM1 sehari bagi kanak-kanak yang tidak bersekolah.

Langkah ini dapat memanfaatkan 4,500 kanak-kanak di institusi JKM di seluruh negara.

Kadar wang saku warga emas juga akan dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sebulan untuk menampung keperluan belanja harian penghuni JKM.

Program Meningkat Peranan Wanita dan Mensejahtera Keluarga

Bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai program.

Antaranya penubuhan Akademi Inovasi Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang akan merangka program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan wanita.

Selain itu, kerajaan akan melaksanakan Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai Anggota Lembaga Pengarah syarikat, program keusahawanan Purple DNA seperti 'Purple Licious' iaitu kiosk makanan bergerak dan menambah 23 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara.

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan suntikan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) dan pemeriksaan ujian mamogram sedia ada, kerajaan mencadangkan pemberian percuma alat bantuan sokongan 'prosthesis' luaran payudara dan coli khas kepada pesakit kanser payudara.

Bantuan ini dapat meringankan kos membeli alatan tersebut yang dianggarkan sekitar RM1,200 dan ia akan memanfaatkan lebih 8,000 pesakit kanser payudara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kerajaan akan menambah empat buah bas khas untuk pelaksanaan Pusat Keluarga Bergerak bagi memberi khidmat nasihat berkaitan kekeluargaan, penjagaan makanan, pemeriksaan penyakit kronik serta ujian glukosa dan kolestrol," kata Perdana Menteri..

Sumber: BERNAMA

Subsidi Gula Dimansuhkan

Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan berkuatkuasa 26 Oktober, 2013. Langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah pesakit diabetes di negara ini yang agak membimbangkan. Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes.

Datok Seri Najib berkata keadaan itu jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman," katanya.

Sumber: BERNAMA

Menggalak Skim Persaraan

Pada tahun 2010, kerajaan telah menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia atau SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP. Sehingga kini, hampir 66,000 pencarum telah menyertai skim ini dengan jumlah simpanan melebihi RM240 juta.

Bagi terus menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai skim ini, sumbangan kerajaan akan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum RM60 setahun kepada RM120 setahun. Peningkatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 sehingga akhir tahun 2017 dan dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baru.

Kerajaan sedar akan pentingnya budaya menabung semasa usia muda bagi mempastikan simpanan yang mencukupi selepas persaraan. Untuk meningkatkan simpanan tambahan, kerajaan menggalakkan golongan muda untuk membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta atau PRS.

Oleh itu, kerajaan mencadangkan insentif RM500 secara one-off kepada pencarum yang menyertai skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh setahun. Insentif ini terbuka kepada individu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan dianggarkan dapat menarik seramai 420,000 pencarum muda di seluruh negara. Insentif ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2014 bagi tempoh lima tahun dan akan melibatkan peruntukan sebanyak RM210 juta.

Sumber: Utusan

Peruntukan Untuk Persekitaran Bersih Sihat

Kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran yang bersih, selamat, sihat dan produktif bagi generasi masa kini dan hadapan.

Antara program yang akan dilaksanakan ialah Pelaporan Karbon Kebangsaan atau `MyCarbon' oleh sektor korporat, penubuhan Tabung Amanah Konservasi Nasional bagi memulihara kawasan terosot dan hutan simpan kekal serta pengurusan sumber asli.

Bagi memperkukuh pembangunan teknologi hijau negara, kerajaan akan memberi galakan Elaun Cukai Pelaburan ke atas pembelian peralatan teknologi hijau dan pengecualian cukai pendapatan ke atas penggunaan perkhidmatan serta sistem teknologi maklumat.

Ke arah menggalakkan amalan gaya hidup hijau, Yayasan Hijau Malaysia akan ditubuhkan yang akan berperanan dalam mempromosi dan meningkatkan penyertaan badan korporat, masyarakat dan awam terhadap teknologi hijau.

Untuk itu, geran pelancaran sebanyak RM15 juta akan disediakan sebagai dana permulaan untuk Yayasan Hijau Malaysia.

Bagi terus meningkatkan kecekapan dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, kerajaan akan melaksanakan audit tenaga dan memasang retrofit di bangunan-bangunan kementerian.

Perdana menteri berkata bagi 2014, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini.

Selain itu, kerajaan juga akan memasang solar panel di bumbung bangunan kementerian-kementerian serta menggantikan lampu sedia ada kepada lampu LED secara berperingkat.

Sumber: BERNAMA

Sebanyak 223,000 Unit Rumah Harga Berpatutan Akan Dibina

Sebanyak 223,000 unit rumah dengan harga berpatutan, akan dibina oleh kerajaan dan sektor swasta tahun depan, sebagai usaha untuk meningkatkan akses pemilikan rumah oleh rakyat.

Sebanyak 16,473 unit rumah akan dibina oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan berjumlah RM578 juta.

Di samping itu JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan RM146 juta.

PPR ialah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah-rumah PPR dijual pada paras harga antara RM30,000 dan RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500 seunit untuk Sabah serta Sarawak.

80,000 lagi unit rumah akan dibina menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan peruntukan RM1 bilion dan setiap unit rumah dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Selain itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit Rumah Mampu Milik; 3,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 8,000 Rumah Mesra Rakyat (RMM).

Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu RMM dengan harga jualan antara RM45,000 hingga RM65,000 selain memberi subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 seunit.

Untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih rumah kos rendah dan sederhana, kerajaan akan memperkenal Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome yang menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada setiap pemaju.

MyHome adalah projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Jan 2014 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Keutamaan MyHome akan diberi kepada pemaju yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi dan ia terhad kepada 10,000 unit rumah pada tahun 2014 depan.

Skim MyHome itu terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isi rumah maksimum RM3,000 bagi kos rendah dan maksimum RM6,000 bagi kos sederhana.

Di samping itu, sejumlah RM100 juta disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia untuk melaksanakan program baik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik kerajaan.

Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah, pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang permainan.

Kerajaan juga memperuntukkan RM82 juta bagi membaik pulih sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan 8,197 buah rumah, katanya.

Datuk Seri Najib turut mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisme harga hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat.

Keanggotaan majlis itu terdiri daripada agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, JPN, PR1MA, SPNB dan sektor swasta.

Sumber: BERNAMA

Jaringan Pengangkutan Awam Diperkukuhkan

Penambahbaikan dan pengukuhan jaringan pengangkutan awam akan terus menjadi tumpuan kerajaan dalam Bajet 2014 bagi meningkatkan mobiliti dan keselesaan rakyat.

Lima langkah akan dilaksanakan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkualiti termasuk membina landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya ke Johor Baharu serta menaik taraf rel dan landasan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM2.9 billion.

Selain itu, sebanyak RM62 juta diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan 'park and ride' di stesen LRT, stesen KTM komuter dan stesen ERL.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat dengan peruntukan RM15.3 juta bagi membolehkan pengagihan teksi kepada penumpang dengan lebih cekap.

Kerajaan juga akan membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan 'drop and ride' dengan peruntukan RM28 juta.

Tren Electric Multiple Unit (EMU) juga akan dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM28 juta bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.

Bagi memastikan kemudahan jaringan antara kawasan bandar dan luar bandar, kerajaan memperuntuk RM130 juta untuk subsidi pengangkutan udara luar bandar terutama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga akan tetap meneruskan subsidi perkhidmatan kereta api di laluan Wilayah Timur, yakni di Pahang dan Kelantan. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 600,000 pengguna dengan peruntukan RM52.9 juta.

Sumber: BERNAMA

Skim Aturan Kerja Fleksibel

Kerajaan mencadangkan kepada majikan agar mengadakan Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat kerja.

Skim tersebut boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti minggu kerja dipadatkan atau kerja hujung minggu.

Bagi menarik lebih banyak syarikat Malaysia menjadikan FWA atau bekerja sebagai amalan hidup, kerajaan mencadangkan perbelanjaan latihan dan fi konsultansi yang ditanggung oleh majikan dalam melaksanakan skim ini diberi potongan cukai tambahan.

Terdapat 13,000 majikan yang berdaftar dan membuat bayaran levi pada kadar satu peratus daripada upah gaji pekerja ke dalam tabung Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan levi ini bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.

HRDF akan menyediakan sebanyak RM400 juta bagi syarikat yang berdaftar untuk memberikan peluang kepada pekerja mengikuti program meningkatkan kemahiran atau kemahiran semula dan peruntukan tersebut boleh juga dimanfaat oleh syarikat untuk melatih bakal pekerja.

Tiga langkah dilaksanakan untuk meningkatkan lagi latihan tenaga kerja berkemahiran tinggi iaitu langkah pertama adalah merangka pelaksanaan satu peringkat bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3 selama 18 bulan di semua Institut Latihan Perindustrian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM).

Langkah kedua ialah kerajaan menyediakan peruntukan 178 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara bangunan serta peralatan di institut latihan JTM seiring dengan teknologi terkini.

Langkah ketiga, sejumlah RM330 juta disediakan untuk dana pinjaman latihan kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu mengikuti kursus itu, katanya.

Kerajaan juga menyediakan sebanyak RM200 juta untuk menaik taraf dan melaksanakan pendekatan dua syif di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Antara bidang latihan yang telah dikenalpasti merangkumi automotif, penyelenggaran marin, kimpalan dan pendawaian elektrik yang akan memanfaatkan lebih 15,000 pelatih IKBN.

Sumber: BERNAMA

Kerajaan sedia kit rawatan CAPD percuma

Kerajaan akan menyediakan kit rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) secara percuma kepada pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir untuk membuat rawatan sendiri di rumah.

Kerajaan menyedari kesukaran pesakit buah pinggang yang terpaksa berulang-alik ke pusat hemodialisis bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu dan juga terpaksa membelanjakan sehingga RM400 setiap kali rawatan.

Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan CAPD yang bernilai RM19,000 seunit.

Sumber: BHarian

Meluaskan Akses Internet

Untuk meningkatkan lagi liputan internet di bandar-bandar utama, kerajaan akan melaksanakan Fasa Kedua Projek perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB) dengan kerjasama pihak swasta. Ini melibatkan kos pelaburan sebanyak RM1.8 bilion.

Inisiatif ini dijangka memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan bandar merangkumi 2.8 juta isi rumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini dijangka mampu mencapai 10 megabits sesaat (Mbps).

Kepada rakyat yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10 megabits sesaat. Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak RM1.6 bilion.

Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos RM850 juta. Semua pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sumber: BHarian

Tambah Baik Infrastruktur, Taraf Hidup Rakyat.

Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang kini hanya beroperasi di Semenanjung dan Sarawak, akan turut dibuka di Sabah akhir tahun ini selain menambah empat lagi UTC di Johor, Terengganu dan Perlis.

Sebelum ini, UTC yang merupakan pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan, beroperasi di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Sarawak dan Kedah.

Sebanyak RM278 juta disediakan bagi melaksanakan program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang antara lain melibatkan penambahan tiga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan, tambahan kepada lima RTC sedia ada iaitu di Perak, Kelantan, Melaka, Pahang dan Johor.

Pusat Tranformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang menumpukan penyaluran perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal jauh dari UTC dan RTC, juga akan terus dilaksana dengan menambah bilangan bas serta van yang diubah suai.

Perkhidmatan utama yang disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen memandu, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.

Bajet 2014 turut mengambil kira kepentingan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), karyawan dan masyarakat India dengan memperuntuk sejumlah RM597 juta.

Peruntukan itu meliputi RM441 juta bagi pembangunan dan kebajikan OKU, RM6 juta bagi pengurusan pentadbiran dan pengendalian persatuan-persatuan karyawan yang berdaftar dan RM50 juta untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India di bawah Tekun.

"Bagi pembangunan masyarakat India, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM100 juta untuk meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran. Ini termasuk RM28 juta bagi program pendidikan awal melibatkan 176 pra-sekolah Tamil dan program i-Sinar," katanya.

Sumber: BERNAMA

Bajet Besar Dalam Pendidikan Perlu Jadi Motivasi Tingkat Profesion Perguruan

Peruntukan yang disediakan kerajaan bagi memantapkan profesion perguruan perlu menjadi motivasi kepada para guru di negara ini bagi memartabatkan sistem pendidikan negara.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pemberian peruntukan itu membuktikan kerajaan memandang serius untuk memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan pelajar yang menguasai ilmu pendidikan dan mempunyai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berharap agar kementerian memanfaatkan peruntukan itu sebaik mungkin bagi mempelbagai latihan tambahan kepada setiap guru di sekolah masing-masing.

Peruntukan RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014 kepada sektor pendidikan bagi melonjakkan pencapaian tahap akademik dan kemahiran tinggi.

Daripada jumlah itu, RM209 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program pemantapan profesion perguruan dengan memberi tumpuan kepada tugas mengajar, meningkatkan kaedah pengajaran serta kemahiran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Alimuddin berkata peruntukan RM168 juta amat penting bagi membolehkan pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada pelajar khusus di luar bandar agar seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di sekolah.

"Peruntukan berkenaan akan dapat meningkatkan lagi penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran kerana memudahkan guru mengajar, selain membolehkan pelajar mengakses internet dengan mudah, cepat, dan berkesan, tambahan pula, kemudahan seperti makmal komputer telah disediakan," katanya.

Berhubung pendidikan prasekolah, Alimuddin berkata ia amat penting kepada kanak-kanak berumur empat hingga tujuh tahun kerana dalam tempoh itu mereka perlu diberikan pendedahan terutamanya dalam kemahiran berfikir.

"Peruntukan yang besar iaitu RM530 juta bagi program prasekolah menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh mahukan pendidikan menjadi agenda utama pembangunan negara dalam melahirkan modal insan yang berkualiti," katanya.

Beliau yang juga menyambut baik penambahan 93 lagi prasekolah seperti Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) KEMAS di Sekolah Rendah Kebangsaan. Beliau berkata jumlah itu perlu diperbanyakkan di kawasan luar bandar agar anak-anak di pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pendidikan.

Sekiranya prasekolah ini banyak diwujudkan di sekolah rendah, tidak ada masalah untuk kanak-kanak ini mengadaptasi persekolahan sebenar kerana lokasi prasekolah yang terletak di dalam sekolah itu sendiri, katanya.

Sumber: BERNAMA

Cukai Barang dan Perkhidmatan GST

Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak kerajaan.

Kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST. Dengan ini GST bukanlah cukai tambahan baru.

Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum.

Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung sama ada ia adalah barangan asas atau tidak.

Lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan. Hampir semua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.

Di pihak kerajaan, perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan pegawai, kemudahan infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang menyeluruh telahpun disediakan.

Model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:

Pertama: GST akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Kadar GST ini merupakan yang terendah dalam kalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus;

Kedua: GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan;
Ketiga: Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST;

Keempat: Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak dikenakan GST;

Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST;

Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih juga dikecualikan dari GST.

Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai bantuan sokongan semasa peringkat peralihannya seperti berikut:

Pertama: Bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah BR1M;

Kedua: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan boleh guna. Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300,000 orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai.

Umumnya, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai;

Ketiga: Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula. Bagi memastikan struktur cukai lebih progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000. Kadar cukai maksimum kini 26% pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25%.
Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.

Harga barang akan sentiasa dipantau. Sebagai panduan kepada pengguna, kerajaan akan menerbitkan risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Selain itu, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan dianggotai oleh agensi kerajaan, wakil industri dan NGO.

Sumber: Utusan

Struktur semula cukai

Kerajaan akan memberi pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 bagi golongan berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan yang diperoleh tahun ini. Langkah itu dapat memberi penjimatan bayaran cukai sehingga RM480.

Dalam memudahkan pembayar cukai yang membuat potongan cukai bulanan (PCB), kerajaan mencadangkan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan jika berpuas hati bahawa PCB adalah cukai muktamad, berkuat kuasa tahun taksiran 2014.

Sumber: BHarian Artikel 1, BHarian Artikel 2

Skim Aturan Kerja Fleksibel Mampu Tarik Lebih Ramai Pekerja Wanita

Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) wajar dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pekerja golongan wanita untuk menyumbang tenaga dalam pasaran kerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata setakat ini negara hanya mempunyai 48 peratus bilangan pekerja wanita.

"Berbanding di pusat pengajian tinggi jumlah golongan wanita adalah sebanyak 60 peratus, namun apabila masuk ke alam pekerjaan jumlah berkenaan menyusut menjadi 48 peratus.

"Perkara ini berlaku kerana kebanyakan wanita lazimnya bekerja sebelum berkahwin namun mengambil keputusan berhenti kerja apabila mempunyai anak dan sibuk menguruskan perihal rumahtangga," katanya.

Kerajaan hari ini melalui pembentangan Bajet 2014 mencadangkan kepada para majikan untuk mengadakan skim Aturan Kerja Fleksibel yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat bekerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim tersebut boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti minggu kerja dipadatkan atau kerja hujung minggu.

Shamsuddin berkata dengan adanya skim tersebut golongan wanita terutamanya, mempunyai masa yang lebih fleksibel dan tidak perlu berhenti kerja kerana memikirkan soal rumah tangga terutama penjagaan anak.

Katanya melalui skim tersebut seseorang individu itu boleh memulakan tugas pejabat di awal pagi dan kemudian boleh pulang ke rumah lebih awal, dan secara tidak langsung boleh mengelak daripada kesesakan jalan raya.

"Melalui skim ini mereka (terutamanya wanita) boleh bekerja pada waktu yang fleksibel seperti empat atau tiga hari seminggu atau pun bekerja dari rumah dengan kelengkapan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang lengkap.

"Skim ini juga mampu mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga kerja asing apabila kita mampu mengembalikan jumlah 60 peratus golongan wanita yang sepatutnya ada dalam pasaran kerja," katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata cadangan sumbangan kerajaan ditingkatkan dalam Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M), melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap pekerja terutamanya yang bekerja sendiri.

Pada tahun 2010, kerajaan menubuhkan SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Najib berkata sumbangan kerajaan akan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit setahun di bawah skim itu berkuatkuasa mulai 1 Jan 2014 sehingga akhir tahun 2017 dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baharu.

Sumber: BERNAMA

Intipati Bajet 2014

Berikut ialah intipati Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat. Bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji".

Lima teras utama bajet ini ialah merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, menggungul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar dan mensejahtera kehidupan rakyat.

* Peruntukan RM264.2 bilion bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

* Belanja mengurus RM217.7 dan RM46.5 bilion belanja pembangunan.

* RM63.6 bilion diperuntukkan bagi emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan.

* Sejumlah RM29 bilion diperuntukkan untuk sektor ekonomi.

* RM10.5 bilion bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.1 bilion (pentadbiran am) dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kutipan hasil diunjurkan RM224.1 bilion, naik RM4 bilion

* Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan berkurangan kepada 3.5 %, berbanding 4 % pada 2013.

* Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun 2013 dan 2014 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, meliputi program promosi dan pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2014, dengan sasaran 28 juta pelancong.

* Tahun 2015 diisytiharkan sebagai Year of Festival.

* Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek

* Daripada jumlah ini, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk Peruntukan Operasi manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

* Pada 2014, kutipan perolehan Kerajaan Persekutuan dianggarkan RM224.1 bilion, peningkatan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013.

* Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan akan susut seterusnya daripada 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

* Pelaburan swasta dijangkakan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus kepada KDNK, terutama dalam industri minyak dan gas, industri tekstil, peralatan pangangkutan dan pembangunan hartanah.

* Pelaburan awam dianggar mencecah RM106 bilion.

* Projek-projek yang akan dilaksanakan termasuk Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316-kilometer.

* Projek pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh ke Padang Besar, Gemas ke Johor Bahru.

* Projek-projek yang dilaksanakan oleh Petronas termasuk Projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; projek loji regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID, Pengerang.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi pembangunan di lima wilayah koridor ekonomi.

Sumber: Utusan

Untuk Rujukan Lebih Lanjut,
Baca Juga: TEKS PENUH PEMBENTANGAN BAJET 2014.

0 comments: