04 Oktober 2013

Wajib Haji



WAJIB haji merupakan satu pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan ibadat itu. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya atau dilakukan juga tetapi tidak sah, haji tetap sah. Tetapi jemaah haji tersebut dikenakan dam menurut syarat-syaratnya.

Jemaah haji tersebut juga akan menanggung dosa jika meninggalkan wajib haji tersebut dengan sengaja.


Wajib haji tersebut adalah seperti berikut:

1. Berniat ihram di Miqat

Berniat ihram di Miqat bermakna lafaz niat haji mestilah dilafazkan di tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh syarak (miqat) mengikut arah masuk Mekah dan masanya. Lafaz tersebut perlu dilafaz sama ada di tempat tersebut atau sebelum melintasi tempat tersebut.

Setelah dilafazkan niat haji, sama ada sebelum melintasi miqat atau di miqat, maka mereka perlu menjaga larangan semasa dalam ihram (13 perkara akan diterangkan selepas ini). Jika tidak dijaga maka dikenakan dam ke atasnya (dam tersebut mengikut apa yang dilanggarnya).

Miqat terbahagi kepada dua iaitu;

(a) Miqat Zamani - Miqat Zamani (masa) bagi haji ialah pada bulan-bulan haji yang bermula 1 Syawal sehingga sebelum masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.

(b) Miqat Makani (tempat) - Miqat Makani bagi haji ialah tempat untuk mereka berniat ihram. Tempat itu mengikut arah masuk jemaah haji ke Mekah. Jika dari arah Madinah, Miqat Makaninya di Zulhulaifah atau Bir Ali.

Jika dari arah Malaysia yang terus masuk Mekah maka Miqat Makaninya di Qarnul Manazil.

Miqat lain ialah Yalamlam jika dari arah Yaman, Al Jafah jika dari arah Jordan dan Zatu 'Irqin jika dari arah Iraq.

Perlu diingat, bagi penduduk Mekah atau mereka yang sudah berada di Mekah maka niat ihram haji di Tanah Haram (Mekah, Mina dan Muzdalifah).

2. Meninggalkan larangan semasa dalam ihram

Bagi jemaah haji yang berniat ihram haji dilarang melakukan 13 perkara bermula daripada niat ihram sehinggalah Tahallul Thani (tahallul yang kedua).

(i) Bagi lelaki sahaja: Memakai pakaian bersarung/ berjahit/ bercantum seperti seluar, baju kemeja, stoking, kasut yang menutup jari-jari kaki dan tumit, kain pelikat yang disarung dan sebagainya

(ii) Bagi lelaki sahaja: Menutup kepala atau sebahagian daripadanya dengan menggunakan songkok, kopiah/ serban, kain ihram dan sebagainya

(iii) Bagi wanita sahaja: menutup muka

(iv) Bagi wanita dan lelaki: memakai sarung tangan

(v) Bagi wanita dan lelaki: Memakai wangi-wangian sama ada di badan, makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung

(vi) Bagi wanita dan lelaki: Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain yang tumbuh di pipi dan dahi

(vii) Bagi wanita dan lelaki: Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan

(viii) Bagi wanita dan lelaki: Mengerat atau memotong kuku

(ix) Bagi wanita dan lelaki: Memotong, menebang, mengerat, mematah, mencabut atau membinasakan pokok-pokok di Tanah Haram

(x) Bagi wanita dan lelaki: Memburu, menembak, menangkap, mengurung atau membinasakan binatang buruan darat yang halal dimakan sama ada di Tanah Halal atau Haram (belalang dikira binatang buruan)

(xi) Bagi wanita dan lelaki: Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

(xii) Bagi wanita dan lelaki: Melakukan mukadimah persetubuhan

(xiii) Bagi wanita dan lelaki: Bersetubuh

3. Bermalam di Mudzalifah

Bermalam di Muzdalifah bermaksud jemaah haji perlu berada di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah bermula daripada melebihi separuh malam pada malam tersebut sehingga sebelum waktu Subuh (walaupun sekejap dalam masa tersebut). Masuk waktu tengah malam dikira melebihi setengah malam.


Sebahagian daripada jutaan jemaah haji, menunaikan wajib haji melontar jamrah di Mina, berhampiran Mekah.

4. Melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra (Aqabah) (10 Zulhijjah)

Bermaksud melontar tujuh biji batu di Jamrah Kubra pada hari ke-10 Zulhijjah. Masuk waktu melontar pada masa tersebut bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah sehinggalah terbenam matahari masuk (waktu Maghrib) pada 13 Zulhijjah. Melontar di Jamrah Kubra ini ada syarat-syaratnya.


Khemah-khemah di Mina

5. Bermalam di Mina (11, 12 dan 13 Zulhijjah)

Perkara ini bermaksud berada di Mina pada malam-malam hari tasyrik iaitu pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Bermula hari dalam Islam pada waktu Maghrib (contoh malam ke-11 bererti malam itu malam kesebelas dan esoknya hari ke-11).

Tempoh bermalam hendaklah duduk pada malam tersebut di Mina melebihi separuh daripada waktu malam. Jika tempoh malam 12 jam maka jemaah perlu duduk di Mina melebihi enam jam lebih sedikit.

Tempoh ini berterusan sama ada pada awal malam atau pertengahannya dengan tiada putus-putus. Jika terputus-putus tidak sah bermalam pada malam tersebut.

Jika tidak sah bermalam satu malam maka dikenakan dam satu cupak beras. Dua malam, dua cupak beras. Jika tiga malam dikenakan dam tertib dan taqdir (seekor kambing atau 1/7 daripada lembu atau unta).


Jemaah haji membaling tujuh batu kecil ketika melakukan ibadat melontar jamrah di Mina

6. Melontar ketiga-tiga jamrah (Jamrah Sughra, Wusta dan Kubra) pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Bermaksud melontar anak batu di ketiga-tiga jamrah iaitu bermula di Sughra, Wusta dan Kubra pada setiap hari (11, 12 & 13 Zulhijjah) mengikut syarat-syaratnya.


Sebahagian jemaah haji berjalan menuju Jamrah Kubra di Mina untuk melontar tujuh biji batu sebagai salah satu wajib haji

Ibadat tersebut yang dimulakan dengan melontar di Jamratul Aqabah atau Jamratul Besar dilakukan sehari selepas para jemaah menunaikan wukuf di Arafah dan bermalam di Muzdalifah atau sekurang-kurangnya singgah bagi mengutip batu yang digunakan dalam melontar tiga jamrah sebagai simbolik merejam syaitan.

Perhatian

A. Tahallul - bermaksud melepaskan diri daripada larangan dalam ihram dan terbahagi kepada dua, iaitu; Tahallul Awwal dan Tahallul Thani.

B. Nafar - bermaksud keluar meninggalkan Mina. Nafar terbahagi kepada dua bahagian, iaitu; Nafar Awwal dan Nawar Thani.

Oleh TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH
Pengurus Besar (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji
Sumber: Utusan, Utusan

0 comments: