03 Oktober 2013

Konsep Ehsan Dalam Rumah Tangga



PERKAHWINAN dalam Islam adalah satu perkongsian untuk memperoleh Sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan warrahmah (ada belas ihsan).

Oleh itu, persefahaman amat penting kepada pasangan suami isteri terutama kepada mereka yang berkerjaya dalam masa sama terikat dengan tanggungjawab di rumah.

Dalam arus moden masa kini, isteri berkerjaya bukan lagi menjadi satu yang asing malah golongan wanita mempunyai kelayakan tinggi seterusnya membolehkan mereka memegang jawatan dalam organisasi. Justeru, kesibukan tugas harian di pejabat dan di rumah menjadi berganda buat isteri.


Pada zaman dahulu, isteri tidak bekerja dan mereka hanya melaksanakan tanggungjawab memasak, mengemas, menyediakan keperluan suami dan anak-anak.

Bagaimanapun, tuntutan semasa pada masa kini menyebabkan si isteri bekerja bagi membantu suami.

Dalam situasi tersebut, pasangan suami isteri perlu bijak berkomunikasi supaya tugas di pejabat tidak memberi tekanan seterusnya dapat menjalankan tugas di rumah dengan lancar.

Isteri perlu bijak meminta pertolongan daripada suami supaya membantu melakukan kerja rumah yang sesuai dan diminati suami.

Jika isteri memasak, suami boleh membantu menjemur pakaian atau menukar lampin anak dan begitulah sebaliknya. Itulah konsep ihsan yang kita perlu faham.

Kehidupan suami isteri adalah indah dan penuh dengan keberkatan jika kita bijak dan rasional menangani setiap situasi.

Suami perlu memahami keadaan isteri yang berkerjaya dalam masa sama perlu menguruskan anak-anak dan rumah tangga.

Suami perlu faham, isteri bekerja kerana mahu membantu ringankan beban, oleh itu, suami harus ringan tulang bantu apa yang patut.

Lihat ruang untuk bantu isteri dan bukannya menyerahkan semua kerja di bahu isteri sahaja. - ABDUL ZAKI MD ZAIN, Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Daerah Kuantan



Suami rasa itu kerja isteri

SEMEMANGNYA tugas mencari rezeki itu adalah tugas suami tetapi andainya isteri juga bekerja, disarankan agar suami turut membantu kerja-kerja rumah untuk mengeratkan kasih sayang.

Seorang suami yang pengasih dan penyayang terbukti melalui kesediaannya untuk meringankan bebanan isterinya terutama jika isteri itu seorang yang lemah oleh penyakit dan sebagainya.

Kebanyakan suami merasakan kerja rumah adalah tugas isteri semata-mata, ini adalah silap kerana Rasulullah SAW juga kerap membantu isteri-isteri baginda di dapur.

Malah Rasulullah SAW juga pernah menjahit sendiri pakaian baginda yang koyak, tidak semata-mata mengharapkan isteri melakukan kerja-kerja berkenaan.

Bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya isteri seratus peratus menguruskan hal rumahtangga manakala suami tertumpu sepenuhnya mencari nafkah dengan syarat:

i. Isteri itu itu memang jenis sangat rajin. Dia tidak mahu suaminya campurtangan pada urusan rumahtangga. Sewaktu berkahwin mereka telah bersetuju bahawa semua urusan rumahtangga akan ditanggung oleh isteri manakala suami perlu memastikan bisnes berkembang luas agar hidup menjadi
lebih bermakna.

ii. Isteri ikhlas untuk melaksanakan semua kerja di rumah, tetapi andainya tidak ikhlas dia kenalah maklumkan kepada suami supaya suami faham dan memberikan tangannya. Sesetengah suami bukan tidak mahu membantu, kadang-kadang mereka sangka isteri sepenuhnya hendak meraih pahala berbakti kepada keluarga itu bersendirian.

iii. Kadang-kadang hasil kerja suami tidak sempurna, misalnya apabila memasak, masakan tidak sedap; apabila membasuh baju tidak bersih; apabila mengemas rumah ada saja yang tidak berkenan di mata isteri.

Dalam kata lain isteri adalah seorang yang sangat kreatif dalam mengurus rumahtangga, maka bolehlah jika suami tidak mahu campur sebab dikhuatiri isteri berkecil hati pula.

Apapun, sebenarnya hal semacam ini perlulah dibawa berbincang. Isteri perlu menyatakan perasaannya dan kemahuannya dan suami harus mendengar
dan merealitikannya.

Jika dia mahu dibantu, beritahu suami, insya-ALLAH suami akan membantu. Tetapi kalau diam saja tetapi merungut di dalam, ia tidak membawa apa- apa makna malah akan menderitalah sepanjang hidup. Wallahualam. - DR HM TUAH ISKANDAR AL-HAJ, Motivator, Juru Am, Penulis



Suami bekerja, isteri urus rumahtangga

TUGAS suami yang disepakati dalam al-Quran ialah memberi nafkah zahir kepada isteri mengikut kemampuan dan batin. Ulama bersepakat nafkah zahir melibatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Nafkah zahir mengikut konsep kontemporari seperti menyediakan perubatan isteri dan anak-anak. Nafkah batin pula bukan sahaja memberikan seksual tetapi ia adalah fokus kepada pasangan suami atau isteri yang mahu dikasihi, dimanjakan, ambil berat di antara satu sama lain.

Dalam soal mengurus rumah, perkara tersebut perlu dilakukan mengikut uruf (penilaian baik atau buruk mengikut adat sesuatu tempat).

Suami tidak wajib membasuh pakaian tetapi apabila suami melakukannya ia memberikan manfaat kepada rumahtangga tersebut.

Isteri bertanggungjawab melakukan kerja menguruskan rumah tangga seperti membasuh, mengemas dan sebagainya.

Bagaimanapun, unsur teknikal dalam rumahtangga diuruskan isteri manakala suami bekerja untuk mencari nafkah.

Sekiranya kedua-duanya bekerja, unsur-unsur teknikal boleh dilakukan bersama. Islam fleksibel dalam urusan rumah tangga untuk melahirkan keluarga bahagia. - USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN



Isteri perlu ringan mulut

STIGMA kerja rumah adalah tugas mutlak isteri sudah tidak boleh diterima pakai lagi. Tambahan, ketika ini, ramai pasangan tidak mahu mengambil pembantu atas beberapa sebab.

Ada kalangan isteri yang keluar kerja pada seawal jam 8 pagi dan sampai ke rumah pada jam 6 petang.

Kemudian akan menyambung tugasan rumah yang hanya akan berakhir pada jam 12 tengah malam.

Ini boleh menyumbang kepada faktor kesihatan. Pujian tidak ada, tambah sakit badan sahaja. Isteri perlu ringan mulut untuk memohon bantuan daripada suami atau urusan rumah tangga.

Adakala suami tidak perlu diminta bantuan, mereka dengan sendiri ringan tulang. Tetapi, ada suami yang masih ego dengan ketetapan kerja-kerja rumah adalah tugas isteri sahaja.

Kerana itu, isteri perlu bercakap supaya mereka difahami lebih-lebih lagi kepada isteri yang sama-sama bekerja. Kerja harian rumah perlu dilakukan secara bersama di mana perkara itu perlu dilakukan secara bersama.

Apa yang penting adalah kerjasama dan sikap toleransi antara pasangan. Rumah tangga yang bahagia bermula dengan persefahaman antara suami dan isteri dan bijak memainkan peranan masing-masing.

Mungkin ada suami yang tidak betah menguruskan hal ehwal anak, jadi boleh tolong urusan di dapur.

Ramai suami yang boleh memasak, cuma secara logiknya, isteri lebih baik memasak untuk keluarga, bak kata orang air tangan isteri itu adalah terbaik. - PROF MADYA DR MARIANI MOHD NOR - Pakar Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya

Artikel Disusun Oleh: ABDUL ZAKI MD ZAIN
Sumber: Sinar Harian [25 Ogos 2013]

0 comments: